YB Dato' Dr Ku Abd Rahman Bin Ku Ismail ADUN Kawasan Guar Chempedak (N21)
Saturday, August 6, 2011
Pejam celik, pejam celik, sudah masuk hari ke -5 kita berpuasa. Setiap kalinya bulan puasa, saya teringat memori silam sewaktu kanak-kanak dulu. Banyak perkara yang menjadi ingatan saya yang tak akan hilang dek zaman. Pertamanya, juadah berbuka puasa; masakan emak yang masih terasa enaknya sehingga ke hari ini. Gulai ikan tumisan emak saya bagi saya adalah yang paling sedap. Kemudian teringat masa berpuasa, tekak kering sekali kerana meludah sepanjang masa. Sebelah petangnya, saya menutup tingkap-tingkap rumah saya supaya nampak gelap dan bila gelap rasa macam waktu berbuka puasa dah tak lama lagi (ini sewaktu kecil-kecil, darjah 2 dan 3). Sebelah malam dalam pertengahan bulan ramadhan, sewaktu dalam tingkatan 1-3, saya anjurkan pertandingan Quran (sekarang dipanggil Tilawah Quran) di kalangan kanak-kanak di Kampung Raga. Platform untuk Qari membaca Quran dihiaskan cantik dengan pelita minyak gas. Saya juga mengambil peranan sebagai pengerusi hakim pertandingan. Seingat saya, setiap tahun, adik saya, Ku Halim terpilih menjadi johan Qari. Di kalangan kanak-kanak tak ramai yang solat terawih tetapi kebanyakan akan berada di surau di peringkat akhir solat bersiap sedia untuk makan moreh. Memori silam ini membuatkan saya rasa terharu, sebak sayu, sedih, gembira dan pelbagai lagi perasaan terutamanya bila teringatkan ayah, emak dan adik beradik. 'Hari itu sudah berlalu' bak kata-kata Dato' Zam (Dato' Zainuddin Maidin - bekas Menteri Penerangan) dalam buku tulisannya. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas roh kedua-dua ibu dan ayah saya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment