Pages

Wednesday, March 9, 2011

5. LAWATAN YB MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI KE TAIWAN (2 MAC-6 MAC 2011)

Pada 2 Mac hingga 6 Mac 2011 yang lalu, saya menyertai delegasi lawatan YB Dato' Seri Mohd Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ke Taiwan. Saya menyertai lawatan ini atas kapasiti saya sebagai ahli Lembaga Pengarah LPP dan juga sebagai bekas ketua misi Malaysia ke sana. Saya pernah berkhidmat di Taiwan sebagai Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (Defacto Ambassador) selama 2 tahun 7 bulan iaitu dari Januari 2005 hingga Julai 2007. Berkhidmat di Taiwan sebagai Ketua Perwakilan Malaysia bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah kerana sensitiviti yang melibatkan negara China. Berpegang kepada dasar satu China, negara-negara yang mengiktiraf China termasuk Malaysia tidak boleh mengiktiraf Taiwan (Republic Of China) sebagai sebuah negara berdaulat. Kebanyakan negara sememangnya mengiktiraf China kecuali 21 buah negara (kebanyakannya di benua Afrika, Amerika Selatan dan Kepulauan Pasifik) yang mengiktiraf Taiwan. Mengiktiraf bermaksud mengadakan hubungan diplomatik.



Hubungan antara Malaysia dan Taiwan adalah unik kerana ia tidak melibatkan hubungan diplomatik tetapi lebih kepada hubungan ekonomi dan sosio-budaya. Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Taiwan adalah amat signifikan sekali. Taiwan merupakan pelabur ke-5 terbesar di Malaysia (lebih dari USD 10 billion), rakan perdagangan ke-8 terbesar (USD 13 billion) dan lebih dari 200,000 orang Taiwan melancong ke Malaysia setiap tahun. Dalam hubungan sosio-budaya pula, seramai lebih kurang 5000 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di sana.

Dari segi ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Taiwan ialah 3 kali ganda Malaysia. Manakala pendapatan per kapita penduduk Taiwan ialah USD 17,000, iaitu hampir 3 kali ganda pendapatan per kapita penduduk Malaysia (kita mensasarkan per kapita USD 15,000 menjelang 2020). Bayangkan 23 juta penduduk mendiami pulau sebesar negeri Pahang dan negara Belanda (36,000 km persegi). Pada awal tahun 80-an, ekonomi Taiwan hanya lebih kurang Malaysia dan berasaskan pertanian. Ekonomi Taiwan meningkat dengan mendadak sejak 1985 apabila kerajaannya membuat dasar perindustrian bagi mengubah landskap ekonominya. Transformasi ekonomi Taiwan bermula dengan tertubuhnya 'Hsinchu Science Park' (HSP). Hari ini nilai hasil pengeluaran HSP sahaja mencapai lebih USD 20 billion setahun. Taiwan cemerlang dalam bidang 'integrated circuit' (IC) komputer (Acer Company sebagai sebuah nama yang amat dikenali), ICT dan lain-lain lagi. Taiwan adalah pengeluar ke-4 terbesar di dunia dalam 'IT hardware'. Taiwan juga berjaya dengan cemerlangnya dalam bidang pertanian. Kita selalu mendengar tentang jambu merah (wax apple) Taiwan dan jagung Taiwan. Sebuah pulau sebesar negeri Pahang mampu mengeluarkan beras yang mencukupi bagi penduduknya, 23 juta orang. Pengeluaran pertaniannya (kebanyakannya bahan makanan dan bukan komoditi) mencecah lebih USD 15 billion setahun.




Sebenarnya lawatan YB Menteri Pertanian ke Taiwan adalah bertujuan untuk melihat sendiri pembangunan sektor pertanian yang berkembang begitu pesat sekali dan dapat menjalin kerjasama dalam bidang berkenaan. Di samping kemajuan dalam industri E&E (Electrical & Electronic), ICT dan sebagainya, Taiwan juga tidak melupai sektor pertanian. Sungguhpun di mana-mana juga negara di dunia, sektor pertanian menyumbang kurang dari 5% kepada ekonomi negara tetapi ia dianggap sebagai sektor strategik dan jaminan keperluan makanan kepada penduduk sesebuah negara. Banyak peruntukan diberi dan dibelanjakan untuk menjalankan R&D (penyelidikan dan pembangunan) bagi memajukan sektor pertanian. Antara tempat-tempat yang dilawati oleh YB Menteri Pertanian dan delegasi ialah International Flora Exposition di Taipei (ekspo pelbagai jenis bunga terutamanya bunga orkid), Pintung University of Science and Technology, Long Diann Marine Biotechnology (melalui R&D berupaya menghasilkan pelbagai jenis ikan kerapu), Kaohsiung District Agriculture Research and Extension Institute dan Kaohsiung Farmers Organisation (Pertubuhan Peladang Kaohsiung). Kawasan yang dilawat kecuali International Flora Exposition ialah di selatan Taiwan, khususnya wilayah Pintung, di mana iklim kawasannya adalah sub-tropika hampir menyamai iklim Malaysia.




Antara peserta delegasi lawatan yang diketuai oleh YB Menteri Pertanian ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Pengerusi KADA, Tan Sri Anuar Musa, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Pengurus Besar NAFAS, Pegurus Besar MARDI Tech dan Setiausaha Sulit Kanan kepada YB Menteri, Dato' Saiful Bakar Hj Mohd Arshad.




Apakah rahsia kejayaan Taiwan, sebuah pulau sebesar negeri Pahang yang saban tahun di landa ribut taufan (Julai-September), seringkali mengalami gempa bumi dan tanpa sumber asli (minyak dan sebagainya)?. Jawapannya ialah rakyatnya yang gigih berusaha, kreatif dan inovatif. Modal insan adalah modal utama bagi memajukan 'negara' yang berasaskan K-Ekonomi. Sesungguhnya inilah apa yang di maksudkan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia; sebuah negara yang rakyatnya gigih berusaha, kreatif dan inovatif bagi menentukan kejayaan Program Transformasi Ekonomi dalam menuju ke arah status negara maju menjelang 2020 nanti.

1 comment:

ben said...

YB Dato' Dr Ku:

Very well written...precise and concise. Am sure Malaysia can learn and benefit from Taiwan's know-how, expertise, in agric and aqua-culture, ICT, etc, etc. Additionally, YB's very own grasp and in-depth knowledge of Taiwan, as former Head of the Malaysian Mission in TPE, coupled with excellent net-working, are added impetus to greater economic cooperation for mutual gains. Cheers!