Pages

Monday, August 30, 2010

Rasanya kita baru sahaja berpuasa, tapi pejam celik, pejam celik (kata orang Kedah) kita sudahpun masuk hari ke-21 berpuasa. Begitu pantas masa berlalu. Saya masih ingat semasa kecil dahulu, bulan puasa rasanya begitu lama berlalu. Sebenarnya kepantasan masa berjalan tidak berubah dari dulu hingga sekarang. Yang berubah ialah persekitaran dan kesibukan kita serta teknologi informasi dan komunikasi yang membuatkan kita merasa masa berjalan pantas.

Sebagai wakil rakyat, bulan ramadhan dipenuhi dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang terawih. Kalau tidak menerima jemputan untuk berbuka puasa di luar, saya selalunya berbuka dan bersolat terawih di masjid atau surau dalam kawasan DUN Guar Chempedak. Setakat ini, sudah lima kali saya menerima undangan berbuka puasa di luar kawasan. Pada 15 Ogos, saya berbuka puasa, solat maghrib serta isha' dan tarawih di Seri Perdana, Kediaman Rasmi YAB Perdana Menteri. Pada 17 Ogos pula, saya serta keluarga serta rakan-rakan pula berbuka puasa bersama YB. Dato' Seri Hj. Ahmad Husni B. Mohamad Hanadzlah, Menteri Kewangan II dan keluarga. Saya juga menghadiri majlis berbuka puasa serta solat tarawih di Kediaman Rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri pada 21 Ogos yang lalu. Pada 24 Ogos, saya menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang (LPP) dan seterusnya berbuka puasa bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah yang lain serta warga LPP di Ibu Pejabat LPP di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. Yang terakhir ialah berbuka puasa bersama JK Alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim selepas mesyuarat AJK Alumni yang pertama di Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya juga menghadiri Mesyuarat JK BNBBC ADUN (Kelab ADUN Penyokong Kerajaan) di Hotel Seri Pacific. Saya akui memang penat berulang alik dari Yan ke Kuala Lumpur, terutamanya pada bulan ramadhan, namun ia perlu dilakukan.



Di kawasan yang saya wakili, setakat ini saya telah berbuka puasa di lapan buah masjid dan di sebuah surau serta berterawih di tujuh buah masjid dan di tiga buah surau. IsyaAllah dalam beberapa hari lagi ini, saya akan gunakan sebaiknya untuk berbuka puasa dan bersolat terawih di masjid-masjid yang belum sempat saya ziarahi dan juga beberapa surau. Berbuka puasa atau berterawih di masjid atau surau adalah peluang terbaik bagi kita bertemu dan bermesra dengan penduduk khususnya umat islam.

Pada 26 Ogos lalu, selepas tarawih saya menghadiri malam terakhir perayaan 'Ghost Month' (Bulan Hantu) bersama rakan-rakan kaum cina di Taman Mewah, Guar Chempedak.

Thursday, August 19, 2010

Pada hari Jumaat, 13 Ogos, saya bersolat jumaat di Masjid Guar Chempedak, berbuka puasa di Masjid Titi Teras dan solat isha' dan terawih di Masjid Kampung Ruat. Pada 14 Ogos pula, saya berkesempatan berbuka puasa dan solat maghrib di Masjid Guar Chempedak dan solat isha' dan terawih di Surau Kampung Kepala Bukit.



Sejajar dengan visi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020, Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memperkenalkan dan melancarkan Model Baru Ekonomi bermatlamatkan ekonomi berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Pendapatan perkapita rakyat Malaysia akan meningkat dari RM 22,000 (US$ 7,000) kepada RM 49,500 (US$ 15,000) menjelang 2020. Bagi mencapai matlamat ini Pendapatan Kasar Negara (Gross National Income) harus mencapai RM 1.7 trillion (US$ 524 billion) daripada RM 600 billion (US$ 188 billion) melalaui program transformasi ekonomi. Bagi memenuhi 'tanda aras' negara berpendapatan tinggi berdasarkan kepada definasi Bank Dunia, ekonomi Malaysia perlu tumbuh pada kadar 5-6% setahun antara tahun 2011 hingga tahun 2020. Negara memerlukan dana sebanyak RM 2.2 trillion (US$ 600 billion) bagi tempoh berkenaan.

Bagi melakukan transformasi ekonomi sehebat ini, ia memerlukan masyarakat yang berilmu. Salah satu bidang yang diberikan tumpuan oleh kerajaan bagi mencapai masyarakat berilmu ialah bidang ICT (Teknologi Informasi dan Komunikasi). ICT boleh dimajukan dengan pesat melalui perlaksanaan Jalur Lebar (broadband). Negara meletakkan tahap penembusan jalur lebar isi rumah sebanyak 50% pada akhir tahun 2010. (Sesetengah negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan lain-lain lagi, kadar penembusan nasional melebihi 70%).

Sekarang ini, kadar penembusan nasional jalur lebar negara ini hanyalah 37.3% sahaja. Kadar penembusan ini berbeza mengikut negeri. Kadar penembusan bagi negeri Kedah ialah 21.5% dan sasaran bagi akhir 2010 ialah 32.6%. Negeri yang tertinggi penembusan jalur lebar ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (105%) di ikuti dengan Selangor (55.6%) manakala yang terendah ialah Kelantan (15.9%). Penembusan jalur lebar mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sesebuah negara. Amerika Syarikat umpamanya 50% penembusan jalur lebar menyumbang 4% KDNK. Bagi Malaysia adalah dijangkakan penembusan 50% pada akhir tahun 2010 mampu menyumbang sebanyak 1% kepada KDNK serta mewujudkan 135,000 peluang pekerjaan hasil penambahan pelaburan.

Bagi mencapai matlamat penembusan 50% isi rumah, Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) sepertimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 Mac 2010 yang lalu telah menyediakan inisiatif-inisiatif penggalakan jalur lebar. Antaranya ialah memperuntukkan dana USP sebanyak 7.0 billion untuk 1 juta komputer riba (Notebook) kepada pelajar yang kurang mampu.

Pada 14 Ogos yang lalu, program pemberian sebanyak 1000 notebook telah diadakan di Dewan Serbaguna, Guar Chempedak. Saya telah dijemput untuk memberi ucapan dan menyampaikan notebook kepada 5 orang pelajar di majlis berkenaan. Program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh SKMM yang diketuai oleh En. Mohd Husin, Pengarah Kawasan Utara. Pelajar-pelajar yang telah dikenalpasti dan dipilih oleh pihak sekolah menengah yang terlibat. Sekolah-sekolah menengah berkenaan ialah Sekolah Menengah Guar Chempedak, Sekolah Menengah Yan, Sekolah Menengah Dulang dan Sekolah Menengah Agama Yan. Sekolah-sekolah ini dipilih berdasarkan kepada jaraknya yang berdekatan dengan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di Yan Kechil dan Guar Chempedak.

Oleh kerana pemberian hanya melibatkan 1000 unit, manakala jumlah keseluruhan pelajar-pelajar sekolah-sekolah menengah yang terlibat melebihi 10,000 orang, tentulah terdapat ramai pelajar yang tidak memperolehinya. Antara syarat-syarat kelayakan pemberian ialah pelajar antara tingkatan 1 hingga 5 dan pendapatan keluarga RM 3,000/bulan kebawah. Saya amat bersimpati dengan pelajar-pelajar yang tidak memperolehi notebook ini. Namun mereka masih berpeluang untuk memperolehinya di masa depan kerana fasa kedua pemberiannya akan dilaksanakan dalam masa terdekat. SKMM sendiri mengakui terdapat banyak kelemahan tertentu dalam pemberian notebook fasa pertama ini dan berjanji untuk memperbaikinya di masa hadapan. Ada yang menyatakan terdapat pelajar yang tidak layak tetapi memperolehinya dan berbagai lagi. Tetapi hakikatnya ialah sungguhpun SKMM mempunyai pelbagai kekangan (seperti dateline), sekurang-kurangnya inisiatif ini telah dimulakan dan majoriti yang memperolehinya ialah pelajar-pelajar yang layak. Sebagai manusia, tidak mungkin kita dapat melaksanakan dengan sempurna dan memuaskan hati semua orang buat kali pertama. Kita tidak mungkin dapat melakukan apa-apa jika kita sentiasa mengharapkan 'kesempurnaan'(perfection). Yang penting kita mesti belajar dari kesilapan dan kelemahan serta bersedia untuk memperbaikinya.







Saturday, August 14, 2010

12 Ogos 2010 - Kerana tugas dan tanggungjawab saya balik ke Yan selepas sembahyang terawih hari pertama puasa. Pada hari kedua saya berbuka dan solat maghrib di Masjid Yan. Selepas itu berkesempatan solat Isha' dan terawih di Surau Kampung Raga.
11 Ogos 2010, bersamaan 1 Ramadhan 1431H adalah hari pertama umat islam seluruh Malaysia mula melaksanakan ibadah puasa. Masa berjalan begitu pantas sekali. Sedar-sedar Ramadhan al-Mubarak datang mendakapi kita sekali lagi. Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia bagi umat islam kerana Kitab suci Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada bulan berkenaan. Bulan ini juga adalah bulan bagi umat islam seluruh dunia (1.6 billion) menunaikan rukun islam yang ke-3.

Bagi setiap umat islam, ketibaan bulan ramadhan membawa bersamanya kenangan silam. Bagi diri saya, kenangan yang sentiasa bermain di kepala setiap kali tibanya bulan ramadhan ialah sewaktu masih kecil, tinggal di Kampung Permatang Keramat dan kemudiannya berpindah ke Kampung Raga, Yan (semasa umur 11 tahun). Sewaktu kecil, kehadiran 'bulan posa'(sebutan orang kedah) membawa perasaan yang bercampur-campur, seronok pun ada tak seronok pun ada. Seronok kerana pada bulan posa terdapat pelbagai juadah, kuih muih, dapat main sole', makan moreh, dapat main meriam kabat, pasang lampu minyak gas, suasana kampung yang ceria dan akan dapat baju baru untuk hari raya. Salah satu aktiviti yang saya lakukan semasa berumur 12-15 tahun ialah menganjurkan pertandingan Quran untuk budak-budak Kampung Raga. Pada hari raya pula kalau rajin berjalan dari rumah ke rumah akan dapat duit raya hingga jumlahnya RM 3.00. Yang tak seronoknya pula ialah bagi kanak-kanak ialah terpaksa belajar berpuasa dan kena bangun sahur. Ketika itu, satu bulan rasanya begitu lama. Bila bercakap tentang kenangan di bulan ramadhan, saya sentiasa rasa sedih sayu, terasa jauh sekali masa meninggalkan kita, lebih-lebih teringat ayah dan emak yang sudah lama meninggal dunia. Ayah sudah meninggal dunia 26 tahun lalu dan emak pula 4 tahun lalu. Teringat juga kenangan bermain dan kadang-kadang 'berkelahi' dengan adik beradik.

Suasana di bulan ramadhan di kampung kini sudah berubah. Kanak-kanak tidak lagi bermain Sole' dan tidak banyak lagi surau-surau yang menyediakan moreh. Namun bulan posa tetap mempunyai keistimewaanya yang tersendiri.

Sewaktu bertugas sebagai Ketua Perwakilan Malaysia (macam Duta) di Taiwan (2005-2007), saya berpeluang untuk melalui pengalaman puasa di sana. Sudah tentunya suasananya berbeza sama sekali kerana umat islam di sana adalah kaum minoriti, hanya 50,000 orang dari jumlah penduduk 23 juta. Tidak adalah bazar ramadhan sepertimana di negara kita. Solat terawikh tiada masalah kerana terdapat masjid (Grand Mosque), tidak jauh dari rumah tempat saya tinggal(15 minit perjalanan dengan kereta). Saya juga pernah melalui bulan ramadhan di England semasa belajar di sana selama 7 1/2 tahun(1973/76 & 78/83) dan di Sweden selama 1 bulan (1986),semasa mengikuti kursus pengurusan di sana. Waktu berbuka yang paling lewat yang pernah saya rasai ialah 10.45 malam semasa panas (bulan Jun) di Sweden.

Umat islam di Malaysia amat bertuah sekali dan harus bersyukur banyak-banyak kita kerana kita merupakan kaum majoriti dan masa berbuka tidak begitu lewat. Sebagai kaum majoriti suasana bulan ramadhan amat berbeza sekali, terdapat bazar ramadhan di merata tempat dan dapat beribadah di bulan ramadhan dengan penuh kesempurnaan.

Bagi diri saya setiap tahun, hari pertama puasa saya akan cuba sedaya upaya untuk makan sahur dan berbuka dengan keluarga (isteri dan anak-anak) serta bersembahyang terawikh bersama mereka di Masjid Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya. Pada hari pertama berpuasa tahun ini, iaitu pada 11 Ogos, saya berkesempatan untuk berbuat demikian.

Kepada semua umat islam khususnya di kawasan DUN Guar Chempedak saya ucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa. Semoga ibadah kita mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah SWT.
Pada 8 Ogos lalu, saya menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan bekas pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jenan di Hotel UUM, Sintok. Lebih kurang 60 orang ahli-ahli persatuan yang sesetengahnya datang jauh dari Kuala Lumpur dan juga ada juga yang datang dari Kelantan. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim adalah sekolah asrama penuh yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Melayu dan juga mempunyai aliran sains tulin yang kedua selepas Sekolah Menengah Alam Shah, Kuala Lumpur. Saya belajar disitu tingkat 4 & 5 dalam aliran sains tulin antara 1968 hingga 1969. Pada ketika itu, tidak ada banyak sekolah asrama penuh seperti hari ini. Sekarang ini kita ada banyak sekolah asrama penuh seperti sekolah menengah sains, sekolah menengah agama, MRSM dan lain-lain.

Agak ramai juga bekas-bekas pelajar SMSAH ini yang berjaya mengukir nama dan menjadi samada dalam sektor swasta, kerajaan mahupun politik. Dalam sektor kerajaan antara bekas pelajar-pelajar yang memegang jawatan penting ialah YB. Dato' Paduka Rusli Basir (Setiausaha Kerajaan negeri Kedah), YB. Dato' Azizan bin Hamid (Setiausaha Kerajaan negeri Perlis) Ketua Pengarah JPA yang baru dilantik (dulu KSU Kementerian Pertahanan) Dato' Seri Abu Bakar, Tan Sri Dr. Zulkefli bin A. Hassan (KSU Kementerian Pengajian Tinggi), Dato' Jabar Che Nai (KSU Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar (KKLW)) , Dato Yussof bin Dohab(Timbalan KSU KKLW) dan Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak (Naib Canselor UUM) . Dalam bidang politik pula, antara tokoh-tokohnya ialah YB. Dato' Seri Shahidan Kassim (bekas MB Perlis), YBhg. Dato' Paduka Abd Rahman Ibrahim, Bekas EXCO Kedah dan Setiausah Parlimen Kementerian Dalam Negeri dan Dato' Othman Abdul, bekas ahli Parlimen Pendang dan Pengerusi MARA.

Dalam Mesyuarat Agung kali ini Prof. Dato' Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor UUM telah terpilih sebagai pengerusi yang baru manakala saya sendiri terpilih sebagai Timbalan Pengerusinya.





Selepas selesai mesyuarat agung tersebut, lebih kurang jam 5.00 petang, saya bergegas pula ke Sekolah Kebangsaan Padang Chichar, Sik untuk bertemu dengan 150 orang pengakap dari Yan di Jambori Pengakap negeri Kedah. Saya ke situ untuk melawat dan memberi sokongan moral kepada mereka. Kontinjen Pengakap dari Yan yang diketuai oleh Cikgu Fariz telah memenangi banyak pertandingan di Jambori tersebut. Sebagai Naib Pengerusi Pengakap Yan, saya memberi ucapan bagi menyuntik semangat kepada kontinjen dan seterusnya makan malam bersama mereka di perkarangan khemah tempat mereka menginap.

Saya berpendapat, perjumpaan sebegini amat penting bagi mendampingi dan mendekati anak-anak muda, terutamanya yang masih dibangku sekolah. Sungguhpun kadangkala kita merasakan mereka masih muda dan belum memahami senario politik negara, namum ia mampu memberi impak dan kesan positif kepada kita dalam jangka panjang. Bak kata pepatah nak melentur buluh biarlah semasa rebungnya. Kalau dah jadi buluh, agak sukar untuk dilenturkan dan kemungkinan ia akan patah.





7 Ogos 2010 - Pada hari ini, dari jam 11.00 pagi sehingga 3.00 petang, saya mengikuti program Jelajah Ramadhan bersama Ketua Puteri UMNO bahagian Jerai bersama 13 orang lagi AJKnya. Tujuan prgoram ini ialah memberi bantuan beras dan makanan asas yang lain seperti gula, minyak dan sebagainya serta wang kepada keluarga miskin di kawasan DUN Guar Chempedak. Sejumlah sepuluh keluarga miskin telah dikunjungi bermula Kg.Singkir Darat hingga ke Taman Sri Wangsa, Guar Chempedak.





Pada 6 Ogos, lebih kurang jam 9 malam, saya menghadiri perayaan Varudapisagam bagi masyarakat kaum India di Jalan Jenun, Guar Chempedak.

Perayaan ini diadakan pada bulan ogos setiap tahun. Saya hadir atas jemputan En. Pala.

Sunday, August 8, 2010

3 Ogos 2010 - Saya melawat kampung-kampung bersama dengan 3 orang pegawai dari Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar bagi membuat pengesahan Projek Ameniti Sosial(PAMS) bagi DUN Guar Chempedak. kampung-kampung yang dilawati ialah Kg Rendang Pasir, Kg Acheh, Kg Jawa,Kg Raga, Kg Perigi, Kg Perupok dan Kg Batu 18.Saya telah mengemukakan cadangan projek-projek yang perlu dilaksanakan termasuk titi di Kampung Rendang Pasir yang sudah dhaif dan merbahayakan pengguna. Alhamdulillah, projek-projek yang dicadangkan telah diterima dan diluluskan oleh KKLW. InsyaAllah, projek-projek berkenaan oleh dilaksanakan dengan secepat mungkin.



Saturday, August 7, 2010

2 Ogos 2010 - Sidang Dewan Negeri Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah yang ke-12 telah berlangsung pada 2 Ogos, bermula dari jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi.

Seperti biasa, sidang Dewan Negeri bagi bulan April dan Ogos tidaklah mengambil masa yang panjang, kerana agendanya tidaklah panjang. Sidang Dewan Negeri pada November mengambil masa tiga hari kerana membincangkan bajet. Sidang kali ini seperti biasa bermula dengan doa, di ikuti dengan pembentangan kertas-kertas dewan(4 kertas semuanya), pertanyaan-pertanyaan mulut dan diakhiri dengan usul-usul. Masa yang diberikan untuk pertanyaan dan jawapan mulut hanyalah satu jam dan kebanyakkan ADUN menganggap tempoh masa ini tidak mencukupi. Selalunya masa satu jam hanya cukup untuk 7-8 soalan mulut. Tetapi disebabkan soalan-soalan tambahan yang agak panjang, kali ini hanya 4 soalan sahaja yang dapat dijawab. Ada cadangan supaya usul dapat dibuat kepada Dewan Undangan Negeri supaya tempoh pertanyaan-pertanyaan mulut di panjangkan sehingga 2 jam atau lebih. Ini penting kerana Dewan Negeri adalah forum terbaik untuk disampaikan isu-isu yang berkait rapat dengan kepentingan negeri dan rakyat.



Pada 2 Ogos 2010 (petang) juga satu majlis penyampaian bantuan kepada rakyat miskin telah diadakan di perkarangan Pejabat Tanah & Daerah Yan. Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Menteri Besar. Sebagai ADUN kawasan saya telah menerima jemputan dan hadir di majlis berkenaan.



Pada 1 Ogos 2010 yang lalu, YB Senator(Major Jeneral)Dato' Seri Jamil Khir Baharom , Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah merasmikan Surau Banggul Lalang. Saya turut hadir di majlis tersebut. Surau ini terletak di bawah DUN Gurun dan di bina oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos RM 90,000.








Pada 1 Ogos 2010 juga (sebelah petang), saya menghadiri Majlis Pelancaran Jalur Gemilang dan bantuan kepada rakyat miskin bagi Parlimen Jerai oleh YB. Dato' Seri Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis ini telah diadakan di Simpang Tiga, Singkir Darat.



Tuesday, August 3, 2010

28 Julai 2010 - Pada hari ini jam 3 petang saya telah dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Jerai (SURIWAJA). Dalam ucapan, saya menyentuh tentang perubahan yang begitu pantas dan memerlukan kita berubah mengikut peredaran zaman. Perubahan yang berlaku di dunia khususnya dalam bidang sains & teknologi, dan ICT yang berlaku begitu pantas terutamanya dalam tahun 80-an sehingga kini. Abad ke-20 ini sedang menyaksikan perubahan yang pesat dalam bidang sains & teknologi. Manakala dalam abad ke-21 ini pula kita akan menyaksikan perubahan yang lebih pesat lagi terutamanya dalam bidang teknologi informasi dan komunikasi (ICT). Semua perubahan ini sudah tentu mempengaruhi kehidupan kita dan memberi impak yang besar terhadap diri kita, keluarga dan persekitaran kita.

Saya menyarankan agar SURIWAJA menganjurkan kursus komputer dan perisian yang berkaitan internet dan sebagainya agar ahli-ahlinya celik komputer dan celik internet serta mampu menggunakan kemudahan ini bagi kebaikan mereka. Saya juga menyentuh tentang program jalur lebar (broadband) yang sedang diusahakan oleh kerajaan bagi meningkatkan penembusannya ke tahap 50% (sekarang hanya 37%) pada akhir tahun 2010. Sebagai perbandingan negara-negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan negara-negara maju yang lain kadar penembusannya ialah lebih 80%.

Saya juga mencadangkan agar SURIWAJA menubuhkan koperasi supaya mereka dapat bergerak sebagai kumpulan yang lebih besar dan boleh mendapatkan bantuan pinjaman yang tertentu dari pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).