Pages

Monday, June 6, 2011

Koperasi Kedah meningkat 13.4 peratus

BANDAR DARULAMAN - Jumlah penubuhan koperasi di Kedah meningkat sebanyak 13.4 peratus pada tahun lalu berbanding 2009 bagi tempoh masa sama.

Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, sebanyak 84 koperasi baru ditubuhkan sepanjang 2010 menjadikan jumlah keseluruhan koperasi berdaftar sebanyak 710 buah pada tahun lalu berbanding 626 buah pada 2009.

Penambahan jumlah koperasi itu sekali gus mencatatkan peningkatan jumlah ahli koperasi melebihi 300,000 orang dengan jumlah syer terkumpul hampir RM300 juta dan jumlah aset terkumpul melebihi RM400 juta.

“Kejayaan koperasi di negeri ini boleh dibanggakan namun kita perlu berusaha meningkatkan kesedaran berkoperasi dan mengukuhkan gerakannya dalam pelbagai aspek,” katanya selepas majlis perasmian Hotel Darulaman dan Kursus Kesedaran Berkoperasi, di sini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dr Ku Abd Rahman berkata, MPKN juga merumuskan beberapa perkara yang dianggap boleh membantu dalam pembangunan sektor koperasi di Kedah antaranya termasuklah bayaran balik pinjaman tanpa cagaran RM50,000 yang kini dibayar dalam tempoh lima tahun dilanjutkan kepada 10 tahun.

Menurutnya, jumlah bayaran balik RM900 dikurangkan kepada RM450 sebulan bagi memastikan aliran tunai koperasi lebih mantap.

“Selain itu, elaun pengurus Kobera dipanjangkan kepada lain-lain koperasi yang berkluster kecil dan mikro yang berusia kurang lima tahun.

“Manakala elaun bulanan pengurus daripada 800 selama enam bulan dilanjutkan sehingga tiga tahun untuk membolehkan koperasi menjana pendapatan yang lebih munasabah dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Dr Ku Abd Rahman berkata, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama dalam pelbagai bentuk kepada mana-mana koperasi yang berminat untuk melibatkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan.




Petikan Sinar Harian (7/06/2011)

No comments: