Wednesday, June 29, 2011

MENZIARAHI KEMATIAN, MESYUARAT KHAS JK BAHAGIAN DAN MENGHADIRI CERAMAH ISRAQ MIKRAJ

Pada 29 Jun, saya menziarah kematian arwah En Mokhtar Bahari di Kampung Sungai belida. Sebelah petang, menghadiri mesyuarat khas JK bahagian dan pada malamnya menghadiri ceramah Israq Mikraj oleh Dato' Sheikh Badaruddin, Mufti negeri Kedah di Masjid Kampung Ruat.
PERASMIAN KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG SMK DULANG KALI KE-11 DAN MENGHADIRI PROGRAM PENGHAYATAN KESENIAN ISLAM

Pada 28 Jun, saya merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang SMK Dulang kali ke-11, tahun 2011. Sambutan dan persembahan kejohanan ini amat baik sekali. Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pancaragam Kolej Sultan Abdul Hamid. Saya berada di kejohanan ini dari jam 2.30 petang sehingga ia selesai jam 6.30 petang. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pengurusan SMK Dulang yang dipimpin Cikgu Tuan Haji Ismail yang berjaya menganjurkan Kejohanan Balapan dan Padang dengan begitu hebat sekali. Terima kasih dan penghargaan kepada pihak sekolah dan cikgu Jaya khususnya atas kesudian menjemput saya untuk sama menyaksikan satu kejohanan sukan yang amat meriah.

Pada sebelah malamnya, saya menghadiri Program Penghayatan Warisan Kesenian Islam, Peringkat daerah Yan di Masjid Jame' Badlishah Yan, anjuran Pejabat Daerah Yan.




MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PPK GIV MADA, PERASMIAN PENUTUP PROGRAM PEMBASMIAN MUSUH TANAMAN DAN PERBINCANGAN PROGRAM SEPAKAT 1 MALAYSIA & SEMARAK MERDEKA 1 MALAYSIA

Pada 26 Jun, menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PPK GIV MADA, Guar Chempedak. Perasmian dilakukan oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Selepas itu, menghadiri majlis taklimat pertanian dan melakukan Perasmian Penutup Program Pembasmian Musuh Tanaman anjuran RELA daerah Yan. Kemudiannya, ke Pejabat Penerangan Daerah Yan untuk berbincang dengan Pn Naemah Nordin mengenai Program Sepakat 1 Malaysia dan Semarak Merdeka 1 Malaysia.

MAJLIS RAMAH MESRA KRT

Pada 25 Jun, saya menghadiri Majlis Ramah Mesra KRT di KAMC yang dirasmikan oleh YB' Senator Major Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Saturday, June 25, 2011

KERATAN AKHBAR SINAR HARIAN (25/6/2011)

KERATAN AKHBAR SINAR HARIAN (24/6/2011)


MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG KOPERASRI SERBAGUNA KAUM IBU KUBANG PASU BHD., MENGHADIRI MAJLIS KENDURI DAN MENYAMPAIKAN BANTUAN KEPADA MANGSA RIBUT

Pada sebelah pagi, 25 Jun, saya merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Serbaguna Kaum Ibu Kubang Pasu Bhd. Koperasi ini di pengerusikan oleh Dato' Hj Barishah Bt Saad, bekas ADUN Tunjang. Koperasi ini adalah sebuah koperasi yang menunjukkan prestasi kewangan yang memberangsangkan. Pada tahun 2010, ia mencatatkan jumlah pendapatan (revenue) sebanyak RM 11.14 juta dengan keuntungan RM 369, 700. Ia mampu membayar dividen sebanyak 10% setiap tahun.

Selepas itu, saya dan isteri menghadiri majlis kenduri kahwin anak kepada Tn Hj Karim (AJK bahagian) dan Pn Hjh Jamilah (AJK Wanita bahagian) di Taman Jerai, Gurun dan rumah En. Razak di Kampung Teroi Bukit.

Pada sebelah malamnya, saya memberi bantuan kepada 3 orang mangsa ribut di Kampung Sungai Yan dan menghadiri majlis ramah mesra KRT (Rukun Tetangga) daerah Yan bersama YB Dato' Seri Mejar Jeneral jamil Khir Baharom di KAMC, Kampung Acheh, Yan.




MELAWAT KAWASAN DAN MAKAN KENDURI

Pada hari jumaat, 24 Jun, saya bersama Pengerusi JKKKP Kampung Kuala Sungai Udang, En. Khalib Nayan telah melawat sawah di kawasan Sungai Udang dan Titi Bakong. Penggunaan motorsikal memudahkan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat. Tujuan utama lawatan ini ialah untuk melihat keberkesanan projek pengairan dan saliran air di kawasan berkenaan. Projek ini yang dilaksanakan pada tahun 2010 dan dianggarkan menelan belanja RM 4.5 juta. Dari pemerhatian yang dilihat, terdapat kawasan air tak sampai disebabkan sistem yang tidak berkesan, terdapat parit yang tertimbun dengan sampah sarap (masalah penyenggaraan), pintu saliran yang tidak berfungsi dengan baik dan sebagainya. Selepas lawatan, saya makan kenduri arwah di rumah En. Ismail, Kampung Sungai Udang.


Friday, June 24, 2011

PERASMIAN PENUTUP KEM INTERGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP) DAN PERASMIAN PENUTUP PROGRAM INTERAKSI NELAYAN DAERAH YAN

Pada 23 Jun, jam 11 pagi, saya melakukan Perasmian Penutup Kem Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) peringkat daerah Kuala Muda/Yan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional negeri Kedah di KAMC (Kampung Acheh Management Centre) di Kampung Acheh, Yan. Kem selama 4 hari 3 malam ini disertai oleh 70 orang murid sekolah menengah.

Pada jam 5 petang, 23 Jun, saya dijemput untuk mempengerusikan majlis dialog dan seterusnya melakukan Perasmian Penutup Program Interaksi Nelayan daerah Yan anjuran Jabatan Perikanan di Kompleks LKIM, Kampung Keda, Sungai Udang. Program yang dimulakan pada jam 2 petang ini dihadiri oleh 200 nelayan dari seluruh daerah Yan. Tujuan program yang mengumpulkan pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan Jabatan Perikanan (Jabatan Perikanan, LKIM, Polis Maritim, APMM dan Jabatan Laut) ini ialah untuk memberikan pemahaman kepada nelayan-nelayan tentang peranan dan bidang tugas agensi-agensi berkenaan. Persefahaman ini akan memudahkan persatuan nelayan dan nelayan-nelayan berhubung atau menyalurkan maklumat kepada agensi yang berkaitan bila menghadapi sebarang masalah. Antara isu-isu yang diutarakan dalam dialog berkenaan ialah pencerobohan bot-bot nelayan pukat bilis, pencerobohan pukat tunda haram, pukat surung dan sebagainya. Pada keseluruhannya, program ini adalah baik sekali kerana ia membuka ruang kepada nelayan-nelayan untuk keluhan dan masalah-masalah yang dihadapi mereka.



Thursday, June 23, 2011

MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH KILANG BERAS PPK, MERASMIKAN KEJOHANAN OLAHRAGA 2011, PERASMIAN PENUTUP PROGRAM LATIHAN UJIAN KEMAHIRAN MENEMBAK DAN MENZIARAHI KEMATIAN

Pada 22 Jun, 10 pagi, saya mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Kilang Beras PPK Kubur Panjang. Saya telah dilantik sebagai Penasihat Kilang Beras tersebut oleh Lembaga Pengarah LPP pada tahun 2010. Saya amat gembira sekali dan bersyukur kehadrat Allah SWT kerana kilang yang sebelum ini menghadapi masalah kewangan kerana mencatatkan kerugian telah menunjukkan prestasi kewangan yang lebih baik bagi keseluruhan tahun 2010. Ia telah mencatatkan keuntungan bagi tahun 2010 dan juga separuh tahun pertama 2011. Saya sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa bagi sebuah organisasi khususnya entiti perniagaan, jika diurus dan ditadbir dengan baik dan jujur, ia pasti akan berjaya. Pengalaman saya dalam bidang korporat khususnya semasa di MARDEC BHD (sebagai Pengarah Operasi dan Teknikal) dan di Bina Darul Aman Bhd (sebagai Pengarah Urusan Kumpulan), saya gunakan sepenuhnya untuk mempertingkatkan prestasi kewangan kilang beras ini.

Pada hari yang sama, jam 3 petang, saya merasmikan Kejohanan Olahraga 2011 di Sekolah Kebangsaan Teroi.

Kemudiannya, ke Kem Rela di Bukit Selambau untuk melakukan Perasmian Penutup Program Latihan Ujian Kemahiran Menembak anggota RELA daerah Yan. Sebelum perasmian penutup, saya telah berpeluang buat pertama kalinya berpeluang menembak dengan menggunakan senapang M16.

Pada sebelah malamya, saya berkesempatan melawat kematian dari dua orang masyarakat cina. Seorang di Jalan Jenun, Guar Chempedak dan seorang lagi di Pekan Teroi.



Tuesday, June 21, 2011

MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG KOPERASI PASAR MINGGU SUNGAI LIMAU DALAM BERHAD, MENGHADIRI KENDURI PERKAHWINAN DAN PROGRAM JUARA RAKYAT

Pada 18 Jun, jam 9.30 pagi, saya merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pasar Minggu Sungai Limau Dalam Berhad. Saya dijemput atas kapasiti saya sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi negeri Kedah. Koperasi Pasar Minggu Sungai Limau ditubuhkan pada tahun 1972. Kini ia telah berusia 39 tahun. Pengerusi Lembaga Pengarah kini ialah Tuan Haji Hassan Darus, bekas Setiausaha UMNO bahagian Jerai. Sejak dua tahun lalu, ia mencatatkan keuntungan antara RM 30,000 - RM 40,000 dan mampu memberi dividen 10% kepada lebih 300 orang ahli. Kepada pihak Lembaga Pengarah dan ahli-ahli, saya ucapkan tahniah, syabas!. Saya juga sempat makan kenduri kahwin di Dewan Serbaguna, Guar Chempedak dan Taman Samudera, Yan (perkahwinan anak saudara, Sdr. Mokhtar Bahwi).

Sebelah petang, 18 Jun, saya menghadiri Program Juara Rakyat anjuran Wanita UMNO bahagian Jerai di SK Sungai Limau.



Thursday, June 16, 2011

BERTEMU RAKYAT DI PUSAT KHIDMAT WAKIL RAKYAT DAN MELAWAT KAWASAN

Pada 16 Jun, saya berada di Pusat Khidmat Wakil Rakyat di Yan untuk bertemu penduduk yang memerlukan sebarang bantuan.

Saya juga berkesempatan untuk melawat Pasar Tani FAMA, Guar Chempedak untuk bertemu peniaga-peniaga dan pelanggan yang membeli-belah di situ. Terdapat kemajuan dalam perniagaan di situ kerana rata-rata mereka mengatakan ada peningkatan dari segi jumlah jualan seharian.

Petang, melawat sebuah rumah yang dilanda ribut pada hari sebelumnya di Titi Bakong.

Wednesday, June 15, 2011

MELAWAT MANGSA RIBUT

Pada 15 Jun, saya melawat 6 buah rumah yang menjadi magsa ribut; 5 buah di Jalan Kuala Sungai Yan dan sebuah di Kampung Sungai Udang Atas. Ia akibat daripada tiupan angin ribut yang kuat pada jam lebih kurang 2 petang. Semuanya melibatkan bumbung rumah tercabut.

LAWATAN KERJA KELAB ADUN BNBBC KE PULAU BATAM, INDONESIA

Dari 12 hingga 15 Jun, saya mengikuti lawatan kerja Kelab ADUN BNBBC ke Batam, Indonesia. Setiap negeri diwakili oleh tiga orang ADUN BN. Mewakili negeri Kedah di samping saya sendiri ialah YB Azmi Che Husin, ADUN Bayu dan YB Mohd Rawi Abdul Hamid, ADUN Ayer Hangat. Antara tujuan lawatan ialah untuk merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dan melihat sendiri kemajuan Pulau Batam. Kepulauan Riau mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana begitu rapat dengan sejarah Alam Melayu. Dalam perjalanan ke Pulau Batam, delegasi bermalam di Johor Bahru. YAB Dato' Menteri Besar yang diwakili oleh Speaker Dewan Undangan Negeri , Dato' Ali Hasan telah bermurah hati untuk meraikan delegasi dalam satu majlis jamuan malam. Keesokan harinya, 13 Jun 8.30 pagi, bertolak ke Pulau Batam dengan feri. Perjalanan mengambil masa satu jam setengah. Setiba di Pulau Batam, kami bertukar jeti dan feri untuk meneruskan perjalanan ke Tanjung Pinang untuk melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Kepulauan Riau Professor Dr. Mohamad Sani.

Satu majlis pengenalan dengan wakil-wakil rakyat termasuk Speaker Dewan Perwakilan Riau, taklimat dan perbincangan telah diadakan di rumah tetamu, Gabenor. Kami juga diraikan dengan jamuan makan tengahari. Kepulauan Riau mempunyai kawasan seluas 251,810 kilometer persegi(96 % laut), 2048 buah pulau dengan penduduk 1.7 juta (Kedah, 2 juta). Wilayah ini telah menjadi wilayah autonomi dan terpisah dari Pekan Baru sejak tahun 2006 (kalau tak silap saya). Kepulauan ini amat menarik perhatian saya kerana ia sebenarnya sebahagian dari Johor-Riau sebelum tahun 1824. Namun perjanjian Inggeris dengan Belanda telah memisahkannya dari Johor. Bayangkan betapa luas dan hebatnya Alam Melayu sebelum datangnya penjajah Eropah (Inggeris, Belanda, Portugis dan Sepanyol) ke sini. Di sebelah utara (sekarang Selatan Thailand) Pattani, Narathiwat, Yala dan Satun (dulu namanya Setoi) melalui tipu helah penjajah Inggeris dan kebijaksanaan Siam, wilayah in terlepas ke tangan orang lain. Lebih menyedihkan lagi, pulau termasuk (Singapura), yang lokasinya begitu strategik sebagai pelabuhan telah terlepas ke tangan orang lain. Peristiwa-peristiwa ini amat menyentuh hati kita sebagai orang Melayu. Kalau kita tidak mahu belajar daripada sejarah ini, ia boleh berulang lagi. Sejarah akan menghukum kita, jika kita tidak mahu belajar dan mengambil iktibar darinya. Hari ini pun kita dapat merasakan bibit-bibit perpecahan antara kita yang boleh membawa kepada kehilangan kuasa.

Lawatan ke Kepulauan Riau ini amat menyentuh hati saya bila menyingkap sejarah lampau. Saya rasa tersentuh dan bangga dengan ungkapan-ungkapan yang digunakan. Di mana-mana sahaja kita dapat lihat ungkapan 'Melayu' digunakan. Umpamanya 'Restoran Rentak Melayu', 'Terwujudnya Kepulauan Riau sebagai bonda Tanah Melayu yang sejahtera dan berakhlak mulia'.

Salah satu perkara yang dikemukakan dalam perbicangan ialah mereka meminta Kerajaan Malaysia membuka Pejabat Consul General samada di Pulau Batam atau Tanjung Pinang.

Pada hari yang sama, saya kembali ke Malaysia dengan menaiki feri, jam 6.30 petang kerana terpaksa menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah LPP pada hari berikutnya pada hari berikutnya, 14 Jun. Delegasi yang lain kembali pada 15 Jun.


PERASMIAN PENUTUPAN KURSUS MANIKAYU PERIGKAT 3B

Pada 10 Jun, atas jemputan Pengakap Daerah Yan, saya merasmikan Majlis Penutup Kursus Manikayu Peringkat 3B di Pusat Kurikulum Sekolah Menengah Yan. Kemudian solat jumaat di Masjid Yan.