Pages

Monday, August 30, 2010

Rasanya kita baru sahaja berpuasa, tapi pejam celik, pejam celik (kata orang Kedah) kita sudahpun masuk hari ke-21 berpuasa. Begitu pantas masa berlalu. Saya masih ingat semasa kecil dahulu, bulan puasa rasanya begitu lama berlalu. Sebenarnya kepantasan masa berjalan tidak berubah dari dulu hingga sekarang. Yang berubah ialah persekitaran dan kesibukan kita serta teknologi informasi dan komunikasi yang membuatkan kita merasa masa berjalan pantas.

Sebagai wakil rakyat, bulan ramadhan dipenuhi dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang terawih. Kalau tidak menerima jemputan untuk berbuka puasa di luar, saya selalunya berbuka dan bersolat terawih di masjid atau surau dalam kawasan DUN Guar Chempedak. Setakat ini, sudah lima kali saya menerima undangan berbuka puasa di luar kawasan. Pada 15 Ogos, saya berbuka puasa, solat maghrib serta isha' dan tarawih di Seri Perdana, Kediaman Rasmi YAB Perdana Menteri. Pada 17 Ogos pula, saya serta keluarga serta rakan-rakan pula berbuka puasa bersama YB. Dato' Seri Hj. Ahmad Husni B. Mohamad Hanadzlah, Menteri Kewangan II dan keluarga. Saya juga menghadiri majlis berbuka puasa serta solat tarawih di Kediaman Rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri pada 21 Ogos yang lalu. Pada 24 Ogos, saya menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang (LPP) dan seterusnya berbuka puasa bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah yang lain serta warga LPP di Ibu Pejabat LPP di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. Yang terakhir ialah berbuka puasa bersama JK Alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim selepas mesyuarat AJK Alumni yang pertama di Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya juga menghadiri Mesyuarat JK BNBBC ADUN (Kelab ADUN Penyokong Kerajaan) di Hotel Seri Pacific. Saya akui memang penat berulang alik dari Yan ke Kuala Lumpur, terutamanya pada bulan ramadhan, namun ia perlu dilakukan.



Di kawasan yang saya wakili, setakat ini saya telah berbuka puasa di lapan buah masjid dan di sebuah surau serta berterawih di tujuh buah masjid dan di tiga buah surau. IsyaAllah dalam beberapa hari lagi ini, saya akan gunakan sebaiknya untuk berbuka puasa dan bersolat terawih di masjid-masjid yang belum sempat saya ziarahi dan juga beberapa surau. Berbuka puasa atau berterawih di masjid atau surau adalah peluang terbaik bagi kita bertemu dan bermesra dengan penduduk khususnya umat islam.

Pada 26 Ogos lalu, selepas tarawih saya menghadiri malam terakhir perayaan 'Ghost Month' (Bulan Hantu) bersama rakan-rakan kaum cina di Taman Mewah, Guar Chempedak.

No comments: