Pages

Thursday, August 19, 2010

Pada hari Jumaat, 13 Ogos, saya bersolat jumaat di Masjid Guar Chempedak, berbuka puasa di Masjid Titi Teras dan solat isha' dan terawih di Masjid Kampung Ruat. Pada 14 Ogos pula, saya berkesempatan berbuka puasa dan solat maghrib di Masjid Guar Chempedak dan solat isha' dan terawih di Surau Kampung Kepala Bukit.



Sejajar dengan visi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020, Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memperkenalkan dan melancarkan Model Baru Ekonomi bermatlamatkan ekonomi berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Pendapatan perkapita rakyat Malaysia akan meningkat dari RM 22,000 (US$ 7,000) kepada RM 49,500 (US$ 15,000) menjelang 2020. Bagi mencapai matlamat ini Pendapatan Kasar Negara (Gross National Income) harus mencapai RM 1.7 trillion (US$ 524 billion) daripada RM 600 billion (US$ 188 billion) melalaui program transformasi ekonomi. Bagi memenuhi 'tanda aras' negara berpendapatan tinggi berdasarkan kepada definasi Bank Dunia, ekonomi Malaysia perlu tumbuh pada kadar 5-6% setahun antara tahun 2011 hingga tahun 2020. Negara memerlukan dana sebanyak RM 2.2 trillion (US$ 600 billion) bagi tempoh berkenaan.

Bagi melakukan transformasi ekonomi sehebat ini, ia memerlukan masyarakat yang berilmu. Salah satu bidang yang diberikan tumpuan oleh kerajaan bagi mencapai masyarakat berilmu ialah bidang ICT (Teknologi Informasi dan Komunikasi). ICT boleh dimajukan dengan pesat melalui perlaksanaan Jalur Lebar (broadband). Negara meletakkan tahap penembusan jalur lebar isi rumah sebanyak 50% pada akhir tahun 2010. (Sesetengah negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan lain-lain lagi, kadar penembusan nasional melebihi 70%).

Sekarang ini, kadar penembusan nasional jalur lebar negara ini hanyalah 37.3% sahaja. Kadar penembusan ini berbeza mengikut negeri. Kadar penembusan bagi negeri Kedah ialah 21.5% dan sasaran bagi akhir 2010 ialah 32.6%. Negeri yang tertinggi penembusan jalur lebar ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (105%) di ikuti dengan Selangor (55.6%) manakala yang terendah ialah Kelantan (15.9%). Penembusan jalur lebar mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sesebuah negara. Amerika Syarikat umpamanya 50% penembusan jalur lebar menyumbang 4% KDNK. Bagi Malaysia adalah dijangkakan penembusan 50% pada akhir tahun 2010 mampu menyumbang sebanyak 1% kepada KDNK serta mewujudkan 135,000 peluang pekerjaan hasil penambahan pelaburan.

Bagi mencapai matlamat penembusan 50% isi rumah, Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) sepertimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 Mac 2010 yang lalu telah menyediakan inisiatif-inisiatif penggalakan jalur lebar. Antaranya ialah memperuntukkan dana USP sebanyak 7.0 billion untuk 1 juta komputer riba (Notebook) kepada pelajar yang kurang mampu.

Pada 14 Ogos yang lalu, program pemberian sebanyak 1000 notebook telah diadakan di Dewan Serbaguna, Guar Chempedak. Saya telah dijemput untuk memberi ucapan dan menyampaikan notebook kepada 5 orang pelajar di majlis berkenaan. Program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh SKMM yang diketuai oleh En. Mohd Husin, Pengarah Kawasan Utara. Pelajar-pelajar yang telah dikenalpasti dan dipilih oleh pihak sekolah menengah yang terlibat. Sekolah-sekolah menengah berkenaan ialah Sekolah Menengah Guar Chempedak, Sekolah Menengah Yan, Sekolah Menengah Dulang dan Sekolah Menengah Agama Yan. Sekolah-sekolah ini dipilih berdasarkan kepada jaraknya yang berdekatan dengan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di Yan Kechil dan Guar Chempedak.

Oleh kerana pemberian hanya melibatkan 1000 unit, manakala jumlah keseluruhan pelajar-pelajar sekolah-sekolah menengah yang terlibat melebihi 10,000 orang, tentulah terdapat ramai pelajar yang tidak memperolehinya. Antara syarat-syarat kelayakan pemberian ialah pelajar antara tingkatan 1 hingga 5 dan pendapatan keluarga RM 3,000/bulan kebawah. Saya amat bersimpati dengan pelajar-pelajar yang tidak memperolehi notebook ini. Namun mereka masih berpeluang untuk memperolehinya di masa depan kerana fasa kedua pemberiannya akan dilaksanakan dalam masa terdekat. SKMM sendiri mengakui terdapat banyak kelemahan tertentu dalam pemberian notebook fasa pertama ini dan berjanji untuk memperbaikinya di masa hadapan. Ada yang menyatakan terdapat pelajar yang tidak layak tetapi memperolehinya dan berbagai lagi. Tetapi hakikatnya ialah sungguhpun SKMM mempunyai pelbagai kekangan (seperti dateline), sekurang-kurangnya inisiatif ini telah dimulakan dan majoriti yang memperolehinya ialah pelajar-pelajar yang layak. Sebagai manusia, tidak mungkin kita dapat melaksanakan dengan sempurna dan memuaskan hati semua orang buat kali pertama. Kita tidak mungkin dapat melakukan apa-apa jika kita sentiasa mengharapkan 'kesempurnaan'(perfection). Yang penting kita mesti belajar dari kesilapan dan kelemahan serta bersedia untuk memperbaikinya.







No comments: