Pages

Thursday, September 9, 2010

Hari ini 9 September 2010 bersamaan 30 Ramadhan, adalah hari terakhir umat islam di Malaysia menunaikan tanggungjawab melaksanakan ibadah berpuasa. Esok 1 Syawal, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Satu bulan kita berpuasa rasanya berlalu begitu pantas. Sebagai orang islam yang menjadi rakyat Malaysia, kita harus berbanyak-banyak bersyukur kerana bulan Ramadhan dilalui dalam suasana aman damai dan tenteram. Tidak ada peristiwa yang buruk berlaku seperti bencana alam berlaku disini(seperti di Parkistan dan Indonesia), tidak ada kacau bilau atau kekacauan yang boleh menggugat keamanan dan menganggu urusan kita beribadat dalam bulan ramadhan ini berlaku (seperti di Selatan Thailand). Rezeki melimpah ruah. Di kebanyakan masjid di sediakan makanan untuk berbuka puasa. Sesungguhnya kita umat islam amat bertuah kerana dilahirkan dan hidup dalam sebuah negara yang sentiasa di rahmati Allah S.W.T(blessed nation).

Saya secara peribadi, saya amat bersyukur kerana dapat melaksanakan ibadah puasa pada tahun ini dengan baik, sihat tubuh badan (kecuali sedikit selsema beberapa hari) tanpa perlu meninggalkan puasa. Saya dapat berbuka puasa sebelas kali di masjid dan surau dalam kawasan DUN Guar Chempedak. Saya juga dapat bersolat Isha' dan terawih sebanyak lima belas kali di masjid dan surau bagi kawasan yang saya wakili. Ini termasuk semua masjid (11 buah semuanya) dalam DUN Guar Chempedak. Empat pasar ramadhan di kawasan juga saya kunjungi sebentar untuk bertemu orang ramai dan membeli kuih muih. Saya akui bulan ramadhan memang bulan yang sibuk bagi saya, penuh dengan aktiviti harian (siang dan malam). Ini memberikan alasan yang baik bagi saya kerana tidak mengemaskini blog saya sekerap dulu. Kali terakhir saya mengemaskininya ialah 30 Ogos lalu. Selaluya kerja mengemaskini blog, saya lakukan di waktu malam (lepas 12.00 a.m) selepas selesai tugas-tugas harian.

Minggu terakhir bulan ramadhan selalunya di samping mempertingkatkan ibadah kita kepada Allah S.W.T di isi dengan aktiviti pemberian bantuan atau sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Ini termasuk anak-anak yatim, fakir miskin, ahli masyarakat yang lanjut usia (70 tahun ke atas), kanak-kanak isitimewa dan mereka yang sakit (terlantar). Bantuan atau sumbangan ini saya sampaikan dalam dua kaedah iaitu penganjuran majlis dan dari rumah ke rumah. Pada 2 Ogos 2010, saya menganjurkan majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri dan berbuka puasa di Surau Kg. Raga,Yan. Majlis sebegini sememangnya saya anjurkan sejak lebih 10 tahun dulu lagi sepanjang menjadi Ketua UMNO Cawangan Kg. Raga. Tetapi kali ini sebagai wakil rakyat, majlis ini dikembangkan sedikit merangkumi seluruh DUN Guar Chempedak. Penerima bantuan sejumlah 200 orang adalah terdiri daripada anak-anak yatim dari Rumah Budi Yan, kanak-kanak istimewa dari PDK dan rumah amal Yan serta fakir miskin bagi seluruh DUN Guar Chempedak. Jemputan berbuka puasa juga melibatkan masyarakat Kg. Raga JKKKP DUN Guar Chempedak serta penerima-penerima bantuan.

Mulai 5 September hingga 8 September, saya bersama beberapa orang rakan berkunung dari rumah ke rumah untuk memberi bantuan hari raya kepada mereka yang memerlukan. Tugas ini saya akui 'ghenyah' (kata orang Kedah) dan memenatkan tetapi ia amat berkesan dan memberi kepuasan kepada saya kerana ia memberi sentuhan peribadi (personal touch) serta dapat melihat dan berjumpa sendiri dengan penerima-penerima berkenaan. Terdapat di kalangan mereka yang cukup uzur dan orang-orang yang lanjut umur dan dari 'bahasa badan' mereka, saya dapat merasai perasaan dan penghargaan mereka. Pada tahun ini, lebih dari 500 orang yang memerlukan dalam DUN Guar Chempedak telah menerima sumbangan hari raya.

Sepertimana dua tahun yang lepas (sejak terpilih sebagai wakil rakyat), tahun ini juga saya menyambut Hari Raya Aidilfitri di Yan bersama isteri saya, Halimah dan dua orang anak saya (Ku Hazran dan Ku Reza), menantu saya (Hirliana, isteri kepada Ku Hazran) serta cucuanda saya Ku Haziqah Ilana (raya pertamanya).

Kepada semua saudara mara, kawan rakan dan seluruh umat islam saya mengucapkan
"Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin".

1 comment:

Mimaju said...

Oleh kerana prihati nya Dato kepada semua golongan ,masyarakat di sini masakini berada dalam keadaan tenteram, puas hati dan tiada lagi terdengar suara bangkangan di kedai kopi, semoga Dato beroleh kesihatan yang lebih baik lagi selepas Aidil Fitri ini dan dapat meneruskan perjuangan yang belum selesai. Slamat Hari Raya Maaf Zahir Batin dari saya mewakili rakan-rakan . Syabas YB DATO' DR. KU ABD RAHMAN