Pages

Saturday, February 26, 2011

1. TIGA BERADIK TIDAK BERSEKOLAH

Pada 6 Februari lalu, saya berkunjung ke rumah Ibrahim Lazim di Batu 18, Sungai Baru, Guar Chempedak. Saya telah menerima maklumat di sebelah paginya bahawa kesemua tiga orang anaknya berhenti sekolah sejak beberapa tahun lalu. Anak perempuan sulungnya, Nurul Nadira sepatutnya belajar di tingkatan 3 telah berhenti sekolah sejak tiga tahun lalu. Anak yang kedua, Mohamad Ridhuan yang sepatutnya berada di tingkatan 1 pula telah berhenti sekolah sejak tiga tahun lalu. Manakala anak bongsunya, Siti Aishah yang sepatutnya belajar di darjah 6 telah berhenti sekolah semasa darjah 2. Emak mereka telah meninggal dunia tiga bulan lalu, manakala Pak Brahim, ayah mereka bekerja sebagai pegawal keselamatan dengan gaji lebih kurang RM 500 sebulan. Sebab sebenar mereka berhenti sekolah tidak dapat diketahui dengan tepat tetapi berdasarkan kepada perbualan dan maklum balas yang disuarakan, kemiskinan dan sikap menjadi faktor utama.

Saya bersama rakan-rakan cuba memujuk kanak-kanak ini terutamanya Nurul yang berumur 15 tahun untuk kembali ke sekolah. Pada mulanya mereka berkeras tidak mahu bersekolah, setelah di cuba dengan pelbagai cara dan pendekatan akhirnya Nurul dan seterusnya diikuti dengan dua orang adiknya bersetuju untuk bersekolah semula. Perkara pertama yang ditanya Nurul ialah macamana nak beli pakaian seragam sekolah. Saya terus memberitahu mereka bahawa saya sendri akan membeli pakaian kepada mereka. Pada 8 Februari, saya telah membawa mereka ke Pasaraya ANEKA di Gurun untuk membeli pakaian seragam termasuk pakaian, kasut, beg dan pakaian sukan.

Saya juga mengambil langkah untuk mendapatkan kebenaranPegawai Pelajaran Daerah (berpejabat di Sungai Petani) serta Pengetua SM Guar Chempedak dan Guru Besar SK Guar Chempedak bagi menempatkan di sekolah-sekolah berkenaan. Dalam hubungan ini, saya amat menghargai kerjasama dan perhatian PPD, Pengetua SM Guar Chempedak dan Guru Besar SK Guar Chempedak yang membuat keputusan yang begitu pantas memastikan tiga beradik ini bersekolah semula. Mereka telah kembali ke sekolah pada 9 Februari. Kepada semua yang membantu dalam menjayakan misi ini, saya ucapkan berbanyak terima kasih. Saya gembira kerana mereka kembali ke sekolah dan berharap agar mereka tidak akan tercicir lagi. Bersekolah dan mendapat pelajaran amat penting kerana ia menentukan masa depan anak-anak kita.





2. MERASMIKAN KURSUS IBADAH HAJI DAN UMRAH

Pada hari jumaat, 11 Februari lalu, saya telah dijemput untuk merasmikan kursus ibadah dan umrah di Masjid Jamek, Yan. Sudah tiga tahun berturut-turut (sejak menjadi wakil rakyat), saya dijemput untuk merasmikan kursus berkenaan. Mereka terdiri daripada bakal-bakal haji dari Daerah Yan yang memohon dari Lembaga Urusan dan Tabung Haji untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Kursus ini merangkumi 25 siri dan dijangka berakhir pada bulan Julai sebelum Ramadhan.




3. LAWATAN KE KAMPUNG-KAMPUNG

Sepertimana kebiasaan, sebelah petang selepas Asar, saya mengambil kesempatan untuk melawat kampung-kampung dalam kawasan DUN Guar Chempedak. Pada 9 Februari, saya melawat Kampung Sungai Belida & Pasir dan pada 14 Februari, saya melawat Kampung Batu 18 dan Kampung Kepala Bukit. Sementara pada 15 Februari, saya melawat Kampung Permatang Keramat, Kampung Singkir Laut dan Kampung Singkir Badong. Tujuan lawatan-lawatan ini ialah untuk bermesra dengan penduduk, ziarah orang sakit serta melihat sendiri apa-apa juga masalah yang mereka hadapi serta mengenal pasti keperluan mereka.




Saya amat tertarik sekali dengan apa yang diperhatikan di Kampung Batu 18, Tn Haji Ahmad, Pengerusi JKKKP kampung berkenaan telah membawa saya melihat tempat beliau memelihara ikan puyu dan ikan keli. Semasa di situ, saya perhatikan dalam sebidang tanah yang kecil (mungkin tidak sampai 10,000 kaki persegi) bukan hanya ikan dipelihara, tetapi di situ juga itik dipelihara dan sayur-sayuran serai di tanam. Kalaulah penduduk kampung kita dapat mempraktikan apa yang dibuat oleh Tn Haji Ahmad, saya yakin banyak hasil boleh diperolehi dan masalah kemiskinan penduduk kampung dapat dikurangkan. Bayangkan berapa banyak tanah kita di kampung-kampung yang terbiar.



4. MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN

Pada 15 Februari, saya, isteri dan anak lelaki saya, Ku Reza, menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pn Zaharah Bt Saad, rakan lama saya sejak di bangku sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Langkasuka) dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jenan, Jitra Kedah. Kami rakan sedarjah semasa darjah 3, darjah 6 serta tingkatan 4 hingga tingkatan 5. Saya dan Pn Zaharah (panggilan Chik di kampung) adalah antara 5 orang dari Sekolah Menengah Yan yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 di Sekolah Menengah Asrama Penuh dalam aliran sains. Pn Zaharah sekarang ini bertugas di MAHSA Kolej Universiti sebagai Profesor Madya dan Pengarah Kursus Kejururawatan. Dalam kesibukan tugas sebagai wakil rakyat, saya akan mencuba sedaya upaya menerima jemputan majlis-majlis perkahwinan terutamanya anak rakan-rakan.



5. JAMUAN GONG XI FA CHAI , PARLIMEN JERAI

Majlis jamuan makan malam Gong Xi Fa Chai anjuran MCA Parlimen Jerai telah diadakan pada 17 Februari lalu. Majlis ini dihadiri sama oleh pemimpin-pemimpin parti komponen BN dari UMNO, MCA, MIC dan lain-lain lagi. Antara pemimpin-pemimpin yang hadir ialah Pengerusi MCA negeri, Dato Chong It Chew, Senator Dato' Seri (Jen Bersara) Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga pemimpin-pemimpin bahagian termasuk UMNO, MCA dan MIC.




6. MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH LPP

Pada 18 Februari, saya menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah, Lembaga Pertubuhan Peladang di Ibu Pejabat LPP, Pusat Bandar Damansara.


7. MERASMIKAN SEMINAR MODEL BARU EKONOMI ANJURAN ANGKASA

Saya dijemput oleh Angkasa untuk merasmikan Seminar Model Baru Ekonomi (MBE) bagi ahli-ahli koperasi di negeri Kedah di Langkawi pada 19 Februari yang lalu. Dalam ucapan perasmian, saya mengambil peluang untuk memberi penjelasan mengenai Gagasan 1 Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan Model Baru Ekonomi. Semua ini adalah bermatlamat untuk membawa Malaysia kearah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti.




8. MESYUARAT MAJLIS KOPERASI KEBANGSAAN DI LABUAN

Pada 20 hingga 21 Februari, saya berada di Labuan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan. Sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri Kedah, saya juga adalah ahli majlis koperasi kebangsaan. Mesyuarat yang diadakan pada 21 Februari ini di pengerusikan oleh YB Dato' Seri Ismail Sabri, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi. Pada 20 Februari, sehari sebelum mesyuarat berkenaan, ahli-ahli majlis termasuk YB Menteri berkesempatan melawat Kampung Bukit Kuda untuk melihat perlaksanaan koperasi homestay kampung berkenaan. Berdasarkan kepada pencapaian homestay kampung ini, saya percaya homestay di tempat lain juga harus menubuhkan koperasi bagi meningkatkan keupayaan bisnes homestay.




9. Saya juga berkesempatan menghadiri majlis Anugerah Tesis Terbaik YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin anjuran Yayasan Nurul Yaqeen dan ISDEV, USM di Kuala Lumpur pada sebelah malam, 21 Februari. Anugerah ini disampaikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri kepada pemenang bagi kategori Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph. D).





10. MAULIDUR RASUL MASJID JAMEK YAN

Sepertimana tahun-tahun yang lepas, pada sebelah pagi 24 Februari, saya menyertai perarakan Maulidur Rasul dan menghadiri majlis ceramah anjuran Masjid Jamek Yan. Jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah dalam kawasan Yan serta IPD Yan turut serta dalam menjayakan perarakan pada tahun ini. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz.




Selepas selesai majlis ceramah, saya bergegas ke Lapangan Terbang Alor Setar untuk menyambut ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri pada jam 2 petang. Kemudiannya menghadiri majlis bersama YAB TPM di Pusat Matrikulasi Kubang Pasu di Jalan Kodiang.

11. BENGKEL WAU ANJURAN ADUN GUAR CHEMPEDAK DAN JKKKP DESA KEDA SUNGAI UDANG

Pada 25 Februari, saya dijemput untuk melakukan perasmian penutup bengkel wau anjuran Pejabat ADUN Guar Chempedak dengan kerjasama JKKKP Desa KEDA Sungai Udang. Bengkel ini diadakan selama 3 hari, pada 18, 19 dan 25 Februari. Saya sentiasa memberi galakan dan memberi bantuan kewangan bagi menjayakan program sebegini kerana ia dapat menyumbang kepada pengukuhan semangat permuafakatan serta kerja berpasukan di kalangan masyarakat dan menyegarkan kembali permainan tradisional orang melayu.




12. PERASMIAN PESTA WAU 1 MALAYSIA 2011

Pesta wau adalah salah satu acara tetap tahunan dan signifikan dalam kalendar saya sebagai wakil rakyat kawasan DUN Guar Chempedak. Kali ini adalah tahun ke-3 (sejak 2009) pesta wau dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak dengan kerjasama Persatuan Belia 4B Kampung Tengah Sungai Yan, JKKKP Sungai Yan dan JKKKP Kuala Sungai Yan diadakan. Pesta wau kali ini akan berlangsung selama 4 hari berturut-turut bermula dari 26 Februari hingga 1 Mac. Dianggarkan lebih 500 peserta (tahun 2009, 400 peserta) akan menyertai pertandingan, iaitu penyertaan terbesar sejak diadakan. Di samping itu, pertandingan pembuatan wau juga diadakan pada kali ini. Saya telah dijemput untuk merasmikan Pesta Wau 1 Malaysia 2011 yang diadakan di atas bendang Kampung Tengah Kuala Sungai Yan pada 26 Februari.




13. PERASMIAN PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI & GOTONG-ROYONG PERDANA

PLKN Merbok dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Yan dan JKKKP Kampung Titi Teras telah menganjurkan Program Khidmat Komuniti & Gotong-Royong Perdana di Masjid Nurul Iman, Kampung Titi Teras pada 26 Februari. Seramai 350 orang peserta PLKN telah terlibat dalam program ini. Saya telah dijemput untuk melakukan perasmian penutup program berkenaan. Program ini amat baik sekali kerana ia memberi pendedahan kepada anak-anak muda pelatih PLKN tentang kerja-kerja kemasyarakatan.



14. Pada 26 Februari juga, saya menghadiri majlis perkahwinan Pn Shukriah Ibrahim (AJK Wanita UMNO Bahagian) dan En Omar B Darus (AJK UMNO Bahagian) di Sungai Yan. Saya rapat dengan Abang Omar sejak menyertai politik sebagai AJK UMNO tahun 1993. Beliau adalah seorang yang rajin bekerja dan dianggap berjasa dalam bidang ekonomi. Beliau tak banyak kerenah dan menghargai setiakawan. Majlis kenduri di sebelah pengantin lelaki diadakan pada 27 Februari di Kampung Gelam 2. Inilah dikatakan 'jodoh pertemuan di tangan tuhan'. Kepada Abang Omar dan Shukriah, saya dan isteri mengucapkan ' Selamat Pengantin Baru dan semoga kekal ke akhir hayat'.

Friday, February 25, 2011

PESTA WAU 1 MALAYSIA 2011

Wednesday, February 9, 2011

Tuesday, February 8, 2011

SAMBUTAN TAHUN BARU CINA

Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini jatuh pada hari khamis, 3 Februari. Ia bererti semua negeri-negeri di seluruh negara bercuti panjang. Bagi kalendar orang cina, tahun ini adalah tahun Arnab, tahun ke-4 dari 12 kalendar 'zodiac' orang cina. Tahun pertama ialah tahun tikus, diikuti dengan tahun lembu dan tahun harimau. Menurut kepercayaan orang cina, tahun arnab adalah tahun yang baik untuk melabur, membeli rumah atau berkahwin. Bagi orang cina, tiap-tiap tahun yang berdasarkan kepada 12 jenis binatang mempunyai signifikannya yang tersendiri.

Pada hari tahun baru cina tahun ini, saya menghadiri tiga majlis sambutan iaitu pertamanya dianjurkan oleh Parti Gerakan Kedah, jam 11.00 pagi di Dewan Syed Omar, Alor Setar, keduanya yang dianjurkan oleh YB Dr Leong, ADUN Gurun pada jam 1.3o tengahari di Gurun dan ketiganya yang dianjurkan oleh MCA Kedah pada jam 8 malam di Pekarangan Pejabat MCA Alor Setar, Jalan Sultan Abdul Hamid.








HIMPUNAN BEKAS PELAJAR SEKOLAH MENENGAH SULTAN ABDUL HALIM (X-JENAN)

Pada 4 Februari, saya berada di Kota Bharu, Kelantan untuk menghadiri satu himpunan bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) anjuran Alumni X-SMSAH Kelantan. Saya bertolak dari Yan pada jam 10.30 pagi dan tiba di Kota Bharu pada jam 4 petang. Acara hari keluarga dan jamuan malam telah diadakan di Sekolah Menengah Ismail Petra, Kota Bharu. Atas kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi ALUMNI SMSAH, saya telah menyampaikan ucapan pada majlis makan malam berkenaan. Selepas selesai majlis makan malam, lebih kurang jam 11 malam, saya bertolak balik dan tiba di Yan pada jam 5 pagi hari berikutnya. Ramai juga di kalangan bekas pelajar SMSAH memegang jawatan penting samada dalam politik kerajaan mahupun swasta. Antara nama-nama yang berjaya dalam bidang poltik ialah YB Dato Seri Shahidan Kassim (bekas MB Perlis), Dato' Sharif Omar (bekas Timbalan Menteri Pertanian), Dato' Paduka Abd Rahman Ibrahim (bekas EXCO Kedah), Dato' Othman Abdul (bekas Ahli Parlimen Pendang dan Pengerusi MARA) dan Dato' Yusof Yaacob (bekas Ahli Parlimen Sipitang dan bekas Timbalan Speaker Parlimen). Manakala dalam sektor kerajaan/pentadbiran, antara mereka yang mengharumkan nama SMSAH ialah Dato' Seri Abu Bakar (Ketua Pengarah JPA), Dato' Paduka Rasli Basir (Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah), Dato' Azizan bin Hamid (Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis), Dato' jabar Che' Nai (Bekas Setiausaha Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar), Dato Murad (Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia), Dato' Mohd Nor (Timbalan Setiausaha Kementerian Dalam Negeri), Dato' Mohd Yusof (Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar), Hj Abdullah 'Cikgu Lah' (Pengarah Pendidikan) dan ramai lagi. Dalam bidang akademik pula, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dato' Dr Mohamed Mustafa Ishak adalah juga bekas pelajar SMSAH kita semua kerana bangga diatas pencapaian bekas pelajar-pelajar SMSAH.





HARI KELUARGA ANJURAN BERSAMA RUKUN TETANGGA KAMPUNG SINGKIR GENTING DAN TAMAN KELADI, FASA 2 SUNGAI PETANI


Saya dijemput untuk melakukan perasmian penutup Hari Keluarga anjuran rukun tetangga di Kampung Singkir Genting pada jam 12 tengahari, 5 Februari. Ramai peserta yang terlibat dalam aktiviti termasuk ibu bapa dan anak-anak mereka dari Kampung Singkir Genting dan Taman Keladi. Aktiviti ini diadakan di kebun durian Kampung Singkir Genting. Dalam ucapan perasmian penutup, saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur, iaitu JKKKP Kampung Singkir Genting dan rukun tetangga Taman Keladi atas kejayaan menganjurkan aktiviti yang bermanfaat ini. Saya juga menyatakan bertuahnya kita sebagai rakyat Malaysia kerana hidup dalam sebuah negara yang aman damai dan makmur.