LAWATAN KERJA KELAB ADUN BNBBC KE PULAU BATAM, INDONESIA
Dari 12 hingga 15 Jun, saya mengikuti lawatan kerja Kelab ADUN BNBBC ke Batam, Indonesia. Setiap negeri diwakili oleh tiga orang ADUN BN. Mewakili negeri Kedah di samping saya sendiri ialah YB Azmi Che Husin, ADUN Bayu dan YB Mohd Rawi Abdul Hamid, ADUN Ayer Hangat. Antara tujuan lawatan ialah untuk merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dan melihat sendiri kemajuan Pulau Batam. Kepulauan Riau mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana begitu rapat dengan sejarah Alam Melayu. Dalam perjalanan ke Pulau Batam, delegasi bermalam di Johor Bahru. YAB Dato' Menteri Besar yang diwakili oleh Speaker Dewan Undangan Negeri , Dato' Ali Hasan telah bermurah hati untuk meraikan delegasi dalam satu majlis jamuan malam. Keesokan harinya, 13 Jun 8.30 pagi, bertolak ke Pulau Batam dengan feri. Perjalanan mengambil masa satu jam setengah. Setiba di Pulau Batam, kami bertukar jeti dan feri untuk meneruskan perjalanan ke Tanjung Pinang untuk melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Kepulauan Riau Professor Dr. Mohamad Sani.
Satu majlis pengenalan dengan wakil-wakil rakyat termasuk Speaker Dewan Perwakilan Riau, taklimat dan perbincangan telah diadakan di rumah tetamu, Gabenor. Kami juga diraikan dengan jamuan makan tengahari. Kepulauan Riau mempunyai kawasan seluas 251,810 kilometer persegi(96 % laut), 2048 buah pulau dengan penduduk 1.7 juta (Kedah, 2 juta). Wilayah ini telah menjadi wilayah autonomi dan terpisah dari Pekan Baru sejak tahun 2006 (kalau tak silap saya). Kepulauan ini amat menarik perhatian saya kerana ia sebenarnya sebahagian dari Johor-Riau sebelum tahun 1824. Namun perjanjian Inggeris dengan Belanda telah memisahkannya dari Johor. Bayangkan betapa luas dan hebatnya Alam Melayu sebelum datangnya penjajah Eropah (Inggeris, Belanda, Portugis dan Sepanyol) ke sini. Di sebelah utara (sekarang Selatan Thailand) Pattani, Narathiwat, Yala dan Satun (dulu namanya Setoi) melalui tipu helah penjajah Inggeris dan kebijaksanaan Siam, wilayah in terlepas ke tangan orang lain. Lebih menyedihkan lagi, pulau termasuk (Singapura), yang lokasinya begitu strategik sebagai pelabuhan telah terlepas ke tangan orang lain. Peristiwa-peristiwa ini amat menyentuh hati kita sebagai orang Melayu. Kalau kita tidak mahu belajar daripada sejarah ini, ia boleh berulang lagi. Sejarah akan menghukum kita, jika kita tidak mahu belajar dan mengambil iktibar darinya. Hari ini pun kita dapat merasakan bibit-bibit perpecahan antara kita yang boleh membawa kepada kehilangan kuasa.
Lawatan ke Kepulauan Riau ini amat menyentuh hati saya bila menyingkap sejarah lampau. Saya rasa tersentuh dan bangga dengan ungkapan-ungkapan yang digunakan. Di mana-mana sahaja kita dapat lihat ungkapan 'Melayu' digunakan. Umpamanya 'Restoran Rentak Melayu', 'Terwujudnya Kepulauan Riau sebagai bonda Tanah Melayu yang sejahtera dan berakhlak mulia'.
Salah satu perkara yang dikemukakan dalam perbicangan ialah mereka meminta Kerajaan Malaysia membuka Pejabat Consul General samada di Pulau Batam atau Tanjung Pinang.
Pada hari yang sama, saya kembali ke Malaysia dengan menaiki feri, jam 6.30 petang kerana terpaksa menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah LPP pada hari berikutnya pada hari berikutnya, 14 Jun. Delegasi yang lain kembali pada 15 Jun.
No comments:
Post a Comment