Pages

Wednesday, April 20, 2011

MAKAN MALAM BERSAMA WARTAWAN-WARTAWAN AKHBAR SINAR HARIAN WILAYAH UTARA

Pada jam 8 malam, 10 April, saya telah menganjurkan majlis makan malam bersama wartawan-wartawan Sinar Harian wilayah utara di Kem Kenari. Jamuan makan malam ini adalah sempena lawatan mereka ke Daerah Yan.


Tuesday, April 19, 2011

MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH , LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG (LPP)

Mesyuarat JK Audit LPP telah diadakan pada 10 April, jam 3 petang. Manakala mesyuarat Lembaga Pengarah pula diadakan pada keesokan harinya iaitu pada 11 April, jam 8.30 pagi. Mesyuarat kali ini diadakan di negeri Kedah. Pada sebelah malam, 10 April, telah diadakan jamuan makan malam antara Ahli-Ahli Lembaga Pengarah bersama pemimpin-pemimpin peladang dari seluruh negeri Kedah. Pada sebelah petang, 11 April pula diadakan lawatan ke kilang baja urea NAFAS di Gurun.



PERSIDANGAN UMNO CAWANGAN KAMPUNG RAGA

Persidangan UMNO cawangan Kampung Raga telah diadakan pada 8 April, jam 3.30 petang. Seramai lebih kurang 80 orang ahli telah hadir pada persidangan kali ini. Kesempatan ini juga diambil untuk sumbangan kepada veteran UMNO berumur 70 tahun ke atas sebagai tanda penghargaan terhadap jasabakti dan sumbangan mereka kepada parti UMNO. Pada musim persidangan cawangan-cawangan UMNO tahun ini, saya mengambil untuk menghadiri sebanyak mungkin persidangan-persidangan ini. Antara persidangan cawangan yang saya sempat hadiri ialah Kampung Pasir, Padang Lumat, Taman Yan, Kampung Jawa, Singkir Darat, Singkir Badong, Kepala 30, Batu 20, Tunas Baru, Sungai Yan dan Kuala Sedaka.



PILIHANRAYA SARAWAK KE-10

Antara 5 hingga 7 April, saya ke Sarawak untuk memberi sokongan moral kepada calon-calon BN, terutamanya pada hari penamaan calon pada 6 April. Kunjugan ini adalah atas anjuran Kelab BN/BBC ADUN. Pada hari penamaan calon, 6 April, saya bersama rakan-rakan ADUN BN dari semenanjung berada di DUN Pantai Damai untuk memberi sokongan moral kepada calon BN Dr. Abdul Rahman Junaidi. Kami sama-sama berjalan mengiringi beliau ke Pusat Penamaan Calon. Selepas itu, kami bergerak ke DUN Asajaya untuk memberi sokongan moral kepada calon BN, Tn Hj Karim Rahman Hamzah.



SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI MESYUARAT KETIGA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH KE-12

Sidang DUN kali ini berlangsung pada 4 April. Sepertimana biasa, sidang pada bulan April dan Ogos hanyalah berlangsung tidak lebih dari dua jam. Kecuali sidang DUN Bajet yang berlangsung pada bulan November di mana ia mengambil masa tiga hari termasuk separuh hari acara perasmian oleh KDYMM Tuanku Sultan. Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, sidang DUN Negeri Kedah adalah yang paling pendek. Sidang DUN negeri Pulau Pinang berlangsung lebih 10 hari. Begitu juga dengan negeri Selangor dan negeri Johor. Negeri-negeri yang lain, sidang DUN mereka berlangsung sekurang-kurangnya 2-3 hari. Kerana tempoh masa yang pendek, kebanyakan Ahli-Ahli DUN tidak mempunyai peluang untuk soalan mulut mereka dijawab oleh pihak EXCO Kerajaan yang terbabit. Namun kali ini, hanya 4 soalan mulut sahaja yang dapat dijawab. Ia beerti, berpuluh-puluh lagi soalan mulut hanya dijawab secara bertulis.

Ini antara soalan yang dikemukakan kali ini ialah tentang isu penghantaran balik pelajar-pelajar Kedah di Mesir. Dalam jawapannya, YAB Menteri Besar telah menyebut ia seperti 'beruk naik nyok, naik diupah tapi turun tak dibayar'. Maksud beliau ialah Kerajaan Persekutuan hanya membawa pulang semasa krisis politik Mesir memuncak, tetapi Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kos penghantaran balik ke Mesir. Ramai Ahli-Ahli DUN BN bangun memprotes kenyataan YAB MB tersebut. Kita berasa aneh tentang jawapannya kerana sebelum ini beliau sendiri berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas keprihatinan.Dan Kerajaan Pusat juga memaksa mana-mana Kerajaan Negeri untuk menghantar balik pelajar-pelajar mereka ke Mesir, termasuk Kedah. Tapi, Kerajaan negeri Kedah yang mengaku untuk menanggung kos sehingga mengadakan majlis besar-besaran. Jikalau Kerajaan Negeri tak mampu nak menanggung kos, kita yakin Kerajaan Persekutuan akan mengambil tanggungjawab berkenaan. Saya berpeluang untuk mengemukakan soalan tambahan ke-2 bagi soalan mulut no.4. Saya menanyakan tentang hasrat Kerajaan hendak menjadikan Kedah sebagai 'Belanda Timur' di mana sektor pertanian akan dimajukan bagi menghasilkan produk pertanian untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Selepas lebih dari tiga tahun menerajui Kerajaan Negeri, apakah kemajuan yang dicapai dalam merealisasikan hasrat ini. Apa yang diperhatikan ialah kebanyakan projek-projek pertanian yang dilaksanakan adalah atas peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensi berkaitan seperti MADA, Jabatan Pertanian, Risda, Lembaga Nenas Malaysia, FELCRA, MARDI dan lain-lain lagi.


Tuesday, April 12, 2011

LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI PERTANIAN DAN ASAS TANI KE DUN GUAR CHEMPEDAK

Agak lama juga saya merancang untuk menjemput YB Dato' Wira Mohd Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertanian Dan Asas Tani untuk membuat lawatan kerja ke DUN Guar Chempedak. Tujuannya ialah untuk menunjukan kepada beliau beberapa muara sungai yang menghadapi masalah mendapan, merasmikan Kompleks LKIM Kuala Sungai Udang dan berdialog dengan nelayan-nelayan. Pada 3 April lalu, rancangan ini telah menjadi kenyataan. Tarikh ini dipilih kerana mengikut 'bulan melayu', pada tarikh ini paras air di muara sungai rendah. YB Timbalan Menteri tiba pada jam 8.00 pagi. Tempat pertama yang dilawati ialah kebun nenas En Shamsudin di Kampung Rendang Pasir. Di sini beliau melawat kebun nenas seluas 3 relong dengan tanaman nenas jenis Moris sebanyak 35,000 pokok. Beliau dan juga lain-lain tetamu bersarapan pagi, nasi lemak bungkus daun pisang di dusun nenas itu. Turut hadir dalam lawatan beliau ialah Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Tuan Haji Ismail dan Pengarah LKIM Negeri Kedah, En Mohd Nor Had. Saya memilih dusun nenas milik En. Shamsudin untuk dilawati oleh YB Timbalan Menteri kerana tertarik dengan tanaman nenas dan pulangannya serta kegigihan En Shamsudin (sungguhpun berumur lebih 70 tahun ) dalam meningkatkan pendapatannya. Beliau ialah pedagang skrap getah di kawasan Yan yang berjaya. Beliau terlibat dalam bisnes ini berpuluh tahun lalu. Sungguhpun sudah berjaya dan memperolehi pendapatan yang lumayan dalam bisnes ini, beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian ini tetapi terus berusaha dalam bidang-bidang lain. Beliau terlibat dalam tanaman nenas dan pisang. Sebenarnya tanah yang digunakan adalah bukan tanah miliknya sendiri tetapi memajak tanah-tanah orang kampung yang terbiar. Dengan harga purata RM 1.00 sebiji, En Shamsudin mampu untuk memperolehi perolehan RM 35,000 setahun bagi sehektar (3 relong). Setelah ditolak kos perbelanjaan, beliau mampu memperolehi sekurang-kurangnya RM 30,000 setahun (RM 2500 sebulan). Pada musim penanamannya, beliau mendapat benih dan baja daripada Jabatan Pertanian dan Lembaga Nenas Malaysia. Sesungguhnya, agensi-agensi kerajaan khususnya di peringkat persekutuan, sememangnya mempunyai pelbagai jenis bantuan untuk diberikan kepada mereka yang gigih berusaha. Nenas boleh juga di tanam secara kontan (antara pokok getah umpamanya). Untuk diberikan mesin membajak, Dato' Wira Johari meminta supaya lebih ramai, 10 orang sekurang-kurangnya menanam nenas. Selepas melawat kebun nenas, YB Dato' Wira Johari telah dibawa melawat muara-muara sungai Kuala Sungai Yan, muara Kuala Sungai Singkir dan muara Kuala Sungai Udang. Majlis perasmian Kompleks LKIM telah bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 1 tengahari. Majlis dialog dengan nelayan telah diadakan selepas ucapan perasmian YB Timbalan Menteri Pertanian. Antara isu-isu yang dikemukakan ialah bantuan enjin, perahu, lesen nelayan dan lain-lain. Dalam ucapan aluan, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada YB Timbalan Menteri dan supaya lawatan ini akan memberikan banyak manfaat kepada kaum nelayan, petani dan penternak di DUN Guar Chempedak. Saya meminta agar Timbalan Menteri membantu menyelesaikan masalah muara sungai yang mendap (muara Kuala Sungai Yan, muara Kuala Singkir dan muara Kuala Sungai Udang) serta LKIM membina bangsal nelayan di Kuala Sungai Yan. Selepas jamuan makan tengahari, saya mengiringi Timbalan Menteri untuk melawat kawasan tuas (selepas Pulau Sonsong) di tengah laut. Beliau sempat memancing ikan di situ dan berjaya mendapat seekor ikan tenggiri seberat 5 kg. Lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani yang amat berjaya ini berakhir pada jam 5 petang.


JAMUAN MAKAN MALAM JEMAAH DATO'-DATO' NEGERI KEDAH

Pada 2 April, saya dan isteri telah menghadiri Jamuan Makan Malam di Istana Anak Bukit anjuran Persatuan Jemaah Dato'-Dato' negeri Kedah sempena Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang ke-83. KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Sultanah berkenan untuk berangkat ke majlis berkenaan.

PERSIDANGAN UMNO CAWANGAN-CAWANGAN

Dalam musim persidangan cawangan-cawangan UMNO tahun ini, saya mencuba sedaya upaya untuk menghadiri sebanyak mungkin persidangan cawangan UMNO, terutamanya dalam DUN Guar Chempedak. Ini penting kerana persidangan UMNO adalah platform terbaik untuk bertemu dengan ahli-ahli UMNO peringkat akar umni serta mendengar isu-isu yang dibangkitkan. Saya juga mengambil peluang untuk menyampaikan ucapan bagi menerangkan isu-isu politik semasa. Pada 1 April, saya menghadiri mesyuarat persidangan wanita UMNO cawangan Kampung Raga dan UMNO cawangan Taman Yan. Pada 8 April pula, saya menghadiri persidangan UMNO cawangan Kampung Raga di mana saya sendiri adalah Ketua di situ. Pada 9 April pula, saya menghadiri 4 persidangan cawangan iaitu cawangan UMNO Padang Lumat, Kampung Jawa, Kampung Singkir Darat dan Kampung Kepala 30.

PERTANDINGAN AKHIR BOLA SEPAK PIALA YB DATO' SERI JAMIL KHIR BAHARUM

Pada 2 April, selepas Mesyuarat Pre Council Sidang DUN dikalangan ADUN-ADUN BN, saya menyaksikan pertandingan akhir bola sepak Piala YB Dato' Seri Senator Jamil Khir Baharum, Menteri di Jabatan Perdana Menteri anjuran Pemuda UMNO Jerai antara pasukan OM dan pasukan Sala di Padang Bola Sepak Guar Chempedak. Ia dimenangi oleh pasukan OM dengan jaringan 7-2. Turut hadir ialah YB Dato' Seri Senator Jamil Khir Baharum sendiri.




MERASMIKAN PERTANDINGAN SEPAK TAKRAW ANJURAN KAMPUNG RUAT

Pada 1 April, saya dijemput untuk merasmikan Pertandingan Sepak Takraw anjuran bersama Kampung Ruat dan Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak di gelanggang sepak takraw Kampung Ruat. Gelanggang ini telah dibina secara gotong royong melalui peruntukan RM 1000 oleh Pusat Khidmat ADUN Guar Chempedak. Sejumlah 12 pasukan telah menyertai pertandingan ini. Ia berakhir pada sebelah petang 2 April dan dimenangi oleh pasukan Kejora.