Pages

Sunday, September 26, 2010

Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini yang jatuhnya pada 10 September, hari Jumaat adalah paling sempurna bagi diri saya. Ini kerana inilah kali pertama selepas tujuh anak bongsu saya, Ku Reza dapat berpuasa dan beraya bersama keluarga. Tujuh tahun berturut-turut sebelum ini, Ku Reza terpaksa berhari raya di Melbourne, Australia kerana belajar di sana. Lebih menyeronokkan bagi Hari Raya kali ini merupakan raya yang pertama bagi cucuanda saya, Ku Haziqah Ilana yang berumur 9 bulan.

Saya sekeluarga melaksanakan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Yan. Seperti biasa, selepas solat kami menziarahi kubur ayah dan ibu. Adinda saya, Ku Razak serta keluarga juga bersolat di Masjid Yan.



Ramai kanak-kanak dari sekitar kampung-kampung dan taman-taman sekitar Yan datang ke rumah saya di Taman Pulau Bunting. Seperti kebiasaan mereka diberikan duit raya. Kita melihat keriangan kanak-kanak ini bila menerima duit raya. Di sebelah petang pada hari raya, saya sekeluarga menziarahi saudara mara termasuk Tok Iman, Tn Hj. Ku Shuib, dan kekanda saya, Ku Rahim yang tinggal di Jalan Ruat.

Pada hari raya kedua, saya bersama keluarga serta serta saudara mara yang lain pergi ke Kampung Singkir Laut untuk majlis penentuan belanja bagi anak saudara saya, iaitu anak kepada adinda saya, Ku Bahiyah. Buat pertama kalinya saya telah diminta untuk menjadi jurucakap bagi pihak pengantin lelaki.



Pada hari raya ketiga, saya bersama isteri menziarah seorang wanita yang sakit di Kampung Perigi. Beliau telah menjalani pembedahan perut sebelum hari raya.

Pada 15 September iaitu hari raya ke-enam, saya menghadiri majlis kenduri kahwin rumah Pak Din di Taman Setia Jaya dan di Kampung Perigi. Sebelah petangnya, saya telah menganjurkan majlis sambutan hari raya untuk meraikan anak-anak yang belajar di IPTA dan IPTS dari seluruh negara. Terdapat lebih kurang 80 orang siswa/siswi yang hadir. Saya juga melancarkan penubuhan Persatuan Siswazah Yan di majlis berkenaan.







Pada 22 September, hari rabu saya menghadiri majlis sambutan hari raya di PDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti), Yan. Majlis ini dianjurkan bersama antara PDK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ia merupakan acara tahunan di mana kanak-kanak istimewa akan membuat persembahan dan menerima duit raya dari dermawan-dermawan yang bermurah hati.







Pada hari raya tahun ini, terdapat lebih banyak majlis sambutan hari raya yang diadakan. Pada hari sabtu, 25 September, saya sempat menghadiri jamuan raya di Surau Kg. Sg. Udang, Surau Kg. Kuala Sg. Yan, anjuran Puteri UMNO bahagian Jerai Bt 22 dan di rumah Hj. Fathahi di Tokai.

Pada sebelah pagi 25 September, saya mengambil peluang untuk menghadiri program 1JPJ 1 Komuniti di Sekolah Kebangsaan Langkasuka. Program ini adalah anjuran bersama JPJ Kedah dan Pusat Khidmat Adun Guar Chempedak. Program yang diadakan hari ini ialah ujian lisan bagi warga emas (berumur 45 tahun keatas) untuk mendapatkan lesen motorsikal.



Pada 26 September, saya menghadiri dua majlis. Pertamanya, majlis penyampaian sara hidup nelayan kawasan Yan anjuran LKIM di Dewan Serbaguna Guar Chempedak. Seramai 358 orang nelayan telah menerima wang saraan sebanyak RM 200 seorang. Dalam ucapan saya, saya telah menyentuh tentang keprihatinan Kerajaan Persekutuaan dalam membantu rakyat yang memerlukan serta tentang persediaan golongan nelayan dalam kontek Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 nanti.





Saya juga diundang oleh UITM Merbok di SP Inn, Sg. Petani untuk menyampaikan ceramah bertajuk "Developing Future Corporate Leaders" kepada pelajar-pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan di SP Inn, Sg. Petani. Saya berasa seronok sekali bila berpeluang memberi ceramah kepada pelajar-pelajar IPTA kerana dapat menyampaikan ilmu sedikit sebanyak yang kita ada kepada anak bangsa. Seramai lebih 200 orang pelajar dan pensyarah UITM Merbok, Prof. Dr. Zaliha Hj. Husin telah hadir di majlis tersebut.

Dalam ceramah yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit, saya menyentuh tentang ciri-ciri yang diperlukan bagi seseorang menjadi 'corporate leaders' yang berkesan . Pekara-pekara yang saya kemukakan banyak berkisar kepada pengalaman saya sendiri, selama 34 tahun bermula sebagai Saintis di Institut Penyelidikan Getah Malaysia (sekarang Lembaga Getah Malaysia) pada tahun 1976 hinggalah sekarang. Kerjaya saya sebagai saintis adalah selama 12 tahun, bidang korporat (MARDEC Bhd sebagai Pengarah Teknikal & Operasi dan Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Bhd) selama 13 tahun, sebagai Diplomat (di Taiwan) selama 3 tahun dan sekarang ini sebagai wakil rakyat dah masuk tahun ke-3.

No comments: