Pages

Saturday, October 16, 2010

Seperti biasa pada bulan syawal, saya menganjurkan Sambutan Aidilfitri. Tahun ini merupakan kali ke-3 saya menganjurkan majlis berkenaan. Sejak terpilih menjadi wakil rakyat, aktiviti sebegini memberi impak yang besar dalam usaha mendampingi rakyat. 'Sambutan Aidilfitri 2010' telah diadakan pada 3 Oktober yang lalu di Pekarangan Pejabat ADUN, Jalan Pegawai, Pekan Yan. Ia amat meriah sekali dan dihadiri lebih kurang 7000 orang tetamu. Antara tetamu yang hadir ialah YB. Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri, Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan, masyarakat yang berbilang kaum serta murid-murid sekolah dari kawasan DUN Guar Chempedak.





Persiapan makanan bagi tahun ini, sepertimana juga tahun-tahun yang lepas telah dibuat secara bergotong-royong. Saya lebih suka cara ini kerana ia memberi kesan yang positif dalam pelbagai aspek. Penduduk dari kawasan DUN Guar Chempedak, terutamanya dari persekitaran Pekan Yan (Kg Raga, Kg Permatang Chengai, Kg Pauh, Pekan Yan, Seberang Pekan Yan, Lubok Boi, Kg Keda Sg Udang, Sg Udang, Kg Setoi, Kg Acheh, Kg Perigi, Kg Permatang Keramat, Kg Ruat, Pantai Murni) turut beramai-ramai ke Masjid Jamek Yan pada sebelah petang sehari sebelumnya (2 Oktober) untuk bersiang daging, besiang bawang dan memasak hingga ke larut malam. Kita dapat merasai kemeriahan, keriangan di wajah mereka yang terlibat. Kesan positif yang paling ketara ialah pemupukan semangat kerjasama sebagai satu pasukan di kalangan masyarakat. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana semangat gotong-royong ini masih kukuh di kalangan penduduk di kawasan Yan.





Pada sebelah pagi, 3 Oktober , saya juga berkesempatan untuk menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) Jenan, Jitra Kedah. Saya menghadirinya atas kapasiti saya sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan ALUMNI SMSAH. KDYMM Tunku Sultan Kedah berangkat bagi menyampaikan anugerah berkenaan.





Pada 4 Oktober, saya telah menghadiri rumah terbuka Aidilfitri, anjuran BN negeri Kedah di Perkarangan Bangunan UMNO Kedah, Alor Setar. YB. Dato Seri Shafie Afdal, Menteri Kerajaan Wilayah dan Luar Bandar, merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Negeri telah hadir serta memberi ucapan kepada tetamu.



Mesyuarat ke-2 Majlis Perundingan Koperasi negeri Kedah telah diadakan pada 6 Oktober 2010 di Hotel Darulaman, Jitra. Saya menghadirinya atas kapasiti sebagai Pengerusi Negeri Kedah. Saya gembira kerana mesyuarat kali ini sepertimana juga mesyuarat kali pertama dulu dihadiri oleh semua ahli-ahli majlis dan mewakili organisasi masing-masing. Kita memilih Hotel Darulaman di Jitra sebagai tempat mesyuarat kali ini kerana hotel ini dimiliki koperasi guru-guru negeri Kedah. Selepas mesyuarat selesai dan diikuti dengan jamuan aidilfitri, saya dan Pengarah SKM negeri Kedah, serta beberapa orang ahli majlis yang lain telah melawat Koperasi Kaum Ibu Kubang Pasu bagi mendengar taklimat dan melihat sendiri operasi perniagaan koperasi berkenaan. Koperasi ini adalah salah sebuah koperasi yang berjaya di negeri Kedah.





Pada 7 Oktober, saya telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pejabat Daerah Yan.



Saya sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada mana-mana sekolah dalam kawasan DUN Guar Chempedak dalam apa-apa juga aktiviti yang mampu memberikan impak positif terhadap kemajuan pendidikan anak-anak. Pada 9 Oktober lalu, saya telah bersama-sama penduduk kampung dan warga Seklolah Kebangsaan Kampung Setar dalam aktiviti gotong-royong. Pada 10 Oktober pula, saya sekali lagi berkunjung ke sekolah berkenaan untuk merasmikan 'Minggu Sains' yang dianjurkan bersama antara pihak sekolah, PPD dan Institut Perguruan Sultan Abdul Halim. Sekolah ini telah dipilih oleh pihak Kementerian Pendidikan bagi menjadi anak angkat Institut Perguruan Sultan Abdul Halim. Saya komited untuk memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan bagi menjayakan usaha murni ini. Buat permulaan, saya menyumbangkan RM 2000.00 kepada pihak PIBG sekolah pada hari berkenaan.





Pada 14 Oktober, saya dijemput menghadiri mesyuarat pembahas-pembahas usul ekonomi bagi Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini. Saya telah dipilih oleh Perhubungan UMNO Negeri Kedah sebagai jurucakap bagi mewakili negeri Kedah dalam usul ekonomi pada tahun ini. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YB Dato' Dr Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Biro Ekonomi Majlis Tertinggi UMNO.

No comments: