Pages

Sunday, June 27, 2010

24 Jun 2010 - Pendidikan adalah 'senjata' yang paling berkesan dalam mengubah nasib seseorang, masyarakat atau bangsa itu sendiri. Kejayaan orang melayu yang dahulunya begitu mundur dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam bidang ekonomi adalah kerana dasar kerajaan yang memberi tumpuan kepada bidang pendidikan sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga sekarang. Menyedari hakikatnya, setelah menjadi wakil rakyat pada Mac 2008, salah satu aspek yang hendak saya beri tumpuan ialah bidang pendidikan. Pada tahun 2008 dan 2009, saya menganjurkan kelas tuisyen di beberapa tempat/kampung terutamanya di kampung-kampung nelayan seperti Kg Keda Sg. Udang dan Kg. Kuala Sg. Yan. Pada tahun ini saya cuba mengembangkan aktiviti ini mencakupi kelas tuisyen bagi bagi semua sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan Dun Guar Chempedak (3 buah). Untuk menjayakan aktiviti yang baik ini di samping menggunakan peruntukkan saya sebagai ADUN, saya juga telah mendapatkan tajaan dari Yayasan CIMB (untuk tuisyen) dan Yayasan Nurul Yaqeen (seminar motivasi).

Pada 24 Jun yang lalu, satu 'Program Motivasi Kecemerlangan PMR dan Motivasi Keibubapaan' telah diadakan di Sekolah Menengah Yan anjuran bersama Yayasan Nurul Yaqeen dan Pejabat ADUN Guar Chempedak, saya telah dijemput untuk merasmikan program ini yang dihadiri sama oleh Pengarah Yayasan, Puan Nor Zanah Jamari. Penceramah program 'Menara Ilmu'; Motivasi Kecemerlangan Pelajar- "Kejayaan Anak-Anak, Kecemerlangan Ibu Bapa" ini ialah Dr. Rabiatul Adawiyah bt. Ahmad Rashid dari USM.



Di sebelah petang pada hari yang sama, saya mempunyai program yang agak ketat; mempengerusikan mesyuarat JK Sukan Rakyat, di Dewan Masjid Kg. Keda, Sg. Udang, perjumpaan dengan siswa siswi dari daerah Yan yan akan melanjutkan pelajaran ke IPTA (30 orang semuanya) dan sebagai Naib Pengerusi Pengakap Daerah Yan berjumpa dengan pengakap-pengakap di tempat perkhemahan mereka di Sekolah Menengah Yan.



Sungguhpun di luar kawasan DUN Guar Chempedak, saya menerima jemputan untuk memberi ceramah motivasi untuk murid-murid yang akan mengambil peperiksaan dan ibu bapa masing bagi tiga sekolah di sekitar Bedong yang dianjurkan oleh PIBG SK Tok Pawang. Ini kerana bidang pendidikan adalah bidang yang dekat dengan hati saya. Saya sendiri pernah terlibat aktif dalam PIBG, menjadi YDP selama 10 tahun bagi dua buah sekolah (Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Bukit Bintang (Lelaki) sewaktu anak bongsu saya, Ku Reza bersekolah di sana antara darjah 1 hingga tingkatan 3. Saya juga pernah menjadi naib YDP di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Sekolah Menengah La Salle serta AJK di Kolej Melayu Kuala Kangsar semasa anak lelaki saya Ku Hazran bersekolah di sana. Secara keseluruhanya saya terlibat secara aktif, memegang jawatan dalam PIBG selama 20 tahun. Di mana juga sekolah kedua-dua anak lelaki saay belajar, saya terlibat secara aktif dalam PIBG. Saya percaya penglibatan kita sebagai ibu bapa dalam PIBG mampu memberi galakan kepada anak-anak kita dalam persekolahan mereka di samping dapat menyumbang khidmat bakti kepada sekolah khususnya dan masyarakat amnya. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kedua-dua anak saya agak berjaya juga dalam pelajaran mereka. Anak sulung saya memperolehi Ijazah Sarjana Undang-Undang(LLB) dari University British di U.K dan Ijazah Sarjana 'Business Law' dari University Monash, Australia dan sekarang ini bekerja di Petronas. Manakal anak bongsu saya pula, setelah memperolehi Ijazah Sarjana Muda di RMIT, Australia. Sekarang ini sedang menunggu keptusan peperiksaan Ijazah Sarjana 'MBA' dari universiti yang sama.



Tuesday, June 22, 2010

16/6/2010 (Rabu). Baru-baru ini saya telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri Kedah oleh YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna. Ahli-ahli majlis ini yang dilantik adalah terdiri dari kalangan ketua-ketua jabatan agensi-agensi kerajaan persekutuan peringkat negeri Kedah. Setiausaha majlis ini adalah Pengarah Suruhanjaya Koperasi negeri Kedah, Tn. Haji Zainun Hamzah b Stapa.

Pada 16 Jun 2010, saya telah mempengerusikan mesyuarat yang pertama majlis berkenaan di Hotel Holiday Villa, Alor Setar. Antara pekara-pekara yang dibincangkan ialah kemajuan koperasi-koperasi yang sedia ada di negeri Kedah (662 buah semuanya) dan perancangan bagi tahun 2010. Kita mensasarkan penubuhan koperasi 150 buah bagi tahun ini.

Sebenarnya gerakan koperasi di negara kita Malaysia telah menunjukkan kejayaan yang memberansangkan , contoh terbaik kejayaannya ialah pencapaian Bank Rakyat yang mencatatkan keuntungan besar dan pemberian dividen(pulangan) sehingga 15 peratus kepada pemegang-pemegang sahamnya. Bagi seluruh Malaysia, terdapat 7000 koperasi yang melibatkan jumlah syer RM8.9 billion. Begitu banyak peruntukkan kewangan yang disediakan oleh kerajaan untuk koperasi samada dalam bentuk geran ataupun pinjaman. Maka seharusnyalah kita mengambil peluang dengan penubuhan koperasi di tempat masing-masing.



Sebelah malamnya saya menghadiri satu majlis Anugerah Usahawan Bumiputera anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM)di sebuah hotel di Kuala Lumpur. YAB Timbalan Perdana Menteri adalah tetamu utama pada majlis tersebut yang menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang.

15/4/2010 (Selasa) - Sebelah pagi, saya menziarah En. Hussain@Abu Hassan Bin Abdullah (Pak Hassan Singa) di rumahnya di Kg. Keda Singkir Badong bersama Pegawai JKM Yan, Pn Yusnita dan pembantu-pembantunya. Sebenarnya saya telah melawatnya semasa dirawat di Hospital Yan kerana sakit kencing manis. Kali ini saya melawatnya untuk melihat keadaannya serta memberi bantuan kerusi roda dan sedikit wang. Di sebelah petang, saya mempengerusikan mesyuarat Sukan Rakyat DUN Guar Chempedak yang dijangka akan diadakan pada 17 Julai 2010. Ramai Pengerusi JKKKP DUN Guar Chempedak telah hadir dalam mesyuarat tersebut.



Monday, June 21, 2010

14/6/2010 (Isnin). Saya menjadi ahli UMNO cawangan ini sejak awal tahun 1990-an (sebelum itu ahli cawangan Pekan Yan) mulanya dipilih sebagai Timbalan Ketua Cawangan dan kemudianya sebagai Ketua Cawangan disebabkan keuzuran Ketua Cawangan ketika itu Tn. Hj. Azizan. Pada pertengahan tahun 1990-an saya terpilih sebagai Ketua Cawangan sehinggalah hari ini.



Jemputan Majlis Kenduri Dan Menziarahi Rakyat

13/6/2010 (Ahad). Sepertimana hari sabtu, sempena musim cuti sekolah banyak majlis kenduri kahwin yang harus dihadiri. Sebelah petang menziarahi En. Rodzi, Pengerusi JKKKP Kampung Teroi Bukit yang baru keluar Hospital Alor Setar untuk rawatan sakit jantung. Malamnya saya melawat kematian seorang warga tua berbangsa cina, En. Ann yang meninggal dunia.

Jemputan Majlis Kenduri

12/6/2010 (Sabtu) - Hari ini saya mengisi masa sepenuhnya untuk menghadiri sepuluh majlis kenduri dalam kawasan termasuk juga kenduri rumah Dato' Paduka Ghazali Ibrahim, Pegawai Khas YAB Perdana Menteri di Kuala Nerang.

Perasmian Persidangan UMNO Cawangan Pekan Yan

11/6/2010 (Jumaat). Hari ini saya bersolat Jumaat di Masjid Kampung Ruat. Selepas itu, menghadiri majlis tahlil dan kenduri arwah di rumah Cikgu Saad yang kembali ke rahmatullah. Kemudian saya merasmikan persidangan UMNO cawangan Pekan Yan. Cawangan ini adalah salah satu cawangan UMNO yang tertua di bahagian Jerai dan dipimpin oleh Dato' Hj. Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia. Sebelah malamnya menghadiri kenduri kekah di rumah Cikgu Jaya.



Majlis Makan Malam

10/6/2010 (Selasa). Dalam kesibukan tugas sebagai wakil rakyat, kita harus juga terlibat dengan organisasi atau aktiviti lain yang boleh memberi pendedahan yang lebih meluas dan 'networking'. Semua ini penting bukan sahaja untuk memperkayakan(enrichment) diri dari segi pengalaman dan maklumat. Pada sebelah malam 10 Jun 2010, saya telah menghadiri majlis makan malam YB. Senator Tan Sri Abu Zahar Bin Dato' Nika Ujang, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang (LPP)yang baru dilantik sebagai Yang DiPertua Dewan Negara baru-baru ini. Majlis ini juga meraikan Y.Bhg. Dato' Hj. Zainal Bin Dahalan yang baru dilantik untuk menjadi Pengerusi LPP yang baru.

Program Bersama ADUN & Pemimpin Komuniti Tempatan Kawasan DUN Guar Chempedak

9/6/2010 (Rabu) - Sebelah paginya berjumpa rakyat yang memerlukan pertolongan. Pada sebelah petangnya (2.30 - 4.30 P.M) saya menghadiri satu "Program ADUN dan Pemimpin Komuniti DUN Guar Chempedak" anjuran TNB. Lebih dari 100 orang pemimpin-pemimpin komuniti yang terdiri daripada Pengerusi JKKKP, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Pemimpin NGO dan Belia telah hadir dalam program tersebut. Di pihak TNB, ia di ketuai oleh En. Azhar, Pengurus Kawasan Sg. Petani dan dibantu oleh En. Mohd Sharudin, Pengurus TNB Cawangan Guar Chempedak. Saya telah diundang untuk merasmikan program dan seterusnya mempengerusikan majlis dialog selepas itu. Antara isu-isu yang diketengahkan ialah lampu jalan (banyak sekali), tiang elektrik terlalu rapat dengan jalan sehingga membahayakan pengguna jalan raya dan lain-lain lagi. Program sebegini amat baik sekali dalam mendekatkan TNB dengan masyarakat selaras dengan motonya "Rakyat Didekati, Khidmat Dibaiki".





Melawat Rumah-Rumah Mangsa Ribut Di Guar Chempedak

8/6/2010 (Selasa) - Dari pagi hingga tengah hari saya bersama Pegawai JKM Yan, En. Yusuf melawat rumah-rumah mangsa ribut taufan di kawasan Guar Chempedak; Lorong Panglima, Taman Warisan, Pondok Hj. Husin, Taman Desa Aman, Jalan Raya Guar Chempedak, Lorong Dato' Madun, Kg. Baru Guar Chempedak dan Jalan Yan.

26 buah rumah terjejas dalam bencana alam tersebut, kerosakan termasuklah bumbung tercabut, perkakas dan peralatan rumah yang melibatkan kerugian antara RM 1000 - RM 10,000.





Sunday, June 20, 2010

Jemputan Majlis Kenduri

5/6/2010 (Sabtu)- Hari ini merupakan hari sabtu pertama cuti sekolah (Mid Year Break) yang akan berakhir 20 Jun 2010. Seperti biasa musim cuti sekolah terutamanya hari sabtu dan ahad memang banyak majlis perkahwinan/kenduri yang diadakan di semua tempat. Sebagai wakil rakyat menghadiri majlis kenduri perkahwinan adalah sebahagian dari tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Hari ini saya menghadiri 10 majlis perkahwinan; 8 di kawasan DUN Guar Chempedak, satu di DUN Sg. Limau dan satu lagi di rumah kawan baik saya Tn. Haji Adnan di Gunung Keriang. Sebelum itu, di sebelah pagi saya menziarahi kematian Allahyarham Pak Bakar di Kampung Pauh, Yan dan menghadiri kenduri pulut kuning di rumah Zainun, juga di Kampung Pauh, kenduri kesyukuran untuk anaknya yang selamat 'masuk jawi' (istilah orang Kedah untuk berkhatan) sehari sebelumnya.

Sunday, June 6, 2010

Melawat Kawasan dan Mesyuarat Persidangan UMNO Cawangan

4/6/2010 (Jumaat) - Sungguhpun hari ini adalah hari cuti bagi orang lain, tetapi bagi wakil rakyat tidak ada cuti yang khusus. Hari ini ada kematian di Kampung Sungai Raga yang saya kunjungi, kemudian saya melawat pasar tani FAMA di Guar Chempedak dan menunaikan solat jumaat di Masjid Teroi. Di sebelah petang, saya menghadiri persidangan UMNO Cawangan Kampung Permatang Keramat dan Kampung Pauh.



Saturday, June 5, 2010

Taklimat Oleh Akademi Binaan Malaysia (ABM) Dan Mesyuarat Persidangan UMNO Cawangan

3/6/2010 (Khamis) - Pengarah Suruhanjaya Koperasi negeri Kedah telah mengunjungi saya untuk berbincang mengenai mesyuarat pertama Majlis Perundingan Koperasi negeri Kedah yang akan diadakan pada 16 Jun 2010 yang akan datang.

Sebelah petangnya, saya menganjurkan satu program taklimat oleh Ketua Eksekutif Akademi Binaan Malaysia (ABM) wilayah Utara kepada kontraktor-kontraktor tempatan, pemimpin-pemimpin belia dan pengerusi JKKKP. Taklimat ini berhubung dengan kursus-kursus yang disediakan oleh ABM untuk mereka yang terbabit dalam bidang binaan seperti kursus untuk memperolehi 'green card' dan kursus-kursus lain. Sesungguhnya begitu begitu banyak sekali peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui ABM bagi membantu pekerja-pekerja binaan terutamanya bumiputera bagi memajukan lagi kerjaya mereka.





Sekarang adalah 'musim' persidangan UMNO peringkat cawangan yang bermula dari 1 Mei hingga 16 Jun. Sebagai ketua cawangan, saya menghadiri persidangan UMNO Cawangan Kampung Raga. Dalam ucapan persidangan tersebut, saya cuba menyuntik semangat kepada pemuda-pemuda yang hadir dengan menyentuh tentang sejarah perjuangan Melayu melalui wadah UMNO. Saya juga bercakap mengenai isu-isu politik semasa dan kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang dan perlunya penyatuan dan perpaduan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu dalam menghadapi hari muka yang semakin mencabar.