Pages

Thursday, July 29, 2010

19 Julai 2010 - Satu perjumpaan dan dialog antara YB. Dato' Seri Mohd Noh Omar, Menteri Pertanian dan Asas Tani dengan penduduk kawasan Parlimen Jerai telah diadakan pada 19 Julai 2010, antara jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengahari di Dewan NAZA, Gurun. Hadir bersama dalam perjumpaan ini ialah Pengurus Besar MADA, Dato' Abdul Rahim Salleh, Pengarah LKIM Kedah, En. Mohd Noor Had, dan lain-lain pegawai agensi negeri dan daerah di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Dalam ucapan dan respon YB Menteri terhadap soalan yang dikemukakan, beliau menyentuh tentang betapa pentingnya pegawai-pegawai kerajaan mempertingkatkan prestasi, khususnya sistem penyampaian kepada kumpulan sasaran. Beliau banyak menyentuh tentang MADA, yang mana berpendapat harus mempertingkatkan prestasi terutamanya dalam mempertingkatkan produktiviti pengeluaran padi dan perlunya mempertingkatkan sistem pengairan dan saliran. Selepas selesai majlis dialog, saya juga mengikuti YB Menteri untuk lawatan ke kilang NPK Fertelizer Sdn Bhd di Gurun.

Wednesday, July 28, 2010

17 Julai 2010 - Sejak dari jam 8.00 pagi sehingga 7.00 petang, saya dan isteri terlibat secara aktif dalam Karnival Sukan Rakyat 2010. Karnival seperti ini sebenarnya adalah julung-julung kali diadakan di DUN Guar Chempedak dan dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN. Saya sangat berpuas hati dengan sambutan dan penyertaan seluruh masyarakat DUN Guar Chempedak. Dianggarkan hampir 3000 orang mengunjungi karnival ini. Kejayaan ini dapat dicapai hasil dari kerjasama dan sokongan semua Pengerusi JKKKP DUN Guar Chempedak, agensi-agensi kerajaan, terutamanya dari kerajaan pusat dan penduduk Kampung KEDA, Sg. Udang. Sejumlah 25 agensi kerajaan termasuk KEDA, JPJ, Penjara Kedah, PDRM Tentera, Pejabat Kesihatan, Jabatan Pertanian, GiatMara, AADK, RELA, JKR, JPA3, Bomba dan Penyelamat, SPR, MDY, Pejabat Daerah, Pejabat Belia, Tabung Haji, AGRO Bank, LKIM, TEKUN Nasional, SKM dan lain-lain lagi yang terlibat dalam pameran dan demonstrasi pada hari tersebut. CIMB Bank juga menyertai karnival ini.



Karnival dimulakan dengan aktiviti senamrobik. Penyertaannya amat menggalakan sekali. Perasmian pada jam 11.00 pagi telah dilakukan oleh YB. Dato' Hj. Hasbullah B Osman, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri.





Antara acara sukan yang dipertandingkan ialah jenis-jenis sukan rakyat yang mungkin sudah lama dilupakan seperti congkak, tarik upeh, kukur nyior, lari dalam guni dan lain-lain lagi. Di samping itu, sukan futsal untuk vateran (45 tahun ke atas) dan kanak-kanak (12 tahun ke bawah) serta sepak raga ratus telah diadakan. Acara yang menerima sambutan memberansangkan di sebelah pagi ialah kayuh basikal lambat. Saya sendiri mengambil bahagian dalam acara futsal bersama pasukan Kg Raga. Mungkin nasib menyebelahi saya, pasukan Kg Raga menang tempat ke-3 dan saya sendiri skor satu gol.







Pada keseluruhannya, Karnival Sukan Rakyat ini amat berjaya sekali berdasarkan kepada penyertaan, penglibatan, dan sambutan pengunjung yang tidak putus-putus datang ke karnival ini dari pagi hingga ke petang. Maklumbalas yang diterima dari masyarakat juga amat memberansangkan, ada yang meminta agar program ini dijadikan acara tahunan. Ini boleh di fikirkan dan diberi pertimbangan.









Tuesday, July 27, 2010

16 Julai 2010 - Kampung Raga memang terkenal sebagai sebuah kampung homestay di negeri Kedah. Pada tahun 90-an, sungai Kampung Raga telah terpilih sebagai sungai yang paling bersih di Malaysia. Kampung Raga juga pernah terpilih sebagai kampung terbaik bagi negeri Kedah pada tahun 2002. Semua kejayaan ini adalah hasil dan berkat dari kerjasama dan permuafakatan yang terjadi di kalangan penduduk. Semangat gotong-royong masih lagi segar di Kampung Raga. Ini bertepatan sekali dengan nama kampung ini. Penduduk kampung ini kebanyakannya bersangkut paut antara satu sama lain, datang 'seraga' sejak akhir abad ke 19. Majlis kenduri kahwin masih lagi dilaksanakan secara gotong-royong. Masakan mereka terutama sekali gulai daging memang sedap sekali. Baru-baru ini iaitu pada 16 Julai 2010, hari Jumaat, lebih 30 orang tetamu dari Korea Selatan menyertai program homestay di Kampung Raga.

Saya sempat bersama dengan mereka untuk melihat sendiri kejayaan homestay di Kampung Raga. Antara tempat yang di lawati mereka ialah rumah Kak Faridah, untuk melihat industri kueh-mueh melayu tempatan.



Hari Jumaat kali ini saya bersolat di Masjid Kg KEDA Sg Udang . Selepas asar, saya bersama dengan AJK Penganjur Karnival Sukan Rakyat dan penduduk kampung KEDA berada di tapak karnival untuk membuat persiapan.

Monday, July 26, 2010

14 Julai 2010 - Satu mesyuarat JK Majlis Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) negeri Kedah telah diadakan di Pejabat GABEM Kedah di Bangunan MARA, Alor Setar. Tujuan utama mesyuarat ini diadakan ialah untuk merancang aktiviti atau program GABEM Kedah untuk separuh tahun kedua 2010. Antara program yang dirancang ialah Muzakarah Majlis GABEM Negeri bagi zon utara dan program pembiayaan perniagaan.

Thursday, July 22, 2010

10 Julai 2010 - Sepanjang hari dari pagi hingga ke petang, saya sebagai perwakilan menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO bahagian di NAZA, Gurun. Persidangan kali ini dirasmikan oleh YB. Dato' Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Persidangan kali ini mencipta sejarah kerana kehadiran seorang menteri iaitu YB Senator Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebagai perwakilan UMNO bahagian Jerai.



8 Julai 2010 - Hari jumaat kali ini, saya bersolat di Masjid Yan. Kemudiannya ke Hotel Avenue, Sg Petani untuk merasmikan 'Seminar Kepenggunaan' anjuran 'ANGKASA'. Bersesuaian dengan seminar yang dianjurkan oleh badan koperasi dan dihadiri oleh ahli-ahli koperasi. Dalam ucapan perasmian, saya menyentuh tentang peranan koperasi dalam memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya ahli-ahli koperasi mengenai hak mereka sebagai pengguna. Di samping itu, saya juga telah menekankan tentang peranan koperasi untuk terlibat dalam perniagaan pemborongan dan peruncitan terutamanya bahan-bahan makanan keperluan asas seperti beras, tepung dan gula. Ini sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan dalam menentukan bekalan yang mencukupi.





8 Julai 2010 - Saya sempat menziarahi jenazah kanak-kanak berumur 9 tahun yang meninggal dunia akibat mati lemas selepas jatuh sungai di rumahnya di Kampung Kepala Bukit lebih jam 1.00 tengahari. Kanak-kanak ini jatuh sungai sehari sebelumnya (6.00 petang pada 7/7/2010) setelah ia berhenti diatas titi untuk melihat orang memancing.

Sebelah petangnya saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Karnival Sukan Rakyat di Dewan Masjid Yan. Sebelah malamnya saya bersolat di Masjid Kampung Keda Sg. Udang dan seterusnya menghadiri Forum Perdana 'Israk Mikraj' di masjid berkenaan.



Thursday, July 15, 2010

7 Julai 2010 - Sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi negeri Kedah, saya juga menganggotai Majlis Perudingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) bagi mewakili negeri Kedah. Majlis ini di pengerusikan oleh YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan. Mesyuarat Majlis Perundingan telah diadakan pada 7 Julain 2010 di Bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Kuala Lumpur. Antara pekara-pekara yang dibincangkan ialah penyediaan Dasar Koperasi Negara 2011-2020, penglibatan koperasi dalam Perkhidmatan Kesihatan dan Skim Perlindungan dan Perkhidmatan Sosial Angkasa.
6 Julai 2010 - Pihak TEKUN Parlimen Jerai telah mengundang saya untuk menyampaikan cek pinjaman TEKUN kepada 15 orang peserta. Dalam ucapan sebelum penyampaian cek saya telah menyentuh tentang keperluan untuk mengadakan akaun, wang keluar-masuk, menentukan simpanan dibuat dari keuntungan dan aliran tunai yang positif. Saya juga mengingatkan mereka kewajipan untuk membayar balik pinjaman kerana jika tidak ia akan menafikan hak pemohon-pemohon yang layak di masa hadapan.



3 Julai 2010 - Sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri Kedah, saya telah diundang untuk merasmikan Karnival Koperasi dan Expo Produk Keluaran Koperasi negeri Kedah di Sg. Petani. Lebih dari 30 koperasi seluruh negeri Kedah telah turut serta dalam menjayakan karnival ini.



2 Julai 2010 - Pada hari ini, saya telah menghadiri Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak. Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Dato' Suhaimi, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat
30 Jun 2010 - Pada hari ini saya menghadiri mesyuarat 'Focus Group' di Pejabat Pembangunan Negeri di Sg. Petani bagi berbincang dan membuat pemilihan mereka-mereka yang layak untuk mendapat bantuan rumah dari Kerajaan Persekutuan.

Wednesday, July 14, 2010

28 Jun 2010 - Sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pertubuhan Peladang, saya juga dilantik ahli JK odit LPP. Mesyuarat JK odit yang dipengerusikan oleh Tan Sri Rashid (juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan, NAFAS) kali ini diadakan di Semerak, Kelantan pada 29 Jun 2010. Kami juga membuat lawatan ke projek-projek Pertubuhan Peladang di sana seperti Pusat Jentera di Pertubuhan Peladang Negeri(PPN) di Kota Bharu dan projek tanaman ubi keledek secara ladang di Semerak.







Di sebelah malam pada 29 Jun, menghadiri jamuan makan malam (santapan) bersama KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah di Kuala Lumpur.