PROGRAM PERHIMPUNAN ADUN BNBBC DI NEGERI SELANGOR
Pada 21 hingga 23 September, saya berada di negeri Selangor menyertai Program Perhimpunan ADUN BNBBC. Pada 21 September, sebelah pagi, menghadiri Mesyuarat JK ADUN BNBBC di Ibu Pejabat UMNO Selangor. Selepas sesi pendaftaran, sebelah petangnya, saya dan juga semua ADUN-ADUN BN (170 orang)dari seluruh negaran bergerak ke PDM (Pusat Daerah Mengundi) masing-masing di seluruh negeri Selangor. Dari negeri Kedah, 10 orang ADUN BN termasuk YB Dato' Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar dan YB Dato' Paduka Ahmad Bashah terlibat dalam program berkenaan. Saya bersama Dato' Seri Mahdzir Khalid diletakan di DUN Sementa, Parlimen Kapar. Bagi tujuan menyelaraskan program turun ke padang ini, saya dilantik sebagai Ketua Penyelaras manakala YB Dato' Seri Mahdzir Khalid sebagai ketuanya.
Program pertamanya ialah perjumpaan saya dengan AJK PDM Sementa di bilik gerakan yang dipengerusikan oleh Tn Hj Saharuni. Saya diberi taklimat tentang status semasa PDM berkenaan. Selepas itu, saya dijemput untuk memberi sedikit ucapan. Kemudiannya saya dibawa ker rumah keluarga angkat saya, Tn Hj Aziz Sembuk (umurnya sudah 76 tahun) tapi masih bekerja sebagai pemandu lori di Kampung Sementa. Saya diberi sambutan yang begitu mesra sekali oleh seluruh keluarga angkat dan penduduk kampung di situ. UMNO cawangan di situ namanya UMNO Cawangan Kariah Nelayan. Khemah dan 'banner' disediakan untuk menyambut kedatangan saya.
Sebelum ke Majlis Sambutan Aidilfitri di Dataran Sementa, saya bersolat maghrib dan isha' bersama penduduk kampung di surau kampung berkenaan. Saya berasa seronok sekali kerana dapat bersolat jemaah bersama penduduk kampung dan bermesra dengan mereka. Bagi orang melayu, kehadiran pemimpin bersolat di surau atau masjid bersama mereka adalah sesuatu yang penting dan memberi impak positif. Selepas solat isha', saya bersama keluarga angkat menghadiri jamuan Aidilfitri yang dihadiri oleh lebih 1000 orang tetamu. Saya dijemput unutk memberi ucapan. Dato' Seri Mahdzir Khalid selepas menghadiri jamuan raya di PDM bawah jagaannya sempat hadir. Dato' Abd Rahman Pahlil, Ketua UMNO Bahagian Kapar/ADUN Sementa hadir di akhrir majlis.
Lebih kurang jam 12.30 pagi, balik ke rumah keluarga angkat bermalam di sana. Rumah keluarga angkat saya adalah rumah kampung; tingkat atas kayu dab bawah bersimen. Bilik air untuk buang air besar terletak di luar rumah. Tapi bilik airnya bersimen dan dijaga bersih. Tinggal di sini mengingatkan saya kehidupan masa lampau saya semasa kecil dalam tahun 60-an di Kampung Raga, Yan.
Rumah ini didiami oleh 8 orang anggota keluarga Hj Aziz; isteri, anak dan menantu serta 4 orang cucu. Saya tidur bukan dalam bilik istimewa tetapi di anjung rumah beralaskan 'lemek' bersama lima orang lagi iaitu Hj Aziz, menantunya, Abu Hashim (Imam Surau)dan Azhar, Pengerusi JKKKP. Keadaan ini mengingatkan saya semasa kecil dulu tidur bersama di anjung rumah atau balai semasa kenduri kahwin. Selepas lebih kurang 3 jam tidur keesokan harinya, jam 5 pagi sudah bangun untuk bergegas ke surau untuk solat subuh.
Pada 22 September, selepas solat subuh berjemaah di surau, saya bersama keluarga angkat dan ramai penduduk kampung bersarapan pagi dalam khemah disediakan. Selepas itu, menziarahi 11 buah rumah warga emas orang miskin diiringi JK PDM (20 orang semuanya)untuk memberi bantuan wang. Selepas itu, makan tengahari di rumah 'kayu' YB dato' Abd Rahman Pahlil, ADUN Sementa (menang tanpa bertanding pada PRU ke-12). Jam 3.00 petang, berada di Dewan UMNO Kuala Selangor untuk majlis ceramah dan dialog TUN Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri.
Selepas majlis ceramah, diketemukan keluarga angkat kedua iaitu Tn Hj Hamid Ajid (orang Banjar) di Kampung Asahan, Kuala Selangor. Selepas itu, ke rumah keluarga angkat untuk mandi manda dan bersiap untuk menghadiri majlis sambutan Aidilfitri bersama YAB Dato' Seri Perdana Menteri di Kuala Selangor. Lebih 20,000 rakyat seluruh Selangor menghadiri majlis berkenaan. Selepas itu, menghadiri perjumpaan tertutup dan dialog antara ADUN-ADUN BN dengan YAB Perdana Menteri, di Dewan UMNO Kuala Selangor. Dalam sesi, saya juga memberi pandangan berhubung dengan strategi untuk mempertahankan ke semua 14 DUN-DUN yang di menangi BN pada PRU 12 dan juga memberi tumpuan kepada DUN-DUN BN yang kalah dengan majoriti kecil dan mampu di menangi BN (sekurang-kurangnya 6 DUN) dalam PRU ke-13.
Selepas bermalam di rumah keluarga angkat, Tn Hj Hamid. Rumahnya terletak di Kampung Asahan, dalam kebun kelapa sawit. Beliau hanya tinggal di rumah berkenaan bersama isterinya Hajah Sabar. Esoknya, bersarapan pagi nasi lemak (sambal ikan bilis masakan Hjh Sabar cukup sedap) bersama keluarga Hj Hamid dan 10 orang penduduk yang lain, termasuk penyokong PAS. Sebelum meninggalkan kampung berkenaan, sempat juga 'round' kampung untuk melihat keadaan di situ.
Petangnya, selepas bersolat jumaat di Masjid Kelang, hadir jamuan Aidilfitri dan Majlis Penutup Program oleh YAB Timbalan Menteri di Sekolah Menengah Meru.
Pada keseluruhan, program ini amat berjaya sekali dan membuktikan ADUN-ADUN BN mampu untuk turun ke padang bertemu dan tinggal dengan rakyat di kampung dan membantu antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment