Pages

Friday, December 31, 2010

SALAM 2011

Tirai tahun 2010 telah berlabuh dan meninggalkan kita. Ia beerti dekad pertama abad ke-21 sudah berakhir. Masa begitu pantas berlalu dan pantas meninggalkan kita.

Tahun 2010 telah meninggalkan kenangan manis dan pahit kepada kita semua. Kenangan manis bagi saya sebagai wakil rakyat ialah dapat turut sama sedikit sebanyak dalam membantu rakyat yang memerlukan seperti membina rumah baru, baik pulih rumah, bantuan JKM, program tuisyen di sekolah-sekolah, program melesenkan warga emas(motorsikal)dan sebagainya. Sebagai pendokong Parti UMNO/BN, kenangan manis saya ialah kemenangan BN dalam pilihanraya kecil di Hulu Selangor, Galas, Bagan Pinang dan Batu Sapi.

Pada peringkat Individu dan keluarga, kenangan manis saya ialah menimang cucuanda kedua pada 17 Disember lalu dan kejayaan anak bongsu, Ku Reza memperolehi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari RMIT University, Australia pada 15 Disember lalu dan perlantikan isteri saya, Halimah sebagai Ahli Majlis Professor Negara (Ketua Kluster ICT)

Saya juga ditakdirkan menerima berbagai tanggungjawab baru pada tahun 2010 iaitu dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri Kedah oleh YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, terpilih sebagai Naib Pengerusi Pertubuhan ALUMNI Kelab-Kelab UMNO Luar Negara, Timbalan Pengerusi Persatuan ALUMNI Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), dilantik sebagai Pengerusi PDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti) Yan dan Penasihat Kehormat kilang beras, PPK Kubur Panjang.

Manakala antara kenangan pahit dan sedih saya ialah pemergian kerahmatullah sahabat-sahabat dan orang-orang lama yang rapat dengan saya seperti Allahyarham Cikgu Faris (cikgu Sekolah Menengah Kebangsaan Yan), Allahyarham Cikgu Ismail (Bedong), Allahyarham Pakcik Man (Kg Berjaya Jeniang), Allahyarham Pak Mat (gelaran Pak Mat Lembik), Allahyarham Cikgu Saad (Yan) dan Bang Ei Jibeng (sungguhpun miskin tetapi berhati mulia). Pemergian mereka terutamanya Cikgu Faris, Pakcik Man dan Cikgu Ismail amat terasa sekali kerana mereka begitu rapat dengan saya dan selalu berjumpa serta berhubungan. Kita doakan semoga roh mereka di cucuri rahmat oleh Allah S.W.T.

Dalam menyambut tahun baru 2011, biarlah semua yang buruk dan pahit terbenam bersama matahari terakhir 2010, sambutlah fajar pertama 2011 dengan semangat baru dan keyakinan baru bersama dengan doa. Semoga tahun 2011 ini akan memberikan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada kita semua. Moga-moga Allah S.W.T memberkati usaha Perdana Menteri kita YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Razak dalam membawa Malaysia kearah negara maju menjelang tahun 2020 melalui Gagasan 1 Malaysia.

Kepada semua rakyat Malaysia, khususnya penduduk kawasan DUN Guar Chempedak, saya ucapkan selamat tahun baru 2011. Semoga tahun 2011 menjanjikan yang terbaik buat kita semua.

No comments: