Pages

Wednesday, April 28, 2010

Program Harian

9/4/2010 - Jam 8.00 pagi saya ke Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Yan untuk melihat dengan sendiri kelas tuisyen untuk 100 murid-murid (empat kelas)darjah 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Mereka ini adalah terdiri daripada murid-murid Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, Sekolah Kebangsaan Pauh, Sekolah Kebangsaan Setar, Sekolah Kebangsaan Yan Kechil dan Sekolah Kebangsaan Tok Mat Salleh, Kg Ruat. Kelas ini ditaja oleh Yayasan CIMB dan ADUN Guar Chempedak. Saya percaya pendidikan adalah pelaburan terbaik untuk masa depan bangsa dan negara. Hanya pendidikan yang dapat mengubah nasib individu dan bangsa.





Selepas itu, saya menziarahi kematian di Kampung KEDA, Sg. Udang. Jam 10.00 pagi, saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Yan untuk merasmikan Kem Pengakap Anjuran Persatuan Pengakap Daerah Yan. Kem ini berlangsung selama 3 hari 2 malam dan disertai oleh 200 orang pengakap dari Daerah Yan yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah. Di majlis ini saya dilantik menjadi Naib Pengerusi Pengakap Daerah Yan.





Kali ini saya bersolat di masjid Sg. Yan kemudiannya ke rumah Kak Ani, jiran cikgu Shukor, pengerusi JKKKP Sg.Yan untuk kenduri arwah.

Jam 3 petang ke Kompleks Bomba Guar Chempedak untuk bertemu dengan kadet bomba Yan/ Kuala Muda untuk menyertai pertandingan peringkat negeri Kedah di Alor Setar. Saya memberi sumbangan T-shirt kepada mereka sebagai tanda ingatan dan suntikan semangat kepada mereka.

Di sebelah malam, selepas Isha' saya menghadiri forum perdana di Sekolah Kebangsaan Ulu Sedeka dirasmikan oleh YB Senator Dato' Seri Jamil Khir. Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Monday, April 26, 2010

Program Harian

8/4/2010 - Sebelum menghadiri mesyuarat di Giat Mara, Yan yang di pengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarahnya. Saya sampai ke pejabat ADUN untuk bertemu dengan rakyat. Seperti biasa bila saya di Pejabat ADUN(yang ditetapkan ialah pada hari rabu dan khamis), tetapi hari lain pun saya akan berada di situ jika berada dalam kawasan, ramai juga yang datang bertemu dengan pelbagai masalah, terutamanya masalah rumah.

Di sebelah petang, selepas asar saya ke Kuala Sedaka untuk melawat dan bertemu peserta workship membaiki peralatan nelayan anjuran Giat Mara dan Yayasan Taqwa. Saya diminta untuk memberi ucapan ringkas bagi memberi nasihat yang perlu kepada peserta.

Saya dijemput untuk memberi penerangan dan ceramah ajuran cawangan UMNO Zon Bedong di dewan orang ramai Bedong Timur. Ramai juga yang hadir termasuk Ketua-Ketua Cawangan, Ketua-Ketua Wanita Cawangan dan Ketua-Ketua Pemuda dalam Zon Bedong. Dalam ceramah berkenaan saya menyentuh tentang pelbagai isu politik semasa, kepimpinan negara dan juga berhubung dengan Modal Ekonomi Baru oleh YAB Perdana Menteri.

Majlis Kenduri Tahlil

4/4/2010 (Ahad) - Selepas Isha' saya menghadiri majlis bacaan tahlil dan kenduri arwah di rumah Tan Sri Dato' Seri Osman Aroff, bekas Menteri Besar Kedah di Alor Setar untuk isteri beliau yang meninggal dunia pada 29 Mac . Majlis in telah dianjurkan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Kedah.

Saturday, April 17, 2010

Program Harian ( Majlis Gotong-royong dan Majlis Makan Malam Sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah)

3/4/2010 (Sabtu) - Pergerakkan Puteri UMNO bahagian Yan mengadakan aktiviti gotong-royong di Sekolah Kebangsaan Teroi yang dihadiri sama YB. Dato' Tajuddin Abd Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak, ahli Majlis Tertinggi yang juga bapa angkat kepada UMNO bahagian Jerai. Aktiviti sebegini amat baik sekali kerana ia mampu mendekatkan kita dengan masyarakat.








Di sebelah malam saya dan isteri menghadiri majlis makan malam sempena hari keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit,anjuran Jema'ah Dato' Negeri Kedah. Majlis sebegini memberi peluang kepada ahli-ahli Jema'ah Dato' Negeri Kedah untuk beramah mesra dengan KDYMM Tuanku Sultan. Ia juga memberi peluang kepada ahli-ahli untuk bertemu rakan-rakan lama.



Program Harian

2/4/2010 (Jumaat) - Hari ini saya menunaikan solat jumaat di masjid Kg. Pauh. Selepas itu, menziarahi keluarga Abdillah Hussain Kg. Pauh yang meninggal dunia pada 30 Mac lalu akibat sakit kencing manis.

Melawat keluarga yang mempunyai tiga orang anak OKU di Kg. Belida, Guar Chempedak bersama Saudara Abu, Pengerusi JKKKP kampung berkenaan. Atas usaha yang dilakukan, keluarga ini telah mendapat bantuan JKM sebanyak RM 450 sebulan.

Perjumpaan Pengarah-Pengarah Negeri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

1/4/2010 (Khamis) - Pada hari ini, saya menghadiri perjumpaan antara pengurusan tertinggi dengan pengarah-pengarah negeri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di ibu pejabat LPP, Pusat Bandar Damnasara, Kuala Lumpur.Turut hadir dalam perjumpaan ini ialah Yang Bahagia Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Lembaga Pengarah (LPP).

Wednesday, April 14, 2010

Program Harian

31/3/2010 (Rabu) - Di sebelah petang hari ini, saya menghadiri taklimat mengenai 1 Malaysia oleh Dato' Sahlan, Pengerusi Khas kepada YAB Perdana Menteri dan Program Transformasi Kerajaan oleh Dato' Seri Idris Jalani, Menteri di JPM (Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines) amjuran Kelab ADUN Penyokong-Penyokong Kerajaan BN (BNBBC). Lebih dari 200 orang ADUN BN dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah menghadiri taklimat yang diadakan di Petaling Jaya ini.

Pada malamnya, semua ADUN BN telah menjadi tetamu kepada YAB Perdana Menteri dan isteri dalam majlis makan malam di Seri Perdana, Putrajaya. Dalam ucapan YAB Perdana Menteri di majlis tersebut antara lain beliau menyentuh tentang 4 ciri penting untuk menjadi wakil rakyat yang baik dan berkesan. Pertamanya kerap turun ke padang, rajin bertemu rakyat. Ke-2 mudah di hubungi. Ke-3 mampu menyelesai masalah masalah rakyat dan ke-4 menunaikan janji. Ciri yang lain ialah sentiasa senyum dan peramah.

Tuesday, April 13, 2010

Program Harian

30/3/2010 (Selasa) - Saya menghadiri 'fuel raising' anjuran KASIH (Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN Selangor) di Hotel Doset, Subang Jaya. Persatuan in di pengerusikan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir di majlis berkenaan ialah YAB Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Kedah

27/3/2010 (Sabtu) - Saya ke Langkawi untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan bagi Negeri Kedah pada keesokan harinya. Kesempatan ini saya ambil untuk mengikuti program lawatan YB. Dato' Wira Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertanian ke kawasan nelayan di Langkawi, termasuk Pulau Tuba.

Banyak pekara yang dapat dipelajari dalam lawatan-lawatan seperti ini. Dalam beberapa sesi dialog antara Dato' Johari dengan nelayan, beberapa isu yang membabitkan masalah nelayan telah dibangkitkan. Umpamanya muara sungai yang cetek (tak dapat ke laut kerana air surut), lesen menangkap ikan, bantuan bot, enjin dan sebagainya.



Aktiviti Harian

26/3/2010 - Pagi hari ini,saya berkesempatan untuk bersarapan pagi bersama Saudara Ezam di kedai nasi lemak Kak Cik, Kg. Ruat sebelum beliau pulang.

Seperti biasa pada hari jumaat, saya bersolat di masjid-masjid kawasan DUN Guar Chempedak. Kali ini saya menunaikan solat jumaat di Masjid Singkir Laut. Selepas itu, makan kenduri arwah di salah sebuah rumah berhampiran masjid berkenaan. Rezeki di negara kita yang aman damai ini memang banyak dan melimpah ruah. Inilah nikmat Allah S.W.T kepada kita, rakyat Malaysia di bumi bertuah ini. Namun segala nikmat ini tidak mustahil akan hilang dari kita suatu hari nanti jika kita tidak bijak menjaganya.

Monday, April 5, 2010

Program Harian

25/3/2010 -Program Rapat 1 Malaysia
Pada 25 Mac 2010, 9 pagi, saya menghadiri program Rapat 1 Malaysia anjuran JASA di UITM Merbok. Program ini telah dirasmikan oleh YB. Dato' Seri Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah.




Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Yan

Saya dijemput oleh pihak sekolah dan PIBG Kebangsaan Langkasuka untuk merasmikan mesyuarat agung mereka pada jam 2.30 petang. Sekolah ini adalah tempat bermulanya alam persekolahan saya pada tahun 1959. Saya belajar di sekolah ini selama empat tahun, iaitu dari darjah 1 hingga darjah 3 dan kemudiannya darjah 6. Bagi darjah 4 dan separuh darjah 5, saya belajar di Sekolah Kebangsaan Sg. Limau. Saya juga pernah belajar selama 6 bulan semasa darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Laki-Laki(sekarang namanya Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam). Sewaktu saya belajar di Sekolah Langkasuka, guru besarnya ialah Allahyarham Mr. Omar.

Dalam ucapan saya, antara lain saya menyentuh tentang peranan PIBG sebagai jambatan antara ibu bapa dan pihak sekolah, mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan sekolah atas kejayaan 11 orang pelajarnya memperolehi 5A, disiplin anak-anak dan perlunya ibu bapa memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pendidikan anak-anak. Pendidikan adalah 'senjata' paling berkesan bagi mengubah nasib bangsa. Saya juga menyentuh tentang perlunya dipecahkan benteng-benteng fahaman politik yang boleh memecahbelah dan menggagalkan usaha untuk memajukan pendidikan anak bangsa. Saya juga mengumumkan program tuisyen untuk murid-murid darjah 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR tahun ini.







Ceramah Isu-Isu Semasa Politik Oleh Sdr. Ezam Mohd. Nor

Saya telah menjemput Saudara Ezam Mohd Nor,bekas Setiausaha Politik Dato' Seri Anwar Ibrahim (semasa beliau menjadi Timbalan Perdanan Menteri dulu) untuk memberi ceramah anjuran pejabat ADUN Guar Chempedak bersama Pergerakkan Pemuda UMNO Bahagian Jerai yang dipimpin oleh Saudara Bassori bin Abu Hassan, UMNO cawangan Sg. Yan yang diketuai oleh Cikgu Shukor. Saudara Ezam adalah rakan lama saya semasa saya menjadi Setiausaha Politik kepada YB Dato' Seri Syed Hamid Albar (Sekarang Tan Sri) dari tahun 1997 - 2001. Kami berdua sama-sama mengangkat sumpah jawatan dengan YAB Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun).



Sunday, April 4, 2010

Program Harian (Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Yan Kali Ke-30)

23/3/2010 - Persatuan Nelayan Kawasan Yan yang di pengurusikan oleh Tn. Haji Saidin Bin Kassim telah menjemput saya untuk merasmikan mesyuarat agung kali ke-30 pada 23 Mac 2010, jam 9.30 pagi di Dewan Dato' Madi, Pekan Yan. Majlis ini dihadiri oleh En. Mohd Noor Hadi, Pengarah LKIM Negeri Kedah. Ini adalah kali ke-2 saya merasmikan mesyuarat agung persatuan ini sejak menjadi wakil rakyat.

Dalam ucapan, antara lain seperti biasa saya mengatakan sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur kerana negara kita dalam keadaaan aman damai, tenteram dan makmur. Sebagai perbandingan lihatlah sahaja negara-negara lain sperti Iraq, Afghanistan, berapa buah negara Afrika dan yang terdekat dengan kita negara di sebelah utara semenanjung yang kacau bilau, berlaku pergaduhan, peperangan dan sebagainya yang membawa kepada ketidakstabillan politik. Keadaan politik yang tidak stabil akan memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi kerana pelabur-pelabur (sama ada dari dalam atau luar negeri) tidak berani melabur. Jika ekonomi tidak bertumbuh, maka akhirnya rakyatlah yang akan menerima akibatnya kerana kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi untuk membangunkan negara dan membantu mereka yang memerlukan. Semua nikmat yang dirasai selama ini, sejak kita merdeka adalah disebabkan kepimpinan negara yang berwawasan dan jujur dalam usaha untuk membangunkan negara sejak tahun 1957 lagi.

Saya juga menyentuh tentang peranan persatuan nelayan untuk membantu kerajaan bagi merealisasikan matlamat pengeluaran hasil laut/ikan yang mencukupi bagi keperluan rakyat Malaysia, ertinya kita tidak perlu lagi mengimportnya dari negara luar, khususnya negara jiran. Berdasarkan kepada purata keperluan 58 kg bagi seorang rakyat Malaysia setahun dan dengan jumlah penduduk 27 juta, jumlah keperluan ikan bagi negara ialah 1.57 juta metrik tan setahun. Negara mengimport 40 peratus dari keperluan ikan (628,000 tan). Dianggarkan 50 peratus dari ikan yang diimport ini sebenarnya 'dirompak' dari perairan negara kita sendiri. Saya yakin sebuah negara maritim yang dikelilingi oleh laut dan tanah yang luas, Malaysia mampu untuk membekalkan ikan yang mencukupi untuk menampung keperluan penduduknya, tanpa perlu mengimport. Hasrat ini boleh dicapai jika nelayan-nelayan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dapat membuat satu tranformasi seperti mana yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri.

Pada hari ini juga, saya berkesempatan untuk menemui Pengetua Sekolah Menengah Yan, Pn. Rohani untuk berbincan mengenai cadangan saya untuk mengadakan kelas tuisyen, seminar motivasi untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini serta ibu bapa masing-masing dan beberapa pekara lain.