Pages

Saturday, August 6, 2011

BERBUKA PUASA DI MASJID JAMEK, YAN DAN BERSOLAT ISHA' & TERAWIH DI MASJID KAMPUNG KEDA, SUNGAI UDANG

Pada hari ke-3 iaitu 3 Ogos, sekali lagi saya berbuka puasa di Masjid Jamek, Yan dan selepas itu solat isha' dan terawih di Masjid Kampung KEDA, Sungai Udang. Sudah menjadi amalan saya di bulan Ramadhan setiap tahun sejak menjadi wakil rakyat, bersolat isha' dan terawih di sebanyak mungkin masjid dan surau-surau kawasan DUN Guar Chempedak. Inilah masa yang terbaik untuk bersama dan beramah mesra dengan seramai mungkin penduduk.
BERBUKA PUASA DI MASJID JAMEK, YAN DAN SOLAT TERAWIH DI MASJID KAMPUNG RUAT.

Pada hari kedua, saya berbuka puasa di Masjid Jamek, Yan, bersama dengan Tuan Imam, Tuan Haji Ku Shuib dan kariah-kariah masjid yang lain. Selepas itu, saya ke Masjid Kampung Ruat untuk solat isha' dan solat terawih.
Seperti kebiasaan setiap tahun, hari pertama bulan ramadhan, saya bersahur dan berbuka puasa bersama keluarga; isteri saya, Halimah, anak-anak saya, Ku Hazran dan Ku Reza dan sekarang ini termasuk menantu saya Hirliana serta kedua-dua cucu saya, Ku Haziqah dan Ku Herezqi. Kali ini kami berbuka di rumah kami di Ara Damansara, Petaling Jaya.
Pejam celik, pejam celik, sudah masuk hari ke -5 kita berpuasa. Setiap kalinya bulan puasa, saya teringat memori silam sewaktu kanak-kanak dulu. Banyak perkara yang menjadi ingatan saya yang tak akan hilang dek zaman. Pertamanya, juadah berbuka puasa; masakan emak yang masih terasa enaknya sehingga ke hari ini. Gulai ikan tumisan emak saya bagi saya adalah yang paling sedap. Kemudian teringat masa berpuasa, tekak kering sekali kerana meludah sepanjang masa. Sebelah petangnya, saya menutup tingkap-tingkap rumah saya supaya nampak gelap dan bila gelap rasa macam waktu berbuka puasa dah tak lama lagi (ini sewaktu kecil-kecil, darjah 2 dan 3). Sebelah malam dalam pertengahan bulan ramadhan, sewaktu dalam tingkatan 1-3, saya anjurkan pertandingan Quran (sekarang dipanggil Tilawah Quran) di kalangan kanak-kanak di Kampung Raga. Platform untuk Qari membaca Quran dihiaskan cantik dengan pelita minyak gas. Saya juga mengambil peranan sebagai pengerusi hakim pertandingan. Seingat saya, setiap tahun, adik saya, Ku Halim terpilih menjadi johan Qari. Di kalangan kanak-kanak tak ramai yang solat terawih tetapi kebanyakan akan berada di surau di peringkat akhir solat bersiap sedia untuk makan moreh. Memori silam ini membuatkan saya rasa terharu, sebak sayu, sedih, gembira dan pelbagai lagi perasaan terutamanya bila teringatkan ayah, emak dan adik beradik. 'Hari itu sudah berlalu' bak kata-kata Dato' Zam (Dato' Zainuddin Maidin - bekas Menteri Penerangan) dalam buku tulisannya. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas roh kedua-dua ibu dan ayah saya.

Sunday, July 31, 2011

Kepada semua umat Islam, saya ucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga amalan dan ibadat kita di bulan yang mulia ini mendapat berkat dari Allah S.W.T
MENZIARAHI KEMATIAN DAN MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT PERLAKSANAAN PROGRAM KEMBARA RAMADHAN

Pada 31 Julai, sebelah pagi, saya menziarahi kematian ibu kepada saudara Jaafar Harun, Pengerusi JKKKP Ban 7A di Kampung Ban 7A.

Pada jam 3 petang, saya mempengerusikan Mesyuarat Perlaksanaan Program Kembara Ramadhan peringkat Daerah Yan di Bilik Mesyuarat Masjid Jamek, Yan.
MESYUARAT JK PERSATUAN ALUMNI SMSAH

Pada 29 Julai, jam 9 malam, saya menghadiri Mesyuarat JK Persatuan Alumni SMSAH di Kampus Cawangan Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur.
MESYUARAT JAWATANKUASA PERSIAPAN KENDURI RAKYAT DAN KENDURI RAKYAT

Pada 24 Julai, saya menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Persiapan Kenduri Rakyat sempena lawatan YAB PM ke Guar Chempedak.

Pada 28 Julai, jam 9 pagi, saya berada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar untuk menyambut ketibaan YAB PM sempena lawatan ke Negeri Kedah.

Jam 11 pagi, saya bersama YAB Perdana Menteri ke Guar Chempedak untuk menghadiri kenduri rakyat bersama penduduk-penduduk DUN Guar Chempedak.


Saturday, July 23, 2011

PROGRAM SEPAKAT KOMUNITI 1 MALAYSIA, MENZIARAH KEMATIAN DAN MAKAN KENDURI

Pada 23 Julai, saya menghadiri makan tengahari di Taman Yan, Sungai Yan di mana Program Sepakat Komuniti 1 Malaysia anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah Yan, Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak, JKKKP Taman Yan, JK Surau Taman Yan dan Komuniti Bestari 1 Malaysia. Sebelah petangnya, jam 4 petang saya bersama isteri menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah-Hadiah program berkenaan. Saya dijemput untuk memberi ucapan dan seterusnya menutup secara rasmi Program Sepakat 1 Malaysia. Program sehari suntuk ini amat berkesan sekali dalam mengumpulkan seluruh penduduk berbilang kaum di Taman Yan. Saya amat seronok sekali melihat perpaduan yang ditunjukan oleh penduduk Taman Yan yang berbilang kaum ini. Sesungguhnya, perpaduan adalah asas utama kepada kestabilan politik negara yang membawa kepada keamanan, ketenteraman dan kemajuan ekonomi sejak Merdeka tahun 1957. Hadir sama dalam majlis penutup ialah En. Masnoor, Pengarah Penerangan Negeri Kedah. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat khususnya Pejabat Penerangan Yan dan JKKKP Taman Yan atas kejayaan Program Sepakat Komuniti 1 Malaysia.

Pada 23 Julai juga, saya berkesempatan menziarah jenazah Pak Ku Shaari di Kampung Raga dan makan kenduri di rumah Pn Faridah, Guar Chempedak.




MALAM GALA APRESIASI DAN PELANCARAN PROJEK HATI NURANI

Pada 22 Julai, saya bersama isteri menghadiri Malam Gala Apresiasi 20 tahun (sambutan penubuhan) Yayasan Nurul Yaqeen dan pelancaran Projek Hati Nurani oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Projek Hati Nurani adalah hasil ilham Yang Amat Bahagia Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, isteri kepada YAB Timbalan Perdana Menteri. Salah satu program utama yang dilaksanakan ialah projek 'Sekolah Dalam Hospital'. Puan Seri Noorainee sendiri adalah penaung kepada Projek Hati Nurani. Projek Sekolah Dalam Hospital adalah satu usaha yang amat murni bagi membantu mewujudkan sistem pembelajaran yang lebih teratur dan bersistematik bagi kanak-kanak dan remaja yang menerima rawatan yang panjang serta berulang di hospital-hospital dibawah Kementerian Kesihatan