Pages

Sunday, January 30, 2011


1.
Pada 12 Januari hari rabu, saya menziarah kematian di Kampung Keda Sungai Udang dan penduduk yang sakit di Kawasan DUN Guar Chempedak. Di Kampung Tok Kau, menziarah Pn. Sub bt Jab, isteri kepada bekas Pengerusi JKKKP dan Ketua Cawangan yang mengalami sakit tua dan Pn Sarimah bt Md Noh, anak saudaranya yang menderita sakit lumpuh. Saya ditemani oleh Saudara Zamri, Pengerusi JKKKP Kampung Tok Kau dalam lawatan tersebut. Kemudiannya, saya menziarah Pak Man dan isterinya Pn Salmah bt Dahalan yang sakit di Kampung Jawa. Isteri Pak Man adalah kawan baik Allahyarhamah ibu saya, Hjh Salbiah Hj Kassim yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2006. Pada 27 Januari, Pak Man telah kembali ke rahmatullah dan di kebumikan selepas zohor. Saya juga berkesempatan untuk menziarahnya.



2. Saya menghadiri Mesyuarat Agung Jemaah Dato'-Dato' Negeri Kedah pada 15 Januari lalu di Hotel Seri Malaysia. Sebelah malamnya, saya dan isteri menghadiri majlis bacaan yasin dan doa sempena Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke-83 di Masjid Zahir Alor Setar.

3. 16 Januari adalah hari ulang tahun sempena Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah Yang ke-83. Sepertimana setiap tahun (saya tidak pernah tidak hadir sejak tahun 2002 termasuk tahun-tahun semasa saya berada di Taiwan). Saya menghadiri istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran dan juga Majlis Jamuan Teh di Istana Anak Bukit. Pada sebelah malam 17 Januari pula, saya dan isteri menghadiri Majlis Jamuan Negeri di Istana Anak Bukit. Bagi saya dan isteri, ulang tahun Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan adalah peristiwa yang paling istimewa dalam diari kami. Peluang untuk bersalaman dan beramah mesra dengan Tuanku Sultan adalah sesuatu yang cukup istimewa bagi diri kami dan tetamu lain yang hadir. Tuanku Sultan Kedah adalah seorang raja yang berjiwa rakyat dan sentiasa menunjukkan kemesraan. Saya dan isteri sungguh bertuah kerana berpeluang untuk bersalaman dengan Tuanku Sultan dan lebih-lebih lagi kami berdua dikurniakan Darjah Setia DiRaja Kedah masing-masing pada tahun 2003 dan 2008.





4. Pada 20 Januari, YAB Perdana Menteri telah membuat lawatan ke negeri Kedah. Sempena lawatan tersebut, satu perhimpunan Perdana Menteri bersama rakyat telah diadakan di Tikam Batu, pada jam 4 petang. Saya turut sama menghadiri perhimpunan ini.




5. Pada 21 Januari, saya ke Labis untuk menghadiri Mesyuarat JK BNBBC (ADUN) pada jam 4.30 petang. Mesyuarat diadakan bagi mengatur perancangan untuk membantu jentera BN dalam pilihanraya kecil DUN Tenang pada 30 Januari. Kami juga bersolat Maghrib di Masjid Labis sebelum menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa kepada Allahyarham Dato' Sulaiman Taha (bekas ADUN) di rumahnya tidak jauh dari Masjid Labis.



6. Pada 22 Januari, saya turut serta dalam perarakan penamaan calon yang diketuai oleh YAB Timbalan Perdana Menteri sebagai sokongan kepada calon BN En. Azhar Ibrahim di Pekan Labis.

7. Pada 25 Januari, saya menghadiri Majlis Taklimat Peruntukan YAB Perdana Menteri kepada ADUN BN di Wisma Persekutuan, Anak Bukit. Majlis taklimat ini di pengerusikan oleh Tn Hj Hidzir Ismail, Pegawai Pembangunan negeri.

8. Pada 28 dan 29 Januari, saya dan beberapa orang ADUN BN yang lain berada di Labis untuk membantu jentera BN dalam PR Kecil DUN Tenang. BNBBC (Barisan National Backbenchers Club) juga diberi peranan untuk membantu jentera BN di Dun Tenang. Saya telah diberikan tugas untuk bertemu dan meminta sokongan dari pengundi-pengundi Cina di peti undi Pekan Labis . Saya ucapkan setinggi penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada UMNO bahagian Johor Bharu (khususnya Puteri), dan UMNO Cawangan Taman Berjaya (khususnya wanita) yang membantu saya untuk turun bersama berjumpa dengan pengundi-pengundi. Bagi saya, berada di kawasan PR Kecil seperti di DUN Tenang, sedikit sebanyak membantu jentera BN adalah penting dan memberi makna yang mendalam . Pertamanya dalam menunjukkan sokongan moral dan mencerminkan semangat setiakawan dan kebersamaan dalm perjuangan. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana BN telah beroleh kejayaan dalam PR Kecil ke-15 selepas PR Ke-12 melalui calonnya Saudara Azhar Ibrahim dengan majoriti 3707 undi (1215 undi lebih dari PR Ke-12). Kemenangan BN ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan Gagasan 1 Malaysia YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam membawa negara kita Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.





Wednesday, January 19, 2011

1. Pejam celik, pejam celik (kata orang Kedah), sudah masuk hari ke-20 tahun 2011. Pada bulan Januari, boleh dikatakan pada setiap tahun,bumi kita dilanda pelbagai bencana alam. Di wilayah Queensland, Australia, khususnya bandaraya Brisbane dan Brazil, banjir besar berlaku sehingga mengorbankan ramai penduduk. Gempa bumi berlaku di banyak tempat termasuk di Indonesia, Jepun dan lain-lain. Manakala salji turun dalam musim panas di Australia. Tidak pernah kita mendengar Queensland, Australia dilanda banjir sebesar ini. Semua ini adalah petanda buruk bahawa bumi yang kita diami sedang berhadapan dengan masalah serius kesan 'Global Warming' (Pemanasan Global). Dijangkakan dalam tempoh 50 tahun akan datang, banyak pulau-pulau kecil di Lautan Pasifik akan tenggelam dan tidak boleh didiami lagi.

2. Di Malaysia, antara peristiwa besar yang berlaku ialah isu novel Interlok. Dok tak dok, sebuah novel yang diterbitkan pada tahun 1971 yang ditulis oleh sasterawan negara, Abdullah Hussain dan telah digunakan sebagai buku teks sastera di Sekolah Menengah berpuluh tahun dibakar oleh 100 orang penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang pada 8 Januari lalu. Perbuatan ini amat mendukacitakan. Persoalannya kenapa baru sekarang kandungan muka surat 211 dan 220 dibangkitkan. Saya percaya pasti ada individu atau individu-individu tertentu yang tidak bertangungjawab di sebalik isu Interlok ini. Atau mungkin juga ada usaha oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda yang lebih besar. Hanya mereka sahaja yang tahu apakah agenda besar mereka ini. Sungguhpun saya tidak pernah membaca secara menyeluruh novel ini kerana semasa di sekolah menengah dahulu saya tidak mengambil matapelajaran sastera kerana belajar dalam aliran sains tulin, tetapi dari apa yang dapat saya fahami melalui perbincangan-perbincangan kandungan novel ini menggambarkan sejarah dan realiti sosial yang berlaku ketika itu selain menonjolkan gagasan perpaduan bagi negara yang baru dibentuk dan berdaulat. Jadi, kenapa harus novel ini menjadi polemik dan di politikkan.

Saya amat terasa sekali dalam isu novel ini kerana penulisnya iaitu Dato' Abdullah Hussain ialah orang Yan, dilahirkan dan dibesarkan di Sungai Limau. Dua orang adik beradiknya memang terkenal dan banyak menabur jasa kepada bangsa dan negara. Professor Tan Sri Ismail Hussain, Ketua 1 GAPENA adalah seorang pejuang bahasa Melayu yang begitu gigih manakala seorang lagi ialah Allahyarham Dato' Ibrahim Hussain, seorang pelukis tersohor yang menempa nama di peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama Malaysia.

3. Pada 4 Januari,hari selasa, saya menziarahi En Othman di Kampung Keda, Sungai Udang yang mengalami sakit lumpuh. Beliau menyuarakan hasrat untuk mendapatkan kerusi roda. Keesokan harinya saya bersama Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Yan, Puan Yusnita telah menziarahinya dan menyumbangkan sebuah kerusi roda.



4. Pada hari rabu, 5 Januari saya menyertai masyarakat sekitar untuk mengacau bubur asyura di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Jalan Ruat, Yan. Selepas itu, saya bersama Puan Yusnita, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Yan dan beberapa orang Pegawai JKM menziarahi En Ong yang sakit tua di Sungai Yan.



5. Pada malam selepas isha' 7 Januari, saya sempat ke rumah Allahyarham Hj Hashim Chik untuk majlis bacaan doa arwah.

6. Pada 8 Januari sebelah pagi, saya menziarahi kematian di Batu 20, Jalan Yan. Selepas itu, saya ke Kampung Singkir Laut untuk menziarahi pesakit-pesakit. Saya bersama Pengerusi JKKKP Kampung Singkir Laut, Puan Marshitah menziarahi En Md Desa (sakit lumpuh), En Satar (bekas Pengerusi JKKKP Kampung Singkir Laut dan Kakitangan Pejabat UMNO Jerai) dan En Abdullah Jaafar yang tinggal bersama adiknya (kedua-duanya berumur 80-an) yang wang mereka diambil pencuri beberapa hari sebelumnya. Saya memberikan sedikit sumbangan sedikit wang dan kain pelikat sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib yang menimpa mereka.



Wednesday, January 5, 2011

Sunday, January 2, 2011