Sunday, July 31, 2011

Kepada semua umat Islam, saya ucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga amalan dan ibadat kita di bulan yang mulia ini mendapat berkat dari Allah S.W.T
MENZIARAHI KEMATIAN DAN MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT PERLAKSANAAN PROGRAM KEMBARA RAMADHAN

Pada 31 Julai, sebelah pagi, saya menziarahi kematian ibu kepada saudara Jaafar Harun, Pengerusi JKKKP Ban 7A di Kampung Ban 7A.

Pada jam 3 petang, saya mempengerusikan Mesyuarat Perlaksanaan Program Kembara Ramadhan peringkat Daerah Yan di Bilik Mesyuarat Masjid Jamek, Yan.
MESYUARAT JK PERSATUAN ALUMNI SMSAH

Pada 29 Julai, jam 9 malam, saya menghadiri Mesyuarat JK Persatuan Alumni SMSAH di Kampus Cawangan Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur.
MESYUARAT JAWATANKUASA PERSIAPAN KENDURI RAKYAT DAN KENDURI RAKYAT

Pada 24 Julai, saya menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Persiapan Kenduri Rakyat sempena lawatan YAB PM ke Guar Chempedak.

Pada 28 Julai, jam 9 pagi, saya berada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar untuk menyambut ketibaan YAB PM sempena lawatan ke Negeri Kedah.

Jam 11 pagi, saya bersama YAB Perdana Menteri ke Guar Chempedak untuk menghadiri kenduri rakyat bersama penduduk-penduduk DUN Guar Chempedak.


Saturday, July 23, 2011

PROGRAM SEPAKAT KOMUNITI 1 MALAYSIA, MENZIARAH KEMATIAN DAN MAKAN KENDURI

Pada 23 Julai, saya menghadiri makan tengahari di Taman Yan, Sungai Yan di mana Program Sepakat Komuniti 1 Malaysia anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah Yan, Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak, JKKKP Taman Yan, JK Surau Taman Yan dan Komuniti Bestari 1 Malaysia. Sebelah petangnya, jam 4 petang saya bersama isteri menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah-Hadiah program berkenaan. Saya dijemput untuk memberi ucapan dan seterusnya menutup secara rasmi Program Sepakat 1 Malaysia. Program sehari suntuk ini amat berkesan sekali dalam mengumpulkan seluruh penduduk berbilang kaum di Taman Yan. Saya amat seronok sekali melihat perpaduan yang ditunjukan oleh penduduk Taman Yan yang berbilang kaum ini. Sesungguhnya, perpaduan adalah asas utama kepada kestabilan politik negara yang membawa kepada keamanan, ketenteraman dan kemajuan ekonomi sejak Merdeka tahun 1957. Hadir sama dalam majlis penutup ialah En. Masnoor, Pengarah Penerangan Negeri Kedah. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat khususnya Pejabat Penerangan Yan dan JKKKP Taman Yan atas kejayaan Program Sepakat Komuniti 1 Malaysia.

Pada 23 Julai juga, saya berkesempatan menziarah jenazah Pak Ku Shaari di Kampung Raga dan makan kenduri di rumah Pn Faridah, Guar Chempedak.




MALAM GALA APRESIASI DAN PELANCARAN PROJEK HATI NURANI

Pada 22 Julai, saya bersama isteri menghadiri Malam Gala Apresiasi 20 tahun (sambutan penubuhan) Yayasan Nurul Yaqeen dan pelancaran Projek Hati Nurani oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Projek Hati Nurani adalah hasil ilham Yang Amat Bahagia Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, isteri kepada YAB Timbalan Perdana Menteri. Salah satu program utama yang dilaksanakan ialah projek 'Sekolah Dalam Hospital'. Puan Seri Noorainee sendiri adalah penaung kepada Projek Hati Nurani. Projek Sekolah Dalam Hospital adalah satu usaha yang amat murni bagi membantu mewujudkan sistem pembelajaran yang lebih teratur dan bersistematik bagi kanak-kanak dan remaja yang menerima rawatan yang panjang serta berulang di hospital-hospital dibawah Kementerian Kesihatan

Wednesday, July 20, 2011

MENYAMPAIKAN HADIAH HARI ANUGERAH CEMERLANG 2011 SEKOLAH MENENGAH YAN DAN MELAWAT KAWASAN

Pada 20 Julai, saya dijemput untuk memberi ucapan perasmian serta menyampaikan hadiah bagi Hari Anugerah Cemerlang 2011 Sekolah Menengah Yan. Saya berasa besar hati dan berbangga sekali kerana diundang dan berada di sekolah ini kerana lebih 40 tahun lalu (semasa di tingkatan 1-3), sebelum memasuki Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jenan), saya pernah belajar dan menimba ilmu di sekolah ini. Cuma bezanya dengan sekarang, sekolah ini sudah banyak berubah. Keadaan dan kemudahan jauh lebih baik; mempunyai dewan yang besar dan selesa, bangunan sekolah yang baru dan canggih dan bermacam-macam lagi. Antara intisari ucapan, saya mengucapkan setinggi tahniah kepada semua warga sekolah atas kejayaan cemerlang yang dicapai pada tahun 2010. Di peringkat PMR, 16 orang murid memperolehi 5A keatas (2 orang 8A dan 7 orang 7A), di peringkat SPM, 8 orang murid memperolehi 5A keatas (seorang mendapat 7A), manakala di peringkat STPM pula, pencapaian amat membanggakan sekali (terbaik dalam sejarah). Sekolah Menengah Yan menduduki tempat ke-3 terbaik bagi negeri Kedah. Seorang murid bernama Hashimah Bt Khalid telah memperolehi keputusan terbaik keseluruhan dengan mendapat 4A dan PNGK 4.00.

Bagi melahirkan pelajar cemerlang, sokongan dan penglibatan semua pihak termasuk pengetua, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid amat diperlukan.

Pada sebelah petangnya, saya sempat melawat Kuala Sungai Yan untuk melihat pembinaan di situ yang saya pohon dan telah diluluskan oleh pihak Kerajaan Persekutuan (BN). Sebelah malamnya pula, sempat bersolat Isha' berjemaah di Surau Kampung Raga.


MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN KOPERASI NEGERI KEDAH KALI KE-2

Pada 19 Julai, saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri Kedah kali ke-2 bagi tahun 2011 di Hotel Regency, Alor Setar. Banyak perkara yang dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat setiap 3 bulan ini. Antaranya ialah kelulusan pihak SKM bagi melanjutkan tempoh pengurus kepada koperasi yang dibayar oleh SKM dari 6 bulan kepada 12 bulan, prestasi kewangan beberapa buah koperasi di negeri Kedah dan program bagi sepanjang tahun 2011.
MENYAMPAIKAN BANTUAN JKM DI KAMPUNG SINGKIR DARAT

Pada 18 Julai, sebelah petangnya, saya bersama pegawai-pegawai JKM Daerah Yan, En Roslan serta dua orang kakitangan menyampaikan bantuan kewangan sebanyak RM 300/= kepada En Mahmad Bin Awang di Kampung Singkir Darat. Pihak JKM telah meluluskan permohonan En Mahmad untuk bantuan bulanan sebanyak RM 300 sebulan. En Mahmad sudah berusia 84 tahun dan hidup sebatang kara, tiada isteri dan anak-anak.

Tuesday, July 19, 2011

Monday, July 18, 2011

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH

Pada 18 Julai, saya menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darulaman, Alor Setar. Isu hangat dalam soal jawab kali ini ialah mengenai peruntukan penyenggaraan jalan-jalan negeri. Isu ini timbul dari soalan YB Dato' Paduka Ahmad Bashah, ADUN Bakar Bata yang menanyakan tentang kenyataan Menter Kerja Raya bahawa Kerajaan Negeri telah menyalahgunakan wang peruntukan penyenggaraan jalan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat. Persoalan besar yang timbul ialah kerana pada tahun 2010 umpamanya, Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM 54.35 juta untuk penyenggaraan jalan sedangkan peruntukan Kerajaan Pusat ialah RM 147.7 juta. Jawapan yang diberikan oleh ADUN Pengkalan Kundur ialah perbelanjaan dibuat berdasarkan kepada peruntukan bajet dan yang selebihnya disimpan dalam 'Tabung Amanah Jalanraya'. Jawapan itu tidak dapat diterima memandangkan banyak jalan-jalan negeri tidak diselenggara dengan baik sedangkan Kerajaan Pusat memberikan peruntukan yang lebih dari mencukupi. Pihak Kerajaan sepatutnya membawa kepada Sidang DUN untuk mendapat keseluruhan penambahan bajet. Ini tidak dilakukan. Banyak persoalan-persoalan yang timbul dalam isu ini; pertamanya, kenapa perlu wang lebihan ini dimasukkan dalam Tabung Amanah Jalanraya, keduanya, siapa yang menganggotai Lembaga Pengarah Tabung Amanah dan untuk apa wang berkenaan akan digunakan. Saya berharap Kerajaan Negeri dapat memberitahu rakyat tentang maklumat-maklumat ini.

MESYUARAT AGUNG PERTUBUHAN ALUMNI KELAB-KELAB UMNO LUAR NEGARA

Pada 17 Julai, saya menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan ALUMNI Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di PWTC. Perasmian telah dilakukan oleh YB Dato' Seri Shabery Chik, Menteri Belia Dan Sukan. Saya menghadirinya sebagai ahli dan juga atas kapasiti sebagai Naib Pengerusi 1 pertubuhan berkenaan.


MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN, MENZIARAHI KEMATIAN & ORANG SAKIT DAN PENYAMPAIAN HADIAH PROGRAM EXPLORASI 1 MALAYSIA

Pada 16 Julai, saya menghadiri majlis kenduri kahwin Bang Ya (Telok Tawar) di Kampung Permatang Keramat. Kemudiannya, menziarahi jenazah menantu Sdr Abd Razak Abdullah di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Seterusnya, menziarahi rakan saya Sdr Nazri (Pengurus BERNAS) di Bandar Darulaman yang sakit akibat 'stroke'. Pada jam 4 petang, dijemput untuk menyampaikan hadiah Program Explorasi 1 Malaysia anjuran Jabatan Perpaduan dan AADK di Sungai Yan. Selepas itu, ke Masjid Padang Besar untuk solat jenazah.


Wednesday, July 13, 2011

PERASMIAN PROGRAM PERMATA HATI UPSR, MESYUARAT JK UMNO BAHAGIAN JERAI, PERJUMPAAN ADUN-ADUN BN DAN MESYUARAT PENUBUHAN PETI UNDI

Pada 13 Julai, 9 pagi, saya merasmikan Program Permata Hati UPSR di Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Yan. Majlis ini dihadiri oleh lebih 300 orang hadirin yang terdiri daripada Guru Besar sekolah-sekolah rendah DUN Guar Chempedak, Pengerusi PIBG sekolah-sekolah yang terlibat (9 buah), waris-waris, guru-guru dan murid-murid tahun 6. Peruntukan sebanyak RM 15,000 yang disediakan oleh Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak kepada semua sekolah rendah dalam kawasan DUN Guar Chempedak. Sejumlah 300 orang murid-murid darjah 6 dari SK Langkasuka, SK Guar Chempedak, SK Teroi, SK Nyak Gam, SK Yan Kechil, SK Singkir, SK Tok Mat Salleh, SK Pauh dan SK Kampung Setar. Saya memberikan penumpuan dan penekanan kepada pendidikan kerana ia amat berkesan dalam mengubah nasib bangsa.

Pada jam 11 pagi, menghadiri Mesyuarat Khas JK UMNO Bahagian Jerai di NAZA. Kemudian, menghadiri perjumpaan ADUN-ADUN BN dengan YB Dato' Paduka Ahmad Bashah Hanipah, Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah/Pengerusi BN Kedah dan seterusnya Mesyuarat Pre Council Sidang DUN di Alor Star.

Sebelah malam, menghadiri Mesyuarat Penubuhan Peti Undi Kampung Acheh (meliputi cawangan-cawangan Kampung Acheh, Kampung Pauh, Kampung Setoi dan Kampung Rendang Pasir) di rumah En Shamsuddin (Ketua Cawangan Kampung Rendang Pasir).

KERATAN AKHBAR SINAR HARIAN (14/7/2011)

Tuesday, July 12, 2011

MAJLIS PELANCARAN KOR TANI WILAYAH UTARA, MESYUARAT PENUBUHAN DAERAH MENGUNDI DAN MELAWAT KAWASAN

Pada 11 Julai, saya menghadiri Majlis Pelancaran Kor Tani, Wilayah Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang & Perak) di Pendang Lake Resort. Pada peringkat awalnya, saya sepatutnya memberi ucapan mewakili Pengerusi LPP, Dato' Zainal Dahalan, yang tak dapat hadir. Namun demikian, oleh kerana YB Dato' Wira Mohd Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani tidak dapat hadir, saya telah diminta untuk mewakili beliau bagi merasmikan pelancaran Kor Tani Wilayah Utara.

Pada sebelah malamnya, menghadiri Mesyuarat Penubuhan Pusat Daerah Mengundi Kampung Ruat.

Pada 12 Julai, sebelah pagi, saya menziarahi arwah Abd Razak Rashid, Ketua UMNO Cawangan Kampung Sungai Bongkok. Pada sebelah petangnya, saya bersama pemilik-pemilik dusun buah-buahan di Singkir Genting mendaki bukit (lebih kurang 1000 kaki tinggi) untuk melihat sendiri keadaan jalan yang dilalui oleh pemilik-pemilik dusun buah-buahan untuk membawa turun hasil dusun mereka. Memang diakui mereka menghadapi kesukaran untuk membawa turun hasil dusun mereka untuk dijual.





MAJLIS PENERANGAN PERDANA DAN MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN

Pada 10 Julai, menghadiri Majlis Penerangan Perdana oleh YAB Perdana Menteri di PWTC, Kuala Lumpur. Majlis ini telah dihadiri oleh lebih 6000 orang peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO, pemimpin-pemimpin NGO dan pemimpin GLC.

Pada tengahari, 10 Julai, saya menghadiri majlis perkahwinan kawan karib anak saya, Ku Reza iaitu Nik Azhar di Kuala Lumpur. Nik Azhar adalah kawan karib anak saya dari darjah satu hingga tingkatan 3. Nik Azhar adalah seorang Juruterbang Malaysia Airlines dan anak kepada bekas Panglima Tentera Udara, Tan Sri Nik Ismail.

MAJLIS PELANCARAN MRT (MY RAPID TRANSIT) DAN MAJLIS PERASMIAN HARI KOPERASI NEGARA KE-10

Pada 8 Julai, saya menghadiri Majlis Perlancaran MRT (My Rapid Transit) oleh YAB Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Petronas, Kuala Lumpur.

Pada 9 Julai pula, menghadiri Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara Ke-10 oleh YAB Perdana Menteri di Putrajaya. Saya hadir atas kapasiti sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri Kedah.