Pages

Wednesday, June 8, 2011

KERATAN AKHBAR SINAR HARIAN (9/6/2011)


BERJUMPA RAKYAT DI PUSAT KHIDMAT ADUN, JEMPUTAN KENDURI DAN MENZIARAHI ORANG SAKIT

Pada 8 Jun 2011, saya berada di Pusat Khidmat ADUN untuk memberi khidmat kepada penduduk. Ia termasuk berjumpa dengan beberapa orang penduduk yang memerlukan bantuan, menandatangani borang-borang elaun nelayan (LKIM), borang TEKUN dan surat-surat sokongan. Selepas itu, saya menghadiri jemputan lima kenduri kahwin, empat di DUN Guar Chempedak dan satu di Dulang Kechil. Kemudiannya, saya menziarahi penduduk yang sakit iaitu Pak Ku Sulaiman di Kampung Permatang Keramat dan En Shamsudin Yahya (bekas Ketua UMNO/JKKKP Kampung Ruat).


MAJLIS RAMAH MESRA ADUN GUAR CHEMPEDAK

Pada 7 Jun, saya menghadiri dan memberi ucapan perasmian penutup di majlis ramah mesra penduduk Kampung Singkir Badong bersama wakil rakyat, ADUN Guar Chempedak.Majlis ini adalah anjuran bersama Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak dan KEMAS.


MAJLIS PERASMIAN HOTEL DARUL AMAN

Pada 5 Jun 2011, saya sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi negeri Kedah telah dijemput menghadiri Majlis Perasmian Hotel Darul Aman, hotel milik Guru-Guru Melayu Kedah yang pertama. Ia dirasmikan oleh YB. Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Saya turut memberikan ucapan aluan di majlis tersebut. Saya merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada kepada KGGMK atas kejayaan sebagai koperasi yang paling berjaya di negeri Kedah dan berjaya terlibt dalam industri perhotelan, salah satu industri dalam sektor perkhidmatan.

Pada 5 Jun juga, saya sempat makan kenduri kahwin di rumah kekanda YB Menteri di Bandar Darulaman dan juga 4 kenduri dalam kawasan DUN Guar Chempedak.

PERASMIAN PENUTUPAN PROGRAM BAKTI SISWA PERDANA 2011

Pada 3 Jun pada sebelah malamnya, saya dijemput untuk merasmikan penutupan Program Bakti Siswa Perdana 2011 di Kampung Pasir, Guar Chempedak. Program yang dianjurkan oleh UUM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini melibatkan lebih 20 orang siswa-siswi UUM. Pada malam tersebut dianjurkan jamuan makan malam bersama penduduk kampung dan persembahan kebudayaan oleh penduduk kampung dan juga siswa siswi. Dalam ucapan perasmian penutup saya menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur, siswa/siswi dan penduduk Kampung Pasir yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan program yang baik ini.



Monday, June 6, 2011

Koperasi Kedah meningkat 13.4 peratus

BANDAR DARULAMAN - Jumlah penubuhan koperasi di Kedah meningkat sebanyak 13.4 peratus pada tahun lalu berbanding 2009 bagi tempoh masa sama.

Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, sebanyak 84 koperasi baru ditubuhkan sepanjang 2010 menjadikan jumlah keseluruhan koperasi berdaftar sebanyak 710 buah pada tahun lalu berbanding 626 buah pada 2009.

Penambahan jumlah koperasi itu sekali gus mencatatkan peningkatan jumlah ahli koperasi melebihi 300,000 orang dengan jumlah syer terkumpul hampir RM300 juta dan jumlah aset terkumpul melebihi RM400 juta.

“Kejayaan koperasi di negeri ini boleh dibanggakan namun kita perlu berusaha meningkatkan kesedaran berkoperasi dan mengukuhkan gerakannya dalam pelbagai aspek,” katanya selepas majlis perasmian Hotel Darulaman dan Kursus Kesedaran Berkoperasi, di sini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dr Ku Abd Rahman berkata, MPKN juga merumuskan beberapa perkara yang dianggap boleh membantu dalam pembangunan sektor koperasi di Kedah antaranya termasuklah bayaran balik pinjaman tanpa cagaran RM50,000 yang kini dibayar dalam tempoh lima tahun dilanjutkan kepada 10 tahun.

Menurutnya, jumlah bayaran balik RM900 dikurangkan kepada RM450 sebulan bagi memastikan aliran tunai koperasi lebih mantap.

“Selain itu, elaun pengurus Kobera dipanjangkan kepada lain-lain koperasi yang berkluster kecil dan mikro yang berusia kurang lima tahun.

“Manakala elaun bulanan pengurus daripada 800 selama enam bulan dilanjutkan sehingga tiga tahun untuk membolehkan koperasi menjana pendapatan yang lebih munasabah dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Dr Ku Abd Rahman berkata, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama dalam pelbagai bentuk kepada mana-mana koperasi yang berminat untuk melibatkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan.




Petikan Sinar Harian (7/06/2011)

Saturday, June 4, 2011

PERASMIAN KURSUS KESEDARAN BERKOPERASI DAN PERASMIAN HOTEL KOPERASI GURU-GURU MELAYU NEGERI KEDAH BERHAD

Perasmian telah dilakukan oleh YB. Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 5 Jun 2011 di Bandar Darulaman. Sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi negeri Kedah, saya memberikan ucapan aluan sebelum ucapan perasmian YB Menteri.
MAKAN KENDURI

Seperti biasa semasa musim cuti sekolah terutamanya hari sabtu, banyak majlis kenduri kahwin yang perlu diraikan. Pada 4 Jun, saya sempat menghadiri 14 buah kenduri kahwin.
KEJOHANAN FUTSAL 2011 PIALA ADUN GUAR CHEMPEDAK

Kejohanan Futsal 2011 Piala ADUN Guar Chempedak anjuran Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak dengan kerjasama JKKKP Sungai Belida dan Persatuan Belia Sungai Belida telah berlangsung dengan jayanya pada 3-4 Jun 2011. Kejohanan dua hari ini telah menarik minat penyertaan lebih 20 pasukan. Banyak manfaat yang dapat direalisasikan dari kejohanan ini. Pertamanya, ia memberi ruang dan peluang kepada anak-anak muda/belia yang berminat dengan permainan ini. Keduanya, ia dapat membawa rezeki kepada peniaga-peniaga makanan dan ketiga, dapat merapatkan tali silaturrahim antara anak-anak muda melalui aktiviti sukan seperti ini. Di samping itu, ia juga dapat merapatkan hubungan dikalangan penduduk setempat. Selengkoh FC telah muncul juara kejohanan ini dan mendapat hadiah wang tunai RM 700/= dan Piala 'Crystal'. Saya amat berpuas hati dengan kejohanan ini kerana sambutan yang sungguh memberangsangkan. Kepada semua pihak yang membantu menjayakan kejohanan ini khususnya JK Penganjur yang di ketuai oleh saudara Abu Aziz Ismail, Pak Din sebagai penyelaras kejohanan serta semua yang berperanan secara langsung atau tidak langsung, saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih yang tak terhingga.



MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN DAN MELAWAT TAPAK PERNIAGAAN BARU DI PANTAI MURNI

Pada 2 Jun 2011, saya makan kenduri kahwin di tiga tempat iaitu di Kawasan Perumahan Awam Titi Bakong, Titi Serong dan Taman Halaman Damai, Guar Chempedak. Selepas asar, saya melawat Pantai Murni untuk melihat sendiri tapak baru yang disediakan oleh MDY kepada peniaga-peniga gerai makan yang sebelum ini berniaga di tepi jalan. Saya menerima rungutan dari peniaga-peniaga ini mengenai kebimbangan jualan mereka merosot. Berdasarkan kepada tiga hari berniaga di tapak baru iaitu pada 2 Jun hingga 4 Jun, sememangnya jualan mereka merosot begitu teruk sekali. Sungguhpun kita akui tapak baru ini lebih selesa dah lebih teratur tetapi pihak yang bertanggungjawab juga harus melihat dari segi kesan terhadap pendapatan hasil jualan mereka. Saya amat bersimpati dengan pernigaan peniaga ini yang rata-rata mencari rezeki sesuap nasi untuk menyara keluarga hasil daripada aktiviti pernigaan ini. Saya amat berharap agar masalah mereka diberi perhatian serius oleh pihak MDY.