Thursday, March 31, 2011

LAWATAN DATO MUKHRIZ TUN DR MAHATHIR KE DUN GUAR CHEMPEDAK

Dato' Mukhriz Tun Dr Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Timbalan Pengerusi Pehubungan UMNO Negeri Kedah telah melakukan satu lawatan ke kawasan DUN Guar Chempedak pada 27 Mac lalu, Beliau tiba jam 10 pagi untuk program menyusur ke akar bersama Puteri UMNO bahagian, di ikuti dengan kenduri rakyat di Kampung Sungai Belida dan perasmian Mesyuarat Agung PIBG di sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam. Pada keseluruhannya, program sehari suntuk ini mendapat sambutan yang menggalakan di kalangan penduduk dan amat berjaya sekali terutamanya dalam usaha untuk memperkukuh dan meningkatkan sokongan rakyat kepada BN/UMNO.



MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN FUTSAL, ALUMNI SMSAH

Pada 26 Mac, selepas kenduri (arwah) di rumah Che Saad Hamid, Kampung Raga. Saya bergegas ke Subang Jaya untuk Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan FUTSAL ALUMNI Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jenan, Jitra Kedah pada jam 4 petang. Saya sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan, saya dijemput untuk memberi ucapan dan menyampaikan hadiah. Sambutan terhadap pertandingan ini amat memberangsangkan sekali. Seramai lebih 50 pasukan mengambil bahagian dan seramai lebih 700 Ex Jenan hadir.

PERSIDANGAN UMNO CAWANGAN KAMPUNG PASIR

Pada 25 Mac, saya menghadiri persidangan UMNO cawangan Kampung Pasir, Guar Chempedak.
TEMUBUAL BERSAMA RTM 'AGROTECHNOLOGY SPORT FISHING' DAN MESYUARAT PDK (PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI)

Pada 23 Mac, jam 11 pagi, saya telah mempengerusikan mesyuarat JK Penasihat PDK Yan di PDK Jalan Ruat, Yan selepas temubual bersama RTM di Kuala Sungai Udang. Program bersama RTM ini mengenai umpan tiruan menggunakan bulu ayam warna putih untuk ditayangkan dalam program Agrotech pada hari sabtu.
MESYUARAT JK PENGANJUR KENDURI RAKYAT

Pada 22 Mac selepas Isha', saya telah mempengerusikan mesyuarat JK Penganjur Kenduri Rakyat sempena lawatan YB Dato' Mukhriz Tun Dr Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah ke kawasan DUN Guar Chempedak pada 27 Mac 2011. Mesyuarat telah diadakan di rumah Pak Su Zan (Hj Azizan), Kampung Sungai Belida. Petang sebelahnya, saya melawat Taman Desa Aman bagi melihat sendiri bonggol jalan (speed bump) setelah mendapat aduan dari Setiausaha MCA Jerai, Cikgu Lee.
MESYUARAT BERSAMA LKIM DAN AGENSI-AGENSI DI BAWAH KEMENTERIAN PERTANIAN DAN ASAS TANI

Pada 21 Mac, saya telah menghadiri mesyuarat bersama LKIM dan lain-lain agensi bagi mengatur program sempena lawatan YB Dato' Wira Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani pada 3 April yang akan datang. Mesyuarat berkenaan telah diadakan di Pejabat GIATMARA Yan. Pada sebelah malamnya, saya mempengerusikan mesyuarat JK GABEM Kedah di Pejabat GABEM, Alor Setar.
ZIARAH ORANG SAKIT (KEMALANGAN MOTORSIKAL) DI KAMPUNG SINGKIR LAUT

Pada 20 Mac selepas Asar, saya berkesempatan menziarahi En Md Johari Hashim di Kampung Singkir Laut yang mengalami kemalangan motorsikal beberapa hari lalu.
CERAMAH KOPERASI KEPADA AHLI-AHLI KOPERASI (ASD) DARI ACHEH

Saya dijemput oleh pihak KAMC (Kampung Acheh Management Centre) untuk memberi ceramah mengenai gerakan koperasi di Malaysia kepada ahli-ahli koperasi (lebih 200 orang) dari Acheh, Indonesia pada 20 Mac di KAMC, Kampung Acheh.
PERASMIAN PENUTUP KURSUS ASAS RELAWATI BAGI WILAYAH UTARA

Pada 17 Mac, saya telah dijemput untuk melakukan Perasmian Penutup Kursus Asas Relawati bagi wilayah utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak). Seramai lebih 200 peserta telah terlibat dalam kursus yang diadakan di Kem RELA, Bukit Selambau. Saya memberi ucapan penutup dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta.




LAWATAN KE RUMAH ORANG MISKIN BERSAMA PENGARAH JKM (JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT) KEDAH

Pada 15 Mac lalu, saya telah mengundang Tuan Haji Zulkifli, Pengarah JKM negeri Kedah untuk bersama-sama turun ke padang bagi melawat rumah orang-orang miskin yang sama ada masih menunggu bantuan (permohonan telah dibuat) atau bantuan telah ditarik balik oleh pihak JKM. Kami sempat melawat lebih sepuluh keluarga miskin. Program seperti ini amat baik sekali kerana Pengarah JKM sendiri dapat bersama melawat dan melihat sendiri keadaan keluarga miskin yang dilawati. Dalam lawatan berkenaan, setiap keluarga telah dihulurkan bantuan kewangan.


PROGRAM BANTUAN RAKYAT MISKIN TEGAR ANJURAN FAMA Program yang dilaksanakan oleh FAMA ini ialah bagi membantu rakyat miskin tegar di kawasan Parlimen Jerai. Dalam program ini, pihak FAMA memberikan benih (anak pokok) pokok 'palm' secara percuma untuk dijayakan mereka yang telah terpilih dari senarai E-Kasih selama dua bulan. Peserta berkenaan hanya perlu menyiram air dan memberi baja terhadap 700 benih pokok palm yang diberikan. Segala kelengkapan dan peralatan diberikan oleh FAMA. Selepas dua bulan, FAMA akan membeli benih pokok-pokok berkenaan dengan bayaran RM 3/= sepokok. Satu majlis untuk membeli benih-benih pokok ini telah diadakan oleh FAMA pada 14 Mac, jam 10 pagi di kaki Gunung Jerai. Setiap seorang peserta menerima cek bernilai antara RM 1500 ke RM 2100. Hadir sama dalam majlis ini ialah Dato' Paduka Badruddin Amirulddin, Pengerusi FAMA dan Dato' Suhaimi Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Jerai.
PROGRAM JALINAN RAKYAT ANJURAN PERGERAKAN WANITA UMNO BAHAGIAN JERAI

Pada 13 Mac, saya menghadiri Program Jalinan Rakyat anjuran Pergerakan Wanita UMNO bahagian Jerai. Istilah yang digunakan bagi Jalinan Rakyat sebelum ini ialah K10. Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri (Senator) Jamil Khir Baharum, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam.

Wednesday, March 23, 2011

MAJLIS PERKAHWINAN
Sepertimana kebiasaan, dalam musim cuti sekolah, banyak jemputan kenduri yang harus diraikan. Setiap hari kecuali hari jumaat, saya menghadiri boleh dikatakan semua majlis kenduri yang saya diundang. Pada 18 Mac, saya juga sempat menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Dato' Wira Syed Ismail; bekas Ketua Polis negeri Kedah (sekarang ini Pengarah Siasatan Jenayah Komersial) di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah Kedah turut berangkat ke majlis berkenaan.


Tuesday, March 22, 2011

MERASMIKAN PROGRAM PERPUSTAKAN SEBAGAI MEDIUM INFORMASI ANJURAN PELAJAR-PELAJAR UITM

Penglibatan pelajar-pelajar IPTA/IPTS dengan masyarakat luar bandar adalah sesuatu yang harus diberikan dorongan dan sokongan. Jarang sekali saya menolak jemputan (kecuali jika tidak dapat dielakkan) untuk merasmikan program-program anjuran mereka. Pada 12 Mac lalu, saya telah merasmikan satu program ' Perpustakaan Sebagai Medium Informasi' di Kampung Teroi Bukit. Program ini adalah anjuran pelajar-pelajar UITM Merbok tahun akhir Pengajian Teknologi Maklumat dengan kerjasama penduduk Kampung Teroi Bukit dan Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak. Dalam ucapan perasmian, saya menyentuh tentang peranan mahasiswa dalam membantu masyarakat desa terutamanya dalam membentuk pemikiran mereka ke arah yang lebih maju dan dalam masa yang sama memberi pendedahan kepada mereka tentang keadaan masyarakat desa yang memerlukan segala bentuk sokongan dan bantuan bagi menentukan mereka mempunyai daya saing dan tidak ketinggalan dalam arus perdana kemajuan negara. Saya juga menyentuh tentang pentingnya perpustakaan atau pusat sumber di luar bandar di gunakan sepenuhnya sebagai pusat maklumat dan gedung ilmu.


MENYAMPAIKAN KERUSI RODA KEPADA PESAKIT DALAM KAWASAN DUN GUAR CHEMPEDAK

Pada 10 Mac, saya bersama pegawai-pegawai JKM Daerah Yan menyampaikan kerusi roda kepada En Safar, di Singkir Laut (tak dapat berjalan kerana uraf saraf bergesel dengan tulang di bahagian belakang) dan Pn Sarimah Bt Mohd Noh di Kampung Tok Kau (sakit lumpuh). Pada sebelah malamnya, saya menghadiri dan memberi ceramah politik anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Jerai di Kampung Ruat, Yan.



ZIARAH ORANG SAKIT DAN KEMATIAN

Pada 8 dan 9 Mac, saya menziarahi penduduk yang sakit dan meninggal dunia. Pada 9 Mac, terdapat 3 kematian yang diziarahi iaitu di Singkir Genting, Singkir Darat (Kedai Keling) dan Kampung Keda Sungai Udang (meninggal di Singkir Laut). Pada 8 Mac juga, saya menziarahi Abdul Razak Awang di Hospital Yan yang mengalami sakit sesak nafas. Saya juga sempat menziarahi isteri Hj Baharum di Kampung Sungai Bujor, Sungai Limau Dalam.

Wednesday, March 9, 2011

5. LAWATAN YB MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI KE TAIWAN (2 MAC-6 MAC 2011)

Pada 2 Mac hingga 6 Mac 2011 yang lalu, saya menyertai delegasi lawatan YB Dato' Seri Mohd Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ke Taiwan. Saya menyertai lawatan ini atas kapasiti saya sebagai ahli Lembaga Pengarah LPP dan juga sebagai bekas ketua misi Malaysia ke sana. Saya pernah berkhidmat di Taiwan sebagai Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (Defacto Ambassador) selama 2 tahun 7 bulan iaitu dari Januari 2005 hingga Julai 2007. Berkhidmat di Taiwan sebagai Ketua Perwakilan Malaysia bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah kerana sensitiviti yang melibatkan negara China. Berpegang kepada dasar satu China, negara-negara yang mengiktiraf China termasuk Malaysia tidak boleh mengiktiraf Taiwan (Republic Of China) sebagai sebuah negara berdaulat. Kebanyakan negara sememangnya mengiktiraf China kecuali 21 buah negara (kebanyakannya di benua Afrika, Amerika Selatan dan Kepulauan Pasifik) yang mengiktiraf Taiwan. Mengiktiraf bermaksud mengadakan hubungan diplomatik.



Hubungan antara Malaysia dan Taiwan adalah unik kerana ia tidak melibatkan hubungan diplomatik tetapi lebih kepada hubungan ekonomi dan sosio-budaya. Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Taiwan adalah amat signifikan sekali. Taiwan merupakan pelabur ke-5 terbesar di Malaysia (lebih dari USD 10 billion), rakan perdagangan ke-8 terbesar (USD 13 billion) dan lebih dari 200,000 orang Taiwan melancong ke Malaysia setiap tahun. Dalam hubungan sosio-budaya pula, seramai lebih kurang 5000 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di sana.

Dari segi ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Taiwan ialah 3 kali ganda Malaysia. Manakala pendapatan per kapita penduduk Taiwan ialah USD 17,000, iaitu hampir 3 kali ganda pendapatan per kapita penduduk Malaysia (kita mensasarkan per kapita USD 15,000 menjelang 2020). Bayangkan 23 juta penduduk mendiami pulau sebesar negeri Pahang dan negara Belanda (36,000 km persegi). Pada awal tahun 80-an, ekonomi Taiwan hanya lebih kurang Malaysia dan berasaskan pertanian. Ekonomi Taiwan meningkat dengan mendadak sejak 1985 apabila kerajaannya membuat dasar perindustrian bagi mengubah landskap ekonominya. Transformasi ekonomi Taiwan bermula dengan tertubuhnya 'Hsinchu Science Park' (HSP). Hari ini nilai hasil pengeluaran HSP sahaja mencapai lebih USD 20 billion setahun. Taiwan cemerlang dalam bidang 'integrated circuit' (IC) komputer (Acer Company sebagai sebuah nama yang amat dikenali), ICT dan lain-lain lagi. Taiwan adalah pengeluar ke-4 terbesar di dunia dalam 'IT hardware'. Taiwan juga berjaya dengan cemerlangnya dalam bidang pertanian. Kita selalu mendengar tentang jambu merah (wax apple) Taiwan dan jagung Taiwan. Sebuah pulau sebesar negeri Pahang mampu mengeluarkan beras yang mencukupi bagi penduduknya, 23 juta orang. Pengeluaran pertaniannya (kebanyakannya bahan makanan dan bukan komoditi) mencecah lebih USD 15 billion setahun.




Sebenarnya lawatan YB Menteri Pertanian ke Taiwan adalah bertujuan untuk melihat sendiri pembangunan sektor pertanian yang berkembang begitu pesat sekali dan dapat menjalin kerjasama dalam bidang berkenaan. Di samping kemajuan dalam industri E&E (Electrical & Electronic), ICT dan sebagainya, Taiwan juga tidak melupai sektor pertanian. Sungguhpun di mana-mana juga negara di dunia, sektor pertanian menyumbang kurang dari 5% kepada ekonomi negara tetapi ia dianggap sebagai sektor strategik dan jaminan keperluan makanan kepada penduduk sesebuah negara. Banyak peruntukan diberi dan dibelanjakan untuk menjalankan R&D (penyelidikan dan pembangunan) bagi memajukan sektor pertanian. Antara tempat-tempat yang dilawati oleh YB Menteri Pertanian dan delegasi ialah International Flora Exposition di Taipei (ekspo pelbagai jenis bunga terutamanya bunga orkid), Pintung University of Science and Technology, Long Diann Marine Biotechnology (melalui R&D berupaya menghasilkan pelbagai jenis ikan kerapu), Kaohsiung District Agriculture Research and Extension Institute dan Kaohsiung Farmers Organisation (Pertubuhan Peladang Kaohsiung). Kawasan yang dilawat kecuali International Flora Exposition ialah di selatan Taiwan, khususnya wilayah Pintung, di mana iklim kawasannya adalah sub-tropika hampir menyamai iklim Malaysia.




Antara peserta delegasi lawatan yang diketuai oleh YB Menteri Pertanian ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Pengerusi KADA, Tan Sri Anuar Musa, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Pengurus Besar NAFAS, Pegurus Besar MARDI Tech dan Setiausaha Sulit Kanan kepada YB Menteri, Dato' Saiful Bakar Hj Mohd Arshad.




Apakah rahsia kejayaan Taiwan, sebuah pulau sebesar negeri Pahang yang saban tahun di landa ribut taufan (Julai-September), seringkali mengalami gempa bumi dan tanpa sumber asli (minyak dan sebagainya)?. Jawapannya ialah rakyatnya yang gigih berusaha, kreatif dan inovatif. Modal insan adalah modal utama bagi memajukan 'negara' yang berasaskan K-Ekonomi. Sesungguhnya inilah apa yang di maksudkan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia; sebuah negara yang rakyatnya gigih berusaha, kreatif dan inovatif bagi menentukan kejayaan Program Transformasi Ekonomi dalam menuju ke arah status negara maju menjelang 2020 nanti.

Tuesday, March 8, 2011

4. PERASMIAN PENUTUP PESTA WAU 1 MALAYSIA 2011

Pesta wau 1 Malaysia 2011 yang berlangsung selama 4 hari berturut dari pagi hingga ke petang dari 26 Februari hingga 1 Mac telah ditutup dengan rasminya pada jam 6 petang, 1 Mac 2011. Di samping melakukan perasmian penutup, saya juga menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pada tahun ini. Ramai yang hadir dalam majlis berkenaan termasuk ketua-ketua agensi kerajaan persekutuan dan Pengerusi & AJK JKKKP khususnya kawasan DUN Guar Chempedak. Pesta wau pada tahun ini berjaya mengumpul lebih dari 400 orang peserta dari seluruh negeri Kedah. Ia berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang di harapkan.