Pages

Tuesday, April 12, 2011

LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI PERTANIAN DAN ASAS TANI KE DUN GUAR CHEMPEDAK

Agak lama juga saya merancang untuk menjemput YB Dato' Wira Mohd Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertanian Dan Asas Tani untuk membuat lawatan kerja ke DUN Guar Chempedak. Tujuannya ialah untuk menunjukan kepada beliau beberapa muara sungai yang menghadapi masalah mendapan, merasmikan Kompleks LKIM Kuala Sungai Udang dan berdialog dengan nelayan-nelayan. Pada 3 April lalu, rancangan ini telah menjadi kenyataan. Tarikh ini dipilih kerana mengikut 'bulan melayu', pada tarikh ini paras air di muara sungai rendah. YB Timbalan Menteri tiba pada jam 8.00 pagi. Tempat pertama yang dilawati ialah kebun nenas En Shamsudin di Kampung Rendang Pasir. Di sini beliau melawat kebun nenas seluas 3 relong dengan tanaman nenas jenis Moris sebanyak 35,000 pokok. Beliau dan juga lain-lain tetamu bersarapan pagi, nasi lemak bungkus daun pisang di dusun nenas itu. Turut hadir dalam lawatan beliau ialah Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Tuan Haji Ismail dan Pengarah LKIM Negeri Kedah, En Mohd Nor Had. Saya memilih dusun nenas milik En. Shamsudin untuk dilawati oleh YB Timbalan Menteri kerana tertarik dengan tanaman nenas dan pulangannya serta kegigihan En Shamsudin (sungguhpun berumur lebih 70 tahun ) dalam meningkatkan pendapatannya. Beliau ialah pedagang skrap getah di kawasan Yan yang berjaya. Beliau terlibat dalam bisnes ini berpuluh tahun lalu. Sungguhpun sudah berjaya dan memperolehi pendapatan yang lumayan dalam bisnes ini, beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian ini tetapi terus berusaha dalam bidang-bidang lain. Beliau terlibat dalam tanaman nenas dan pisang. Sebenarnya tanah yang digunakan adalah bukan tanah miliknya sendiri tetapi memajak tanah-tanah orang kampung yang terbiar. Dengan harga purata RM 1.00 sebiji, En Shamsudin mampu untuk memperolehi perolehan RM 35,000 setahun bagi sehektar (3 relong). Setelah ditolak kos perbelanjaan, beliau mampu memperolehi sekurang-kurangnya RM 30,000 setahun (RM 2500 sebulan). Pada musim penanamannya, beliau mendapat benih dan baja daripada Jabatan Pertanian dan Lembaga Nenas Malaysia. Sesungguhnya, agensi-agensi kerajaan khususnya di peringkat persekutuan, sememangnya mempunyai pelbagai jenis bantuan untuk diberikan kepada mereka yang gigih berusaha. Nenas boleh juga di tanam secara kontan (antara pokok getah umpamanya). Untuk diberikan mesin membajak, Dato' Wira Johari meminta supaya lebih ramai, 10 orang sekurang-kurangnya menanam nenas. Selepas melawat kebun nenas, YB Dato' Wira Johari telah dibawa melawat muara-muara sungai Kuala Sungai Yan, muara Kuala Sungai Singkir dan muara Kuala Sungai Udang. Majlis perasmian Kompleks LKIM telah bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 1 tengahari. Majlis dialog dengan nelayan telah diadakan selepas ucapan perasmian YB Timbalan Menteri Pertanian. Antara isu-isu yang dikemukakan ialah bantuan enjin, perahu, lesen nelayan dan lain-lain. Dalam ucapan aluan, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada YB Timbalan Menteri dan supaya lawatan ini akan memberikan banyak manfaat kepada kaum nelayan, petani dan penternak di DUN Guar Chempedak. Saya meminta agar Timbalan Menteri membantu menyelesaikan masalah muara sungai yang mendap (muara Kuala Sungai Yan, muara Kuala Singkir dan muara Kuala Sungai Udang) serta LKIM membina bangsal nelayan di Kuala Sungai Yan. Selepas jamuan makan tengahari, saya mengiringi Timbalan Menteri untuk melawat kawasan tuas (selepas Pulau Sonsong) di tengah laut. Beliau sempat memancing ikan di situ dan berjaya mendapat seekor ikan tenggiri seberat 5 kg. Lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani yang amat berjaya ini berakhir pada jam 5 petang.


No comments: