Pages

Monday, May 31, 2010

Kunjungan Hormat Ke atas Ekuti Nasional Berhad (Ekuinas)

18/5/2010 (Jumaat) - Saya bersama ahli-ahli Majlis Gagasan Badan Ekonomi Melayu di peringkat pusat yang diketuai oleh Y.Bhg Tan Sri Abd Rahim Tamby Chik merangkap Pengerusi GABEM pusat telah membuat lawatan dan mendengar taklimat mengenai Ekuinas di Ibu Pejabat Ekuinas di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. Delegasi GABEM diturut serta oleh beberapa beberapa orang usahawan-usahawan Melayu. Saya mengikuti program ini ada kapasiti sebagai Pengerusi Gabem negeri Kedah. Taklimat mengenai Ekuinas dan peranannya telah disampaikan sendiri oleh Ketua Eksekutifnya, Dato' Abdul Rahman b. Ahmad. Equinas ialah syarikat berkaitan kerajaan yang mengendalikan pengurusan dana ekuiti persendirian dengan matlamat untuk meningkatkan pegangan ekuiti dan penglibatan bumiputera didalam sektor ekonomi berdaya saing tinggi melalui penubuhan syarikat-syarikat peneraju generasi baru di Malaysia.

Ceramah Isu Pendidikan, Ekonomi dan Survival Orang Melayu

17/5/2010(Khamis) - Saya diundang oleh BTN Kedah untuk memberi ceramah kepada pelajar-pelajar Sekolah Agama seluruh negeri Kedah. Ceramah yang diberikan berkisar kepada isu pendidikan, ekonomi dan survival orang Melayu. Saya menekankan tentang kepentingan pendidikan dan ilmu dalam menentukan kejayaan dan survival bangsa Melayu. Tidak ada senjata yang lebih bekesan bagi mengubah nasib diri, keluarga dan bangsa selain dari pendidikan, sejarah telah membuktikan nasib orang Melayu telah berubah berbanding dengan kedudukannya sebelum negara mencapai kemerdekaan dulu melalui dasar kerajaan yang memberi keutamaan kepada pendidikan anak bangsa.

Saturday, May 22, 2010

Melawat Kawasan

13/5/2010 - Pagi ini, saya berkesempatan untuk melawat Pasar Tani, FAMA, Guar Chempedak. Agak sebulan lebih saya tidak melawat pasar tani ini. Dari perbualan tidak formal dengan pengerusi pasar tani dan pengusaha-pengusaha pasar tani berkenaan nampaknya ada peningkatan prestasi berbanding semasa mula-mula ianya di buka. Aktiviti pasar borong berjaya sekali terutamanya di sebelah pagi dan petang. Terdapat pelanggan yang datang dari luar kawasan termasuk dari Pendang, Alor Setar, Sg. Petani dan lain-lain lagi.

Lebih kurang jam satu tengah hari saya menziarahi Cikgu Saad yang sakitnya bertambah serius di rumahnya di Kampung Lubok Boi. Saya juga sempat berada dirumahnya lebih kurang satu jam. Rupa-rupanya perjumpaan saya dengan beliau kali ini adalah terakhir kerana lebih kurang jam 4 petang saya mendapati beliau kembali kerahmatullah. Selepas mesyuarat program sukan rakyat di GiatMara Yan, saya terus menziarahi jenazah cikgu Saad di rumahnya.





Melawat Kawasan Dalam DUN Guar Chempedak

12/5/2010 - Seperti biasa selepas solat Asar, sekerap mungkin cuba saya melawat kampung dalam DUN Guar Chempedak. Kali ini saya melawat Kampung Bt. 18, Guar Chempedak untuk melihat keperluan dan masalah yang dihadapai oleh kampung berkenaan. Saya melawat projek ikan keli yang dikendalikan oleh Tn. Hj Ahmad, Pengerusi JKKKP Bt.18. Beliau mengusahakan lebih kurang 10,000 ekor ikan keli bagi menjana pendapatan. Setakat ini, projek ini berjalan dengan baik dan ikan keli berkenaan dijangka dapat 'dituai' dan dipasarkan dalam masa satu bulan lagi. Saya juga ditunjukkan kawasan beberapa buah rumah yang menghadapi banjir disebabkan oleh ketiadaan kok bagi parit. Selepas itu menziarahi Hj. Din, bekas Pengerusi JKKKP Kg. Bt. 18 yang sakit dan tak dapat berjalan. Saya memberikan sedikit bantuan kewangan, beras dan kain pelikat kepada beliau. Pengerusi JKKKP juga sempat membawa saya melihat jalan yang memerlukan tar di kawasan beliau.





Monday, May 17, 2010

Program Harian

8/5/2010 (Sabtu) - Saya menghadiri kenduri kahwin rumah Jaafar dan Ku Timah di Kampung Jaya. Sebelah petang, selepas menziarahi Cikgu Saad yang sakit di Hospital Yan, saya menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan futsal, anjuran Belia 4B Pantai Murni di Komplek Sukan Kampung Keda, Sg. Udang.





Saya juga berkesempatan untuk melakukan perasmian penutup Program Krafkreatif anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Jerai. Program ini amat baik sekali kerana ia memberi peluang kepada wanita, terutamanya ibu-ibu tunggal untuk terlibat dalam aktiviti meningkatkan pendapatan bagi menampung sara hidup. Saya juga menyarankan agar program krafkreatif dapat dipanjangkan kepada pengunaan bahan-bahan tradisi seperti mengkuang, buluh, daun nipah, pokok kelapa dan sebagainya. Ini dapat membantu industri pelancongan negara. Kalau kita dapat lihat, banyak negara-negara lain seperti Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand dan lain-lain begitu maju dalam bidang kraftangan yang berasaskan bahan-bahan tradisi.



Sunday, May 16, 2010

Melawat Kawasan Dan Perasmian Persidangan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Jerai

7/5/2010 (Jumaat) - Selepas sarapan pagi, nasi lemak di gerai Kak Chik, Kampung Ruat, saya bersama Zainol, ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan, kawasan Yan melawat Kuala Singkir Laut untuk melihat dengan sendiri masalah yang dihadapi oleh nelayan di situ. Saya telahpun membuat permohonan untuk mendapatkan bangsal untuk mereka dan mengikut maklumat yang diperolehi,permohonan ini telah pun diluluskan dan menunggu untuk dilaksanakan.





Perasmian serentak persidangan cawangan-cawangan UMNO bahagian Jerai telah diadakan pada jam 3.30 petang di Dewan Serbaguna Guar Chempedak. Perasmian ini telah dilakukan oleh Ketua UMNO bahagian Jerai.

Program Harian

6/5/2010 (Khamis) - Hari ini saya menemui rakyat yang datang di pejabat Pusat Khidmat untuk meminta pertolongan. Ada yang datang untuk mendapatkan surat sokongan, meminta pertolongan untuk mendapatkan rumah, membaiki rumah dan berbagai lagi.

Saya juga berkesempatan berjumpa pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Singkir Badong, untuk berbincang program kelas tuisyen, ceramah motivasi dan masalah sekolah yang dihadapi oleh pihak sekolah sejak beberapa bulan yang lalu. Dalam ingatan pihak sekolah inilah pertama kali mereka menghadapi masalah bekalan air yang serius. Kalau alasan yang diberikan oleh pihak yang berwajib ialah kerana musim kemarau, takkanlah tahun ini sahaja berlaku kemarau. Apa yang berlaku sebenarnya adalah disebabkan kepincangan pentadbiran yang tidak mampu mengurus bekalan air.

Di sebelah petang, saya menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah KOBERA (Koperasi Bela Rakyat) Dun Guar Chempedak di rumah Pak Harun, JKKKP Titi Teras sebagai Penasihat dan kemudian melawat projek ikan keli yang dikendalikan oleh KOBERA.



Saturday, May 15, 2010

Mesyuarat Antara Pegawai-Pegawai TNB

5/5/2010 (Rabu) - Satu mesyuarat antara saya sebagai ADUN Guar Chempedak dengan pegawai-pegawai Kanan TNB telah diadakan di Pejabat TNB Guar Chempedak mengenai cadangan dialog TNB bersama Komuniti Kawasan DUN Guar Chempedak. Mesyuarat telah memutuskan dialog ini akan diadakan pada 9 Jun 2010 di Chalet Titi Hayun, Yan.

Thursday, May 13, 2010

Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-12

Mesyuarat ketiga penggal kedua Dewan Undangan Negeri Kedah yang Ke-12 telah bersidang pada 26 April 2010.

Di samping pembentangan kertas-kertas dewan seperti penyata kewangan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah bagi tahun berakhir 2007 dan 2008, penyata kewangan Yayasan Islam Negeri dan penyata kewangan Pihak Berkuasa Tempatan, agenda yang penting dan menarik minat banyak pihak ialah pertanyaan-pertanyaan yang dikehendaki jawapan mulut. Pada sidang kali ini soalan-soalan saya (5 semuanya) telah diletakkan jauh ke belakang (soalan saya yang pertama diletakkan nombor 22). Entah kenapa saya tak tau. Selalunya, soalan saya diletakkan 'top 8'. Berdasarkan kepada pengalaman-pengalaman yang lepas, hanya soalan 'top 8' sahaja yang mendapat ruang untuk dijawab oleh pihak kerajaan negeri. Tapi kali ini, ia mampu setakat soalan no.4 sahaja disebabkan isu yang timbul dari soalan no. 3 iaitu soalan dari ADUN Kubang Rotan yang bertanyakan tentang bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri Kedah.

Soalan no.3 oleh ADUN Kubang Rotan telah mencetuskan perbahasan yang hangat dalam sidang dewan. ADUN-ADUN BN yang diketuai oleh YB. Dato' Seri Mahadzir Khalid mempersoalkan rasional soalan ini dan niat jahat pihak yang telah bertanya soalan kerana tidak pernah dalam sejarah sidang DUN Kedah, ADUN bertanya tentang bidang kuasa Tuanku Sultan, sidang menjadi kecoh buat seketika. Pihak kerajaan negeri termasuk YAB Menteri Besar telah mempertahankan soalan ini. Bagi mereka, apa yang dikehendaki ialah penjelasan mengenai bidang kuasa Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri Kedah. Sepertibiasa mereka cuba menegakkan benang basah. Sesiapa juga yang membaca dan menganalisis soalan berkenaan akan tahu niat di sebalik soalan ini.

Ketegangan dan kekecohan sidang telah menjadi reda sedikit setelah ADUN Sg. Tiang, YB. Suraya mencadang supaya soalan (a) dan (b) digugurkan dan dipersetujui Speaker. Persoalannya ialah jikalau pihak kerajaan negeri atau MB sendiri yakin dan percaya bahawa soalan berkenaan tidak ada niat 'jahat' sehingga sanggup mempertahankannya di peringkat awal, kenapa pula mereka menerima keputusan speaker. Dalam sidang media selepas sidang, MB menyatakan bahawa beliau terlepas pandang dan tidak terlibat dalam soalan-soalan sidang dewan. Pertama, jawapannya tidak konsisten dengan pendirian beliau diperingkat awal dan kedua, bagaimana beliau boleh mengatakan tidak terlibat dengan soalan-soalan dewan sedangkan penerimaan dan senarai keutamaanya diputuskan oleh Mesyuarat Exco yang diputuskan oleh beliau sendiri. Tetapi inilah caranya pemimpin PAS memutarbelitkan fakta.

Tuesday, May 4, 2010

Program Harian

25/4/2010 (Ahad) - Awal-awal pagi lagi saya telah melawat 5 buah kedai yang terbakar di Kampung Permatang Chengai. Lima orang peniaga telah terjejas dalam kebakaran ini.







Jam 10 pagi, saya telah dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia bagi Negeri Kedah di Chalet, Titi Hayun, Yan. Majlis perasmian ini telah dihadiri oleh semua perwakilan dari seluruh negeri Kedah dan juga Presiden Persatuan peringkat pusat, Dato' Paduka Raja, Dato' Haji Wan Mahmood Bin Pawan Teh.



Sunday, May 2, 2010

Perasmian Penutup Pertandingan Futsal Wanita Piala Adun Guar Chempedak

24/4/2010 - Di sebelah petang, saya merasmi penutup dan seterusnya menonton Pertandingan Futsal Wanita Piala ADUN Guar Chempedak di Kompleks Sukan Kampung KEDA, Sg. Udang. Pertandingan Futsal Wanita yang pertama kali dianjurkan dan berlansung selama dua hari ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan 12 pasukan menyertainya.