23/3/2010 - Persatuan Nelayan Kawasan Yan yang di pengurusikan oleh Tn. Haji Saidin Bin Kassim telah menjemput saya untuk merasmikan mesyuarat agung kali ke-30 pada 23 Mac 2010, jam 9.30 pagi di Dewan Dato' Madi, Pekan Yan. Majlis ini dihadiri oleh En. Mohd Noor Hadi, Pengarah LKIM Negeri Kedah. Ini adalah kali ke-2 saya merasmikan mesyuarat agung persatuan ini sejak menjadi wakil rakyat.
Dalam ucapan, antara lain seperti biasa saya mengatakan sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur kerana negara kita dalam keadaaan aman damai, tenteram dan makmur. Sebagai perbandingan lihatlah sahaja negara-negara lain sperti Iraq, Afghanistan, berapa buah negara Afrika dan yang terdekat dengan kita negara di sebelah utara semenanjung yang kacau bilau, berlaku pergaduhan, peperangan dan sebagainya yang membawa kepada ketidakstabillan politik. Keadaan politik yang tidak stabil akan memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi kerana pelabur-pelabur (sama ada dari dalam atau luar negeri) tidak berani melabur. Jika ekonomi tidak bertumbuh, maka akhirnya rakyatlah yang akan menerima akibatnya kerana kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi untuk membangunkan negara dan membantu mereka yang memerlukan. Semua nikmat yang dirasai selama ini, sejak kita merdeka adalah disebabkan kepimpinan negara yang berwawasan dan jujur dalam usaha untuk membangunkan negara sejak tahun 1957 lagi.
Saya juga menyentuh tentang peranan persatuan nelayan untuk membantu kerajaan bagi merealisasikan matlamat pengeluaran hasil laut/ikan yang mencukupi bagi keperluan rakyat Malaysia, ertinya kita tidak perlu lagi mengimportnya dari negara luar, khususnya negara jiran. Berdasarkan kepada purata keperluan 58 kg bagi seorang rakyat Malaysia setahun dan dengan jumlah penduduk 27 juta, jumlah keperluan ikan bagi negara ialah 1.57 juta metrik tan setahun. Negara mengimport 40 peratus dari keperluan ikan (628,000 tan). Dianggarkan 50 peratus dari ikan yang diimport ini sebenarnya 'dirompak' dari perairan negara kita sendiri. Saya yakin sebuah negara maritim yang dikelilingi oleh laut dan tanah yang luas, Malaysia mampu untuk membekalkan ikan yang mencukupi untuk menampung keperluan penduduknya, tanpa perlu mengimport. Hasrat ini boleh dicapai jika nelayan-nelayan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dapat membuat satu tranformasi seperti mana yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri.
Pada hari ini juga, saya berkesempatan untuk menemui Pengetua Sekolah Menengah Yan, Pn. Rohani untuk berbincan mengenai cadangan saya untuk mengadakan kelas tuisyen, seminar motivasi untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini serta ibu bapa masing-masing dan beberapa pekara lain.
No comments:
Post a Comment