Friday, December 31, 2010

SALAM 2011

Tirai tahun 2010 telah berlabuh dan meninggalkan kita. Ia beerti dekad pertama abad ke-21 sudah berakhir. Masa begitu pantas berlalu dan pantas meninggalkan kita.

Tahun 2010 telah meninggalkan kenangan manis dan pahit kepada kita semua. Kenangan manis bagi saya sebagai wakil rakyat ialah dapat turut sama sedikit sebanyak dalam membantu rakyat yang memerlukan seperti membina rumah baru, baik pulih rumah, bantuan JKM, program tuisyen di sekolah-sekolah, program melesenkan warga emas(motorsikal)dan sebagainya. Sebagai pendokong Parti UMNO/BN, kenangan manis saya ialah kemenangan BN dalam pilihanraya kecil di Hulu Selangor, Galas, Bagan Pinang dan Batu Sapi.

Pada peringkat Individu dan keluarga, kenangan manis saya ialah menimang cucuanda kedua pada 17 Disember lalu dan kejayaan anak bongsu, Ku Reza memperolehi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari RMIT University, Australia pada 15 Disember lalu dan perlantikan isteri saya, Halimah sebagai Ahli Majlis Professor Negara (Ketua Kluster ICT)

Saya juga ditakdirkan menerima berbagai tanggungjawab baru pada tahun 2010 iaitu dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri Kedah oleh YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, terpilih sebagai Naib Pengerusi Pertubuhan ALUMNI Kelab-Kelab UMNO Luar Negara, Timbalan Pengerusi Persatuan ALUMNI Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), dilantik sebagai Pengerusi PDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti) Yan dan Penasihat Kehormat kilang beras, PPK Kubur Panjang.

Manakala antara kenangan pahit dan sedih saya ialah pemergian kerahmatullah sahabat-sahabat dan orang-orang lama yang rapat dengan saya seperti Allahyarham Cikgu Faris (cikgu Sekolah Menengah Kebangsaan Yan), Allahyarham Cikgu Ismail (Bedong), Allahyarham Pakcik Man (Kg Berjaya Jeniang), Allahyarham Pak Mat (gelaran Pak Mat Lembik), Allahyarham Cikgu Saad (Yan) dan Bang Ei Jibeng (sungguhpun miskin tetapi berhati mulia). Pemergian mereka terutamanya Cikgu Faris, Pakcik Man dan Cikgu Ismail amat terasa sekali kerana mereka begitu rapat dengan saya dan selalu berjumpa serta berhubungan. Kita doakan semoga roh mereka di cucuri rahmat oleh Allah S.W.T.

Dalam menyambut tahun baru 2011, biarlah semua yang buruk dan pahit terbenam bersama matahari terakhir 2010, sambutlah fajar pertama 2011 dengan semangat baru dan keyakinan baru bersama dengan doa. Semoga tahun 2011 ini akan memberikan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada kita semua. Moga-moga Allah S.W.T memberkati usaha Perdana Menteri kita YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Razak dalam membawa Malaysia kearah negara maju menjelang tahun 2020 melalui Gagasan 1 Malaysia.

Kepada semua rakyat Malaysia, khususnya penduduk kawasan DUN Guar Chempedak, saya ucapkan selamat tahun baru 2011. Semoga tahun 2011 menjanjikan yang terbaik buat kita semua.
Pada 27 Disember lalu, saya menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kilang Beras PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) Kubur Panjang atas kapasiti sebagai Penasihat Kehormat kilang tersebut. Saya telah dilantik sebagai Penasihat oleh Lembaga Pertubuhan Peladang bagi memantau perjalanan operasinya supaya beroleh keuntungan. Kilang ini adalah salah sebuah kilang daripada dua buah kilang beras milik PPK. Satu lagi di Tanah Merah, Kelantan. Seterusnya saya mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah kilang berkenaan.



Pada 28 Disember, saya menghadiri Program Pusat Sehenti Gabem (PSG) di Hotel Holiday Villa, Alor Setar anjuran bersama GABEM Pusat dan GABEM (Gagasan Badan Ekonomi Melayu) Kedah. Ini adalah satu inisiatif strategik GABEM dengan kementerian dan agensi kerajaan terpilih seperti SSM, TEKUN, PNS, PUNB, SKM, MARA, MITI, MIDA, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, Bank Negara, KPDNKK, dan lain-lain lagi. Program ini baik sekali dan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Saya menghadirinya atas kapasiti sebagai Pengerusi GABEM negeri Kedah.



Majlis sumbangan bantuan persekolahan kepada anak-anak ibu tunggal dan NGO DUN Guar Chempedak telah diadakan pada jam 3 petang, 29 Disember di Dewan Masjid Jamek, Yan. Seramai 55 orang kanak-kanak termasuk 5 orang dari kaum India telah menerima sumbangan berkenaan. Sumbangan diberikan ialah sebuah beg sekolah (sumbangan isteri saya) dan wang RM 100. Senarai penerima disediakan oleh Persatuan Ibu Tunggal, Suriwaja. Antara penerima sumbangan saya dari peruntukan ADUN BN ialah PIBG dari 10 buah sekolah, Bomba Sukarela Guar Chempedak, dua buah pusat kanak-kanak istimewa, PDK dan Rumah Amal, persatuan isteri-isteri IPD Yan, Persatuan Badminton dan Ping Pong dan Persatuan Pengakap Yan.







Pada 30 Disember, saya dijemput oleh penganjur untuk merasmikan Karnival Usahawan dan ICT. Karnival tiga 3 ini adalah anjuran Pusat Internet Desa (PID) Zon Utara dimana PID Yan terpilih menjadi tuan rumah mewakili zon utara. Karnival di Yan ini ialah satu daripada enam karnival di seluruh negara. Tahniah diucapkan kepada PID Yan kerana terpilih mewakili zon utara. Tujuan utama karnival ini ialah menggalakan usahawan-usahawan terlibat dalam ICT. Manakala tujuan utama PID pula ialah bagi merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.


Sunday, December 26, 2010

Pada jam 2 petang, 21 Disember, saya dijemput untuk memberi ucapan dan menutup secara rasmi Program Bicara Ilmu dan Kem Fardhu Ain di perkarangan Surau Teroi Bukit. Program 4 hari 3 malam ini telah dianjurkan oleh JKKKP Teroi Bukit dan Sekolah Kebangsaan Teroi. Lebih dari 100 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah telah mengikuti program ini. Saya telah turut memberikan sumbangan wang dan lain-lain keperluan untuk menjayakan program ini.




Pada 23 Disember (10 pagi), saya telah mempengerusikan Mesyuarat Perundingan Koperasi peringkat negeri Kedah di Hotel EDC, Universiti Utara Malaysia. Majlis perundingan yang dianggotai oleh ketua jabatan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan serta wakil-wakil badan koperasi seperti Angkasa dan kerajaan negeri mengadakan mesyuarat tiga bulan sekali. Antara pekara-pekara yang dibincangkan ialah perancangan dan strategi bagi mengembangkan koperasi di negeri Kedah, laporan kemajuan koperasi-koperasi di negeri Kedah dan perancangan program Koperasi Negeri Kedah bagi 2011.



Pada sebelah petang 23 Disember, saya telah melakukan perasmian penutup Program Semaibakti Siswa anjuran bersama Pejabat ADUN Guar Chempedak, Persatuan Siswazah Yan(PSY) dan JKKKP Kg Keda Sg Udang, JKKKP Sg Udang, JKKKP Sg Yan dan JKKKP Kuala Sg Yan di Kampung Keda Sg Udang. Persatuan Siswazah Yan adalah sebuah persatuan yang ditubuhkan pada Ogos lalu dan dianggotai oleh anak-anak Yan yang belajar di IPTA/IPTS seluruh negara. Sebagai penaung dan salah seorang pencetus idea bagi penubuhan PSY ini, saya sentiasa mendampingi AJK yang dipengerusikan oleh saudara Mohd Hafis bagi menjayakan program-program yang dilaksanakan. Saya juga amat menghargai sumbangan Allahyarham Cikgu Faris dalam penubuhan persatuan ini. Allahyarham juga adalah salah seorang pencetus idea penubuhannya. Semoga rohnya dirahmati Allah SWT.





Pada 25 Disember, saya telah menganjurkan jamuan makan malam dan ramah mesra bersama ahli-ahli Persatuan Siswazah Yan yang akan mengakhiri percutian mereka dan kembali ke IPTA/IPTS masing-masing.




Pada 26 Disember, selepas menghadiri beberapa majlis kenduri, menziarahi kematian di Sg Udang, saya telah menghadiri Program Juara Rakyat anjuran Puteri UMNO bahagian Jerai di Pasar Tani, FAMA di Guar Chempedak.
Pada 9 Disember sebelah pagi, saya berada di Stadium Suka Menanti untuk Majlis Penyampaian Bantuan kepada mangsa-mangsa banjir oleh YAB Perdana Menteri. Pada sebelah petangnya pula, saya menyampaikan bantuan khemah-khemah dan peralatan kepada Pengerusi JKKKP. Majlis berkenaan telah diadakan di Dewan Masjid Jamek Yan. Sebanyak 15 buah khemah dan peralatan telah disampaikan pada hari tersebut. Semua khemah dan peralatan ini adalah melalui peruntukan saya sebagai ADUN BN.




Dari 13 hingga 16 Disember, saya berada di Melbourne, Australia untuk konvokesyen anak bongsu saya, Ku Reza yang memperolehi Ijazah MBA (Master in Business Administration) dari RMIT University. Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana kedua-dua anak saya telah beroleh kejayaan dalam pelajaran masing-masing. Anak sulung, Ku Hazran telah memperolehi Ijazah Undang-Undang dari Bristol University, United Kingdom dan Master in Business Law dari Monash University, Australia. Beliau sekarang bertugas di Petronas. Bagi setiap ibu-bapa tidak ada yang lebih gembira dan lebih bermakna selain dari kejayaan anak-anak.



Pada hari jumaat, 17 Disember lalu, saya dan keluarga menyambut kelahiran cucuanda kami yang kedua, seorang bayi lelaki. Ia dilahirkan di Prince Court Hospital, di Kuala Lumpur. Saya amat bersyukur kehadrat Allah SWT kerana menantu saya selamat melahirkan anak dan kedua-duanya dalam keadaan sihat.

Pada 18 Disember yang lalu, saya dijemput untuk memberi ucapan dan seterusnya melakukan perasmian penutup program anak angkat UUM di Kampung Titi Teras.




Pada 19 dan 20 Disember, saya berada di Terangganu untuk mesyuarat JK Audit, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Mesyuarat Lembaga Pengarah, Lembaga Pertubuhan Peladang di Setiu.



Pada 21 Disember (11.00 pagi) pula, saya diundang untuk memberi ucapan dan merasmikan pelancaran Program 1 Koperasi 1 Komuniti (1K 1K) peringkat negeri Kedah di Perkarangan Bangunan Koperasi Pasar Mingguan Guar Chempedak. Program ini dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Kedah dan saya diundang atas kapasiti sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi negeri Kedah. Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Dato' MD Yusof, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM dan Pengarah SKM negeri Kedah, Tn Hj Zainun Hamzan Stapa.



Pada 4 Disember, saya menghadiri Jamuan Makan Malam Konvensyen BN di Putrajaya sempena Konvensyen BN pada keesokan harinya.

Konvensyen BN telah diadakan pada 5 Disember di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Inilah pertama kalinya Konvensyen BN diadakan di premis selain dari PWTC. Konvensyen ini dihadiri oleh perwakilan dari parti-parti komponen BN dari seluruh negara. Amanat dan dasar perasmian telah dilakukan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Pengerusi BN dan merangkap Perdana Menteri Malaysia. Setiap Ketua Komponen Parti BN telah diberi peluang berucap termasuk akhir sekali ucapan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri mewakili parti terbesar, UMNO. Majlis penutup dan penggulungan telah dilakukan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak atas kapasiti sebagai Pengerusi BN.

Kedua-dua ucapan YAB Dato' Seri Mohd Najib amat memberangsangkan sekali dan meniup semangat dikalangan ahli parti komponen BN terutama sekali dalam menghadapi PRU ke-13 yang akan menjelang tiba.
Saya melihat ucapan Dato' Seri Mohd Najib di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dan Konvensyen BN amat bersemangat sekali serta mampu menaikkan semangat juang dikalangan ahli-ahli parti BN, khususnya ahli-ahli UMNO. Antara intipati yang menarik dalam ucapan beliau di Konvensyen BN ialah tentang empat penyakit lazim yang sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa. Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan. Oleh itu, kata beliau mengenai keempat-empat gejala penyakit perlu dielak, dibuang jauh dan dikikis sebelum rasa sayang berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan dan sokongan menjadi penentangan.

Pada 6 Disember, saya telah diundang untuk merasmikan Hari AIDS Sedunia anjuran Pusat Kesihatan Daerah Yan di Sungai Yan.

Pada 7 Disember sebelah petangnya, iaitu selepas menghadiri beberapa majlis perkahwinan, saya ke Langkawi untuk menyambut ketibaan YAB Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Beliau berada di Langkawi untuk lawatan dan merasmikan sebuah hotel 'The Donna Langkawi' di Pantai Kok pada sebelah malam 8 Disember. Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bersama isteri, Tun Dr. Seri Hasmah Mohd Ali. Tun Dr Mahathir amat gembira sekali dengan hotel tersebut kerana telah siap dibina setelah begitu lama tertangguh.