Monday, July 18, 2011

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH

Pada 18 Julai, saya menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darulaman, Alor Setar. Isu hangat dalam soal jawab kali ini ialah mengenai peruntukan penyenggaraan jalan-jalan negeri. Isu ini timbul dari soalan YB Dato' Paduka Ahmad Bashah, ADUN Bakar Bata yang menanyakan tentang kenyataan Menter Kerja Raya bahawa Kerajaan Negeri telah menyalahgunakan wang peruntukan penyenggaraan jalan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat. Persoalan besar yang timbul ialah kerana pada tahun 2010 umpamanya, Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM 54.35 juta untuk penyenggaraan jalan sedangkan peruntukan Kerajaan Pusat ialah RM 147.7 juta. Jawapan yang diberikan oleh ADUN Pengkalan Kundur ialah perbelanjaan dibuat berdasarkan kepada peruntukan bajet dan yang selebihnya disimpan dalam 'Tabung Amanah Jalanraya'. Jawapan itu tidak dapat diterima memandangkan banyak jalan-jalan negeri tidak diselenggara dengan baik sedangkan Kerajaan Pusat memberikan peruntukan yang lebih dari mencukupi. Pihak Kerajaan sepatutnya membawa kepada Sidang DUN untuk mendapat keseluruhan penambahan bajet. Ini tidak dilakukan. Banyak persoalan-persoalan yang timbul dalam isu ini; pertamanya, kenapa perlu wang lebihan ini dimasukkan dalam Tabung Amanah Jalanraya, keduanya, siapa yang menganggotai Lembaga Pengarah Tabung Amanah dan untuk apa wang berkenaan akan digunakan. Saya berharap Kerajaan Negeri dapat memberitahu rakyat tentang maklumat-maklumat ini.

No comments: