Pages

Tuesday, December 21, 2010

Tuesday, December 14, 2010

Wednesday, December 8, 2010

Tuesday, December 7, 2010

Pada hari raya Aidiladha, saya bersolat di Masjid Jamek, Yan. Selepas itu, ke Surau Kampung Teroi Bukit untuk majlis kenduri korban. Tahun ini, saya memberikan 5 ekor lembu kenduri korban bagi Kampung Teroi Bukit, Kampung Raga, Kampung Ruat, Kampung Keda, Sungai Udang dan IPD Yan. Dari 17 hingga 20 November, saya berada di kawasan untuk menghadiri majlis-majlis kenduri korban.


Pada 14 hingga 16 November, saya menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri. Seperti biasa sidang pada bulan November ialah Sidang Bajet, kali ini ialah bajet 2011. Ia telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah. Pada sidang bajet, setiap ADUN yang bukan EXCO diberi peluang berucap. Saya mengambil peluang berucap pada hari kedua sebelah petang. Antara perkara yang saya sentuh ialah isu defisit bajet yang meningkat setiap tahun, masalah bajet terutamanya perolehan negeri yang tidak dicapai, kurang dari 80 peratus serta memberi cadangan-cadangan bagi mencari sumber baru ekonomi. Saya juga menyentuh kegagalan kerajaan negeri menjejak langkah kerajaan pusat dalam melaksanakan Program Transformasi Kerajaan Dan Program Transformasi Ekonomi.

Selepas Sidang Dewan pada 16 November sebelah malam, saya melawat 3 buah di Kampung Permatang Keramat, yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat pada sebelah petang, Kemudian saya ke Hospital Sungai Petani untuk menziarahi Pak Cik Man, ketua cawangan dan pengerusi JKKKP yang koma akibat strok. Beliau meninggal dunia 3 hari selepas itu. Allahyarham adalah seorang pemimpin masyarakat yang komited, baik hati dan merendah diri. Sebagai seorang yang rapat dengannya, saya amat merasai pemergianya. Saya bersama rakan-rakan menziarahi jenazah Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT. InsyaAllah.




Pada 11 November, jam 12 tengah hari, saya di jemput untuk merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran anjuran Jabatan Bomba Dan Penyelamat Daerah Kuala Muda Yan di ANEKA Gurun. Tujuan utama kempen ini ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pencegahan dan apa yang perlu dilakukan bila berlaku kebakaran. Hadir sama ialah YB Dr. Leong, ADUN Gurun.





Pada sebelah malam 11 November, saya menghadiri majlis tahlil dan solat berjemaah bersama pelajar-pelajar Rumah BUDI dan juga pegawai-pegawai JPJ Kedah di Rumah BUDI Yan. Program ini adalah sebahagian dari Program 1JPJ 1 Komuniti anjuran bersama JPJ Kedah dan Pejabat ADUN Guar Chempedak dari 11 November hingga 13 November. Sebenarnya program ini dapat di realisasikan atas inisiatif saya sendiri bagi membantu memudahkan masyarakat warga emas Daerah Yan, khususnya DUN Guar Chempedak untuk mendapatkan lesen motorsikal. Pada 12 November telah diadakan aktiviti wanita seperti pertandingan memasak dan sebagainya serta pertandingan futsal bagi kaum lelaki di Kompleks Sukan Kampung Keda Sungai Udang. Sebenarnya program ini bermula sejak bulan ogos lagi iaitu kursus undang-undang lalulintas, ujian bertulis dan ujian memandu. Ia melibatkan lebih kurang 300 orang warga emas berumur 45 tahun keatas. Sambutan amat memberansangkan sekali, ramai yang bertanya bilakah lagi program ini nak dibuat.

13 November adalah hari kemuncak program ini dimana perasmian penutup dilakukan oleh YB Dato Abd Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan. Beliau juga adalah bekas Ketua Perwakilan Malaysia di Taipei, Taiwan (Defacto Ambassador) di mana saya menggantinya selepas itu. Hadir sama ialah Dato' Solah, Ketua Pengarah JPJ dan Pengarah-Pengarah JPJ dari ibu pejabat. Lesen-lesen motorsikal juga telah disampaikan pada majlis berkenaan. JPJ juga menyediakan kaunter-kaunter memperbaharui lesen memandu dan membayar saman trafik pada hari berkenaan. Semua aktiviti program 1komuniti 1 JPJ diadakan di Sekolah Kebangsaan Langkasuka. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada guru besar sekolah, En. Pamin dan kakitangan yang terlibat. Secara keseluruhannya, program ini amat berjaya dan mencapai matlamatnya dan saya gembira kerana sedikit sebanyak dapat membantu rakyat yang memerlukan.





Sunday, November 21, 2010

Agak lama juga saya tidak menulis dalam blog. Menulis bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi menulis secara berterusan seperti mengemaskini blog yang kita wujudkan, kadang-kadang saya juga rasa 'envy' terhadap mereka yang pandai dan mempunyai keunikan tersendiri dalam penulisan umpamanya menulis rencana. Salah seorang yang cukup saya kagumi ialah YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri). Gaya penulisannya simple, pendek, 'straight to the point' dan berkesan.

Selepas raya Aidilfitri pada tahun ini, Pekan Yan (Yan Besar) lebih cerah dan lebih ceria di sebelah malam dari kebiasaan. Ini kerana 30 batang tiang 'bersama lampu' telah dipasang dari stesen Petronas ke hadapan rumah Pegawai Daerah. Jumlah kos bagi mencerahkan Pekan Yan ini ialah RM 150,000. Ianya diperolehi dari Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana hasrat dan impian saya untuk melihat Pekan Yan lebih cerah dan lebih ceria di malam hari telah menjadi kenyataan. Sejak terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Guar Chempedak, saya telah berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi merealisasikan projek ini. Saya selalu mengatakan kepada kawan-kawan (malah dalam sidang Dewan Undangan Negeri) bahawa Pekan Guar Chempedak cerah di malam hari tetapi Pekan Yan tak berapa cerah, sedangkan Pekan Yan adalah ibu bagi Daerah Yan, yang dikenali sejak berpuluh tahun dahulu, sebelum merdeka lagi. Memang kena dan tepatlah Pekan Yan dihidupkan kembali.

Pada 3 November lalu (sebelah malam), saya sempat melawat warga emas berbangsa cina di Pekan Yan yang mati seorang sebelumnya. Selepas itu ke rumah Tan Lahadi(Abd Razak Abdullah) dan rumah Pak Su Chop(Yusuf Hamid) untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka berdua yang akan berangkat bagi menunaikan fardhu haji keesokan harinya. Saya ucapkan selamat berangkat pergi, selamat kembali ke tanah air dan semoga memperolehi haji mabrur, InsyaAllah.

Pada 4 November, saya dijemput untuk merasmikan Hari Anugerah Cemerlang 2010 Sekolah Kebangsaan Tok Mat Salleh, Kg Ruat Yan. Sekolah ini tidak mempunyai murid-murid yang ramai, hanya sekitar 130 orang, tetapi mempunyai keunikan yang tersendiri. Kawasan dan persekitaran sekolah ini cantik dan menarik, berdepan dengan bukit (sebahagian Gunung Jerai) dan berbelakangkan laut. Seperti kebiasaan, ucapan saya menyentuh tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah untung nasib seseorang.





Pada 6 November, lebih kurang jam 10.00 pagi, sahabat baik saya iaitu Cikgu Faris telah kembali ke rahmatullah. Saya amat terasa di atas pemergiaannya. Ini kerana Cikgu Faris adalah seorang yang rapat dengan saya, banyak memberikan idea-idea yang bernas dan membantu serta menyokong saya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat di sini. Sungguhpun beliau tidak begitu sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan sakit buah pinggang, tetapi semangatnya tidak pernah luntur hingga ke akhir hayat. Beberapa hari sebelum meninggal dunia, beliau gembira kerana BN menang di kedua-dua pilhanraya kecil, DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah. Semangat UMNO beliau begitu kuat sekali, dan kepercayaan serta keyakinan beliau tentang kemampuan UMNO dalam membela nasib bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air tidak pernah goyah. Cikgu Farislah orang yang mendekatkan saya dengan gerakan Pengakap Daerah Yan. Saya masih ingat dengan jelas idea dan peranan beliau bersama isteri Cikgu Napisah dalam merealisasikan Simfoni Kemerdekaan Ke-52 tahun lalu. Beliau juga membantu saya dalam menubuhkan Persatuan Siswazah Yan (PSY). Semangat yang ditunjukkan oleh Allahyarham Cikgu Faris boleh dijadikan contoh dan teladan kepada pejuang bangsa dan warga pendidik.

Saya menziarahi jenazah beliau di rumahnya di Kg Permatang Keramat(bersama-sama sahabat-sahabat beliau yang lain seperti Dato' Paduka Badruddin Amiruldin) dan mengiringi jenazah hingga ke Masjid Yan di mana jenazah beliau disembahyangkan. Saya juga sempat menyertai majlis membaca 'khulhu' beliau selepas solat Isyak hari yang sama. Semoga roh sahabat kita, Cikgu Faris (seorang yang banyak menabur budi dan jasa kepada agama, bangsa dan tanah air) di rahmati Allah S.W.T dan ditempatkan bersama mereka-mereka yang beriman dan kedalam syurga, InsyaAllah.

Konvokesyen TABIKA KEMAS Daerah Yan telah diadakan pada 7 November, jam 9.00 pagi di Dewan Sekolah Menengah Agama Yan. Saya telah dijemput untuk merasmikan konvokesyen tersebut dan seterusnya menyampaikan sijil kepada kanak-kanak TABIKA KEMAS Daerah Yan. Lebih 1000 orang termasuk ibu bapa dan kanak-kanak hadir di majlis berkenaan. Kemudiannya, saya ke Kompleks Sukan Suka Menanti untuk menyambut ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri, yang membuat lawatan singkat ke negeri Kedah bagi melawat mangsa banjir dan mendengar taklimat mengenai masalah banjir di negeri Kedah.




Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Yan telah menjemput saya untuk merasmikan Hari Anugerah Cemerlang 2010 sekolah berkenaan pada 10 November lalu. Sekolah ini adalah sekolah pertama saya melangkah masuk ke alam persekolahan. Di sinilah saya mula belajar mengenali huruf ABC, belajar membaca dan mengira. Saya memasuki darjah satu 'aliran Inggeris' sekolah ini pada tahun 1959. Guru Besar ketika itu ialah Allahyarham Mr. Omar. Namun untuk darjah 3, saya bertukar masuk ke aliran Melayu. Ini kerana semasa darjah 1 dan 2, prestasi akedemik saya tidak begitu memberansangkan kerana arwah Tok saya kata saya belajar di sekolah orang 'kafir'. Begitulah persepsi masyarakat ketika itu jika seseorang belajar di sekolah inggeris. Saya mula menunjukkan prestasi akedemik yang lebih baik selepas memasuki aliran Melayu di darjah 3. Seterusnya, untuk darjah 4 dan separuh darjah 5, saya belajar di Sekolah Kebangsaan Sg. Limau Dalam kerana diajak oleh abang saya Allahyarham Ku Ishak (Pak Ku Ak) seorang guru untuk tinggal bersamanya di sana. Saya juga berpeluang menjadi murid di Sekolah Kebangsaan Yan Laki-Laki (sekarang di kenali Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam) untuk separuh bagi darjah 5. Selepas itu, saya kembali ke Sekolah Kebangsaan Langkasuka untuk menamatkan persekolahan rendah saya (darjah 6). Ia beerti saya belajar di sekolah ini selama 4 tahun lamanya. Guru Besar dan guru-guru ketika itu sungguhpun tidak berpendidikan tinggi (sesetengahnya setakat darjah 6 sahaja) tetapi mereka amat komited, dedikasi dan semangat tinggi. Saya masih ingat Allahyarham abang saya Ku Ishak semasa mengajar saya darjah 4 di Sekolah Sg. Limau. Beliau amat dedikasi dan tegas semasa di dalam kelas. Seorang lagi bekas guru saya semasa di Sekolah Rendah Langkasuka, Cikgu Akib namanya, mengajar matapelajaran Tawarikh (sekarang dipanggil Sejarah), kaedah pengajarannya amat berkesan sekali sehingga membuatkan saya begitu tertarik dengan matapelajaran tersebut sehingga ia menjadi subjek yang paling saya minati. Begitulah betapa besar peranan dan pengaruh seorang guru dalam membentuk pemikiran murid.



Pada hari yang sama iaitu 10 November, jam 4.30 petang. Saya dijemput oleh KEMAS Daerah Yan untuk memberi ucapan penutup di Majlis Penghargaan dan Penyampaian sijil-sijil serta cenderahati kepada mereka yang memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada KEMAS dalam menjayakan program-programnya sepanjang tahun 2010. Mereka termasuklah jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), Pengerusi JKKKP dan individu.