Saturday, October 30, 2010

Sepertimana tahun lalu, pada tahun ini juga, saya tidak ketinggalan untuk menghadiri perayaan Tokong Sayur di Guar Chempedak. Perayaan ini telah diadakan pada sebelah malam 14 Oktober 2010. Ramai masyarakat cina hadir di majlis perayaan ini.



Pada 15 Oktober 2010 (Jumaat), saya menziarahi jenazah En. Shafiee di Seberang Pekan Yan, kemudian bersolat jumaat di Masjid Jamek Yan. Selepas itu, menghadiri majlis membaca Yassin dan kenduri di rumah Pn. Normah Bt Awang, Naib Ketua Wanita UMNO bahagian Jerai di Sg Daun. Beliau dan suami akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

Hari Sabtu, 16 Oktober, saya menghadiri banyak majlis kenduri. Kebanyakanya adalah kenduri dan bacaan Surah Yassin untuk menunaikan fardhu haji ke Mekah. Di antaranya ialah Cikgu Kassim, Kg. Raga; rumah Tok Awang, Kg. Keda Sg. Udang; rumah Musa, Perumahan Awam 1, Yan dan rumah Pak Ibrahim(Kuboq). Saya juga sempat ke Dewan Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Alor Setar untuk makan kenduri perkahwinan anakanda perempuan YB. Dato' Paduka Ahmad Bashah.

Pada sebelah malamnya pula, saya ,menghadiri Majlis Penyampaian Peralatan Sukan kepada belia-belia DUN Guar Chempedak anjuran Pegerakan Pemuda UMNO bahagian Jerai. Selepas saya ke Bedong untuk menziarahi jenazah Cikgu Ismail (Ketua UMNO Cawangan Bedong Utara) yang meninggal dunia pada hari tersebut.




Dari 18 Oktober 2010 hingga 23 Oktober, saya berada di Kuala Lumpur sebagai Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di Perhimpunan Agung UMNO 2010. Pada 18 Oktober, saya menghadiri forum antarabangsa 'Global Citizen, Media Liberalisation & Political Realities' anjuran UMNO Malaysia di PWTC. Forum ini dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, manakala penutupnya pula oleh YAB Perdana Menteri. Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir telah menyampaikan ucaputama di forum berkenaan. Peserta-peserta forum adalah terdiri dari Malaysia dan luar negara.



Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah perhimpunan kedua bagi YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO selepas terpilih sebagai pemimpin utama parti pada April 2009. Sebagai Presiden parti, beliau telah memberikan tiga ucapan penting; pertamanya amanat Presiden (Pre Council) pada 19 Oktober iaitu sebelum perhimpunan , kedua ucapan dasar presiden dan ketiga ucapan penggulungan pada hari terakhir persidangan pada 23 Oktober. Dalam ketiga-tiga ucapan berkenaan beliau banyak menekankan tentang persediaan UMNO dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13. Beliau juga telah mengutarakan empat fakta yang perlu bagi menentukan kemenangan.

Pertamanya peranan kempimpinan tertinggi di peringkat pusat termasuk Majlis Tertinggi, keduanya kepimpinan di peringkat negeri, ketiga parti yang di wakili (UMNO) disukai rakyat dan keempat faktor calon yang mampu menang (winable candidate). Ketiga-tiga ucapan oleh YAB Presiden cukup bersemangat dan memberi nafas baru kepada kekuatan UMNO terutamanya dalam saat-saat getir sekarang ini bagi menghadapi Pilihanraya Ke-13 yang tak lama lagi akan tiba. Saya secara peribadi dapat merasakan suntikan semangat dari ucapan ini. Begitu juga dengan majoriti perwakilan dan pemerhati yang hadir. Yang lebih penting lagi ialah bagaimana kita dapat menterjemahkan ucapan yang cukup bersemangat ini kepada langkah tindakan susulan di semua peringkat dalam mengubah sikap ahli-ahli, perpaduan di kalangan ahli (terutamanya di peringkat atas dan pertengahan), mengubah persepsi rakyat terhadap kepimpinan parti UMNO bagi menjamin kemenangan dalam pilihanraya ke-13 yang akan datang. Jika semua ini berjaya dilaksanakan, saya yakin kemenangan akan berpihak kepada kita. Bak kata YAB Dato' Seri Presiden dalam di pengakhir ucapan beliau.

" Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi,
" Jangankan ribut, taufan pun pasti kita harungi,
" Jangankan air bah, gelombang badai pun harus kita renangi,
" Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi.






Pada 25 Oktober, saya melawat bangunan MDY Guar Chempedak untuk melihat keadaan bilik air dan surau yang begitu teruk tidak dijaga. Bilik air dan surau berkenaan tidak dapat digunakan oleh penyewa-penyewa kerana tanpa air dan penuh dengan tahi burung. Kita berharap agar pihak MDY akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memperbetulkan keadaan supaya penyewa-penyewa kedai di situ dapat menggunakan kemudahan berkenaan.

Pada sebelah petang, saya melawat Kampung Pantai Murni untuk melihat keadaan parit saliran air yang temboknya terhakis begitu serius sekali. Pada malamnya saya bersolat Isyak berjemaah di surau Pantai Murni. Saya ke situ untuk solat jemaah di samping untuk melihat kanak-kanak belajar membaca Quran.

Pada 30 Oktober, saya menghadiri Karnival Kesenian Islam anjuran KEMAS Negri Kedah di Sekolah Menengah Agama Yan. Saya sempat untuk memberi ucapan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.

Saturday, October 16, 2010

Seperti biasa pada bulan syawal, saya menganjurkan Sambutan Aidilfitri. Tahun ini merupakan kali ke-3 saya menganjurkan majlis berkenaan. Sejak terpilih menjadi wakil rakyat, aktiviti sebegini memberi impak yang besar dalam usaha mendampingi rakyat. 'Sambutan Aidilfitri 2010' telah diadakan pada 3 Oktober yang lalu di Pekarangan Pejabat ADUN, Jalan Pegawai, Pekan Yan. Ia amat meriah sekali dan dihadiri lebih kurang 7000 orang tetamu. Antara tetamu yang hadir ialah YB. Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri, Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan, masyarakat yang berbilang kaum serta murid-murid sekolah dari kawasan DUN Guar Chempedak.





Persiapan makanan bagi tahun ini, sepertimana juga tahun-tahun yang lepas telah dibuat secara bergotong-royong. Saya lebih suka cara ini kerana ia memberi kesan yang positif dalam pelbagai aspek. Penduduk dari kawasan DUN Guar Chempedak, terutamanya dari persekitaran Pekan Yan (Kg Raga, Kg Permatang Chengai, Kg Pauh, Pekan Yan, Seberang Pekan Yan, Lubok Boi, Kg Keda Sg Udang, Sg Udang, Kg Setoi, Kg Acheh, Kg Perigi, Kg Permatang Keramat, Kg Ruat, Pantai Murni) turut beramai-ramai ke Masjid Jamek Yan pada sebelah petang sehari sebelumnya (2 Oktober) untuk bersiang daging, besiang bawang dan memasak hingga ke larut malam. Kita dapat merasai kemeriahan, keriangan di wajah mereka yang terlibat. Kesan positif yang paling ketara ialah pemupukan semangat kerjasama sebagai satu pasukan di kalangan masyarakat. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana semangat gotong-royong ini masih kukuh di kalangan penduduk di kawasan Yan.





Pada sebelah pagi, 3 Oktober , saya juga berkesempatan untuk menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) Jenan, Jitra Kedah. Saya menghadirinya atas kapasiti saya sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan ALUMNI SMSAH. KDYMM Tunku Sultan Kedah berangkat bagi menyampaikan anugerah berkenaan.





Pada 4 Oktober, saya telah menghadiri rumah terbuka Aidilfitri, anjuran BN negeri Kedah di Perkarangan Bangunan UMNO Kedah, Alor Setar. YB. Dato Seri Shafie Afdal, Menteri Kerajaan Wilayah dan Luar Bandar, merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Negeri telah hadir serta memberi ucapan kepada tetamu.



Mesyuarat ke-2 Majlis Perundingan Koperasi negeri Kedah telah diadakan pada 6 Oktober 2010 di Hotel Darulaman, Jitra. Saya menghadirinya atas kapasiti sebagai Pengerusi Negeri Kedah. Saya gembira kerana mesyuarat kali ini sepertimana juga mesyuarat kali pertama dulu dihadiri oleh semua ahli-ahli majlis dan mewakili organisasi masing-masing. Kita memilih Hotel Darulaman di Jitra sebagai tempat mesyuarat kali ini kerana hotel ini dimiliki koperasi guru-guru negeri Kedah. Selepas mesyuarat selesai dan diikuti dengan jamuan aidilfitri, saya dan Pengarah SKM negeri Kedah, serta beberapa orang ahli majlis yang lain telah melawat Koperasi Kaum Ibu Kubang Pasu bagi mendengar taklimat dan melihat sendiri operasi perniagaan koperasi berkenaan. Koperasi ini adalah salah sebuah koperasi yang berjaya di negeri Kedah.





Pada 7 Oktober, saya telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pejabat Daerah Yan.



Saya sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada mana-mana sekolah dalam kawasan DUN Guar Chempedak dalam apa-apa juga aktiviti yang mampu memberikan impak positif terhadap kemajuan pendidikan anak-anak. Pada 9 Oktober lalu, saya telah bersama-sama penduduk kampung dan warga Seklolah Kebangsaan Kampung Setar dalam aktiviti gotong-royong. Pada 10 Oktober pula, saya sekali lagi berkunjung ke sekolah berkenaan untuk merasmikan 'Minggu Sains' yang dianjurkan bersama antara pihak sekolah, PPD dan Institut Perguruan Sultan Abdul Halim. Sekolah ini telah dipilih oleh pihak Kementerian Pendidikan bagi menjadi anak angkat Institut Perguruan Sultan Abdul Halim. Saya komited untuk memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan bagi menjayakan usaha murni ini. Buat permulaan, saya menyumbangkan RM 2000.00 kepada pihak PIBG sekolah pada hari berkenaan.





Pada 14 Oktober, saya dijemput menghadiri mesyuarat pembahas-pembahas usul ekonomi bagi Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini. Saya telah dipilih oleh Perhubungan UMNO Negeri Kedah sebagai jurucakap bagi mewakili negeri Kedah dalam usul ekonomi pada tahun ini. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YB Dato' Dr Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Biro Ekonomi Majlis Tertinggi UMNO.

Wednesday, October 6, 2010

Pada 30 September lalu, saya telah menghadiri Majlis Penyampaian Pengakap DiRaja di Istana Anak Bukit. Saya diundang untuk menghadirinya atas kapasiti sebagai Pengerusi Pengakap Daerah Yan. Anggota Pengakap yang mewaikili daerah seluruh negeri Kedah dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri telah menghadiri majlis ini. YAB Dato' Seri Menteri Besar sebagai Pengerusi Pengakap Kedah juga hadir. KDYMM Tuanku Sultan Kedah telah berkenan berangkat untuk menyampaikan anugerah berkenaan.



Sebagai pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Kedah, saya telah menghadiri majlis rumah terbuka aidilfitri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Alor Setar.



Pada 1 Oktober 2010, 9.30 malam, saya dijemput untuk memberi ucapan kepada 80 orang pelajar dari Politeknik Syed Sirajuddin dari Arau, Perlis di dewan orang ramai Kg. Titi Teras. Pelajar-pelajar ini berada di Titi Teras dalam program anak angkat selama 3 hari. Dalam ucapan, saya menyentuh tentang betapa mereka bernasib baik dan bersyukur menjadi warganegara Malaysia kerana hidup dalam suasana aman damai, tenteram dan makmur. Dengan keamanan dan ketenteraman ini, ekonomi negara dapat di majukan dan melaui ekonomi yamg baik, negara dapat dibangunkan dan prasarana dapat dibina di seluruh pelusuk tanah air. Salah satu strategi penting yang dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 ialah pendidikan. Pendidikan adalah senjata yang paling berkesan untuk mengubah nasib anak bangsa. Kita bertuah kerana pemimpin-pemimpin kita terdahulu dan juga sekarang memberi keutamaan terhadap pendidikan. Universiti, politeknik dan sebagainya telah dibina bagi memberi peluang kepada rakyat untuk melanjutkan pelajaran. Hari ini peluang untuk mendapatkan 'further education' memang terbuka luas. Terserahlah kepada rakyat untuk merebutnya. Saya juga menyentuh tentang peranan pelajar-pelajar IPTA/IPTS dalam memajukan masyarakat, khususnya masyarakat luar bandar. Jadinya, program anak angkat yang dibuat di Titi Teras adalah amat baik sekali dalam mendekatkan siswa/siswi kepada masyarakat.





Pada waktu pagi, 2 oktober saya telah mengambil kesempatan untuk menyaksikan penyembelihan tiga ekor kerbau dibelakang Pasar Pekan Yan untuk Majlis Sambutan Aidilfitri 2010 anjuran ADUN Guar Chempedak pada 3 Oktober. 'Besiang daging' telah dilakukan selepas zohor manakala memasak pula dibuat pada malam hari.



Saya juga mengambil kesempatan untuk menghadiri rumah terbuka Aidilfitri oleh YB Senator Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Serbaguna Guar Chempedak pada 2 Oktober lalu.