Pages

Saturday, August 14, 2010

11 Ogos 2010, bersamaan 1 Ramadhan 1431H adalah hari pertama umat islam seluruh Malaysia mula melaksanakan ibadah puasa. Masa berjalan begitu pantas sekali. Sedar-sedar Ramadhan al-Mubarak datang mendakapi kita sekali lagi. Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia bagi umat islam kerana Kitab suci Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada bulan berkenaan. Bulan ini juga adalah bulan bagi umat islam seluruh dunia (1.6 billion) menunaikan rukun islam yang ke-3.

Bagi setiap umat islam, ketibaan bulan ramadhan membawa bersamanya kenangan silam. Bagi diri saya, kenangan yang sentiasa bermain di kepala setiap kali tibanya bulan ramadhan ialah sewaktu masih kecil, tinggal di Kampung Permatang Keramat dan kemudiannya berpindah ke Kampung Raga, Yan (semasa umur 11 tahun). Sewaktu kecil, kehadiran 'bulan posa'(sebutan orang kedah) membawa perasaan yang bercampur-campur, seronok pun ada tak seronok pun ada. Seronok kerana pada bulan posa terdapat pelbagai juadah, kuih muih, dapat main sole', makan moreh, dapat main meriam kabat, pasang lampu minyak gas, suasana kampung yang ceria dan akan dapat baju baru untuk hari raya. Salah satu aktiviti yang saya lakukan semasa berumur 12-15 tahun ialah menganjurkan pertandingan Quran untuk budak-budak Kampung Raga. Pada hari raya pula kalau rajin berjalan dari rumah ke rumah akan dapat duit raya hingga jumlahnya RM 3.00. Yang tak seronoknya pula ialah bagi kanak-kanak ialah terpaksa belajar berpuasa dan kena bangun sahur. Ketika itu, satu bulan rasanya begitu lama. Bila bercakap tentang kenangan di bulan ramadhan, saya sentiasa rasa sedih sayu, terasa jauh sekali masa meninggalkan kita, lebih-lebih teringat ayah dan emak yang sudah lama meninggal dunia. Ayah sudah meninggal dunia 26 tahun lalu dan emak pula 4 tahun lalu. Teringat juga kenangan bermain dan kadang-kadang 'berkelahi' dengan adik beradik.

Suasana di bulan ramadhan di kampung kini sudah berubah. Kanak-kanak tidak lagi bermain Sole' dan tidak banyak lagi surau-surau yang menyediakan moreh. Namun bulan posa tetap mempunyai keistimewaanya yang tersendiri.

Sewaktu bertugas sebagai Ketua Perwakilan Malaysia (macam Duta) di Taiwan (2005-2007), saya berpeluang untuk melalui pengalaman puasa di sana. Sudah tentunya suasananya berbeza sama sekali kerana umat islam di sana adalah kaum minoriti, hanya 50,000 orang dari jumlah penduduk 23 juta. Tidak adalah bazar ramadhan sepertimana di negara kita. Solat terawikh tiada masalah kerana terdapat masjid (Grand Mosque), tidak jauh dari rumah tempat saya tinggal(15 minit perjalanan dengan kereta). Saya juga pernah melalui bulan ramadhan di England semasa belajar di sana selama 7 1/2 tahun(1973/76 & 78/83) dan di Sweden selama 1 bulan (1986),semasa mengikuti kursus pengurusan di sana. Waktu berbuka yang paling lewat yang pernah saya rasai ialah 10.45 malam semasa panas (bulan Jun) di Sweden.

Umat islam di Malaysia amat bertuah sekali dan harus bersyukur banyak-banyak kita kerana kita merupakan kaum majoriti dan masa berbuka tidak begitu lewat. Sebagai kaum majoriti suasana bulan ramadhan amat berbeza sekali, terdapat bazar ramadhan di merata tempat dan dapat beribadah di bulan ramadhan dengan penuh kesempurnaan.

Bagi diri saya setiap tahun, hari pertama puasa saya akan cuba sedaya upaya untuk makan sahur dan berbuka dengan keluarga (isteri dan anak-anak) serta bersembahyang terawikh bersama mereka di Masjid Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya. Pada hari pertama berpuasa tahun ini, iaitu pada 11 Ogos, saya berkesempatan untuk berbuat demikian.

Kepada semua umat islam khususnya di kawasan DUN Guar Chempedak saya ucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa. Semoga ibadah kita mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah SWT.

No comments: