Sepertimana tahun lalu, pada tahun ini juga, saya tidak ketinggalan untuk menghadiri perayaan Tokong Sayur di Guar Chempedak. Perayaan ini telah diadakan pada sebelah malam 14 Oktober 2010. Ramai masyarakat cina hadir di majlis perayaan ini.
Pada 15 Oktober 2010 (Jumaat), saya menziarahi jenazah En. Shafiee di Seberang Pekan Yan, kemudian bersolat jumaat di Masjid Jamek Yan. Selepas itu, menghadiri majlis membaca Yassin dan kenduri di rumah Pn. Normah Bt Awang, Naib Ketua Wanita UMNO bahagian Jerai di Sg Daun. Beliau dan suami akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji pada tahun ini.
Hari Sabtu, 16 Oktober, saya menghadiri banyak majlis kenduri. Kebanyakanya adalah kenduri dan bacaan Surah Yassin untuk menunaikan fardhu haji ke Mekah. Di antaranya ialah Cikgu Kassim, Kg. Raga; rumah Tok Awang, Kg. Keda Sg. Udang; rumah Musa, Perumahan Awam 1, Yan dan rumah Pak Ibrahim(Kuboq). Saya juga sempat ke Dewan Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Alor Setar untuk makan kenduri perkahwinan anakanda perempuan YB. Dato' Paduka Ahmad Bashah.
Pada sebelah malamnya pula, saya ,menghadiri Majlis Penyampaian Peralatan Sukan kepada belia-belia DUN Guar Chempedak anjuran Pegerakan Pemuda UMNO bahagian Jerai. Selepas saya ke Bedong untuk menziarahi jenazah Cikgu Ismail (Ketua UMNO Cawangan Bedong Utara) yang meninggal dunia pada hari tersebut.
Dari 18 Oktober 2010 hingga 23 Oktober, saya berada di Kuala Lumpur sebagai Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di Perhimpunan Agung UMNO 2010. Pada 18 Oktober, saya menghadiri forum antarabangsa 'Global Citizen, Media Liberalisation & Political Realities' anjuran UMNO Malaysia di PWTC. Forum ini dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, manakala penutupnya pula oleh YAB Perdana Menteri. Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir telah menyampaikan ucaputama di forum berkenaan. Peserta-peserta forum adalah terdiri dari Malaysia dan luar negara.
Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah perhimpunan kedua bagi YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO selepas terpilih sebagai pemimpin utama parti pada April 2009. Sebagai Presiden parti, beliau telah memberikan tiga ucapan penting; pertamanya amanat Presiden (Pre Council) pada 19 Oktober iaitu sebelum perhimpunan , kedua ucapan dasar presiden dan ketiga ucapan penggulungan pada hari terakhir persidangan pada 23 Oktober. Dalam ketiga-tiga ucapan berkenaan beliau banyak menekankan tentang persediaan UMNO dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13. Beliau juga telah mengutarakan empat fakta yang perlu bagi menentukan kemenangan.
Pertamanya peranan kempimpinan tertinggi di peringkat pusat termasuk Majlis Tertinggi, keduanya kepimpinan di peringkat negeri, ketiga parti yang di wakili (UMNO) disukai rakyat dan keempat faktor calon yang mampu menang (winable candidate). Ketiga-tiga ucapan oleh YAB Presiden cukup bersemangat dan memberi nafas baru kepada kekuatan UMNO terutamanya dalam saat-saat getir sekarang ini bagi menghadapi Pilihanraya Ke-13 yang tak lama lagi akan tiba. Saya secara peribadi dapat merasakan suntikan semangat dari ucapan ini. Begitu juga dengan majoriti perwakilan dan pemerhati yang hadir. Yang lebih penting lagi ialah bagaimana kita dapat menterjemahkan ucapan yang cukup bersemangat ini kepada langkah tindakan susulan di semua peringkat dalam mengubah sikap ahli-ahli, perpaduan di kalangan ahli (terutamanya di peringkat atas dan pertengahan), mengubah persepsi rakyat terhadap kepimpinan parti UMNO bagi menjamin kemenangan dalam pilihanraya ke-13 yang akan datang. Jika semua ini berjaya dilaksanakan, saya yakin kemenangan akan berpihak kepada kita. Bak kata YAB Dato' Seri Presiden dalam di pengakhir ucapan beliau.
" Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi,
" Jangankan ribut, taufan pun pasti kita harungi,
" Jangankan air bah, gelombang badai pun harus kita renangi,
" Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi.
Pada 25 Oktober, saya melawat bangunan MDY Guar Chempedak untuk melihat keadaan bilik air dan surau yang begitu teruk tidak dijaga. Bilik air dan surau berkenaan tidak dapat digunakan oleh penyewa-penyewa kerana tanpa air dan penuh dengan tahi burung. Kita berharap agar pihak MDY akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memperbetulkan keadaan supaya penyewa-penyewa kedai di situ dapat menggunakan kemudahan berkenaan.
Pada sebelah petang, saya melawat Kampung Pantai Murni untuk melihat keadaan parit saliran air yang temboknya terhakis begitu serius sekali. Pada malamnya saya bersolat Isyak berjemaah di surau Pantai Murni. Saya ke situ untuk solat jemaah di samping untuk melihat kanak-kanak belajar membaca Quran.
Pada 30 Oktober, saya menghadiri Karnival Kesenian Islam anjuran KEMAS Negri Kedah di Sekolah Menengah Agama Yan. Saya sempat untuk memberi ucapan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.
No comments:
Post a Comment